‘YCL is back’, 3 kelab Liga Super sesuai sambar khidmat anak jati Perlis – Sukan


PELBAGAI situasi dapat diperhatikan selepas tiga perlawanan Liga Super dengan ada pasukan yang masih bergelut untuk mendapatkan rentak.

Ini susulan kegagalan mereka untuk mencatatkan sebarang kemenangan meskipun selepas melakukan rombakan secara menyeluruh terhadap skuad ketika jendela perpindahan yang lalu.

Bagi pihak pengurusan, mereka masih tidak mahu terburu-buru mencari jalan penyelesaian memandangkan musim yang masih panjang perlu dihadapi pasukan.

Namun, ada pula segelintir penyokong kelab-kelab Liga Super yang mula mendesak agar tindakan pantas diambil sebelum isu di padang berterusan.

Antara cadangan yang mula diluahkan adalah dengan mendesak ketua jurulatih pasukan masing-masing digantikan bagi memberi nafas baharu buat pemain sedia ada.

Namun, dengan kebanyakan jurulatih tempatan masih terikat dengan pasukan tersendiri, terdapat satu nama yang ketika ini mula menjadi rebutan penyokong bola sepak tanah air.

Bekas pengendali Perak FC, Yusri Che Lah dikatakan sesuai untuk memegang jawatan ketua jurulatih bersama mana-mana pasukan melihat kepada pengalamannya sebelum ini.

Dia yang ketika ini mengendalikan skuad Bawah 23 tahun (B-23) Perak FC difahamkan masih tidak memiliki lesen kejurulatihan Pro A seperti mana ditetapkan pihak Liga Bola Sepak Malaysia (FAM).

Tetapi, sekiranya faktor tersebut diketepikan, terdapat tiga pasukan yang sesuai untuk mendapatkan khidmat bekas pemain kebangsaan berkenaan.

1. Terengganu FC

Sejak melantik pengendali kelahiran Croatia, Tomislav Steinbruckner hujung tahun lalu, Terengganu FC dilihat masih belum mendapatkan formula terbaik di atas padang.

Berdasarkan pemerhatian ketika tempoh pramusim, skuad Sang Penyu sedikit bergelut untuk mencatatkan keputusan cemerlang sehingga menimbulkan tanda tanya.

Kini, selepas tiga perlawanan Liga Super, Terengganu FC ditimpa pelbagai masalah apabila hanya mengumpul satu mata di samping masih belum menjaringkan sebarang gol.

Jadi, tidak hairanlah apabila rata-rata penyokong mula mendesak agar pengendali berkenaan melepaskan khidmatnya dengan liga masih baru berlangsung.

Yusri mempunyai pengalaman mengendalikan pasukan Pantai Timur.

Sekiranya keputusan itu diambil pihak pengurusan, Yusri merupakan antara calon terbaik apabila dia mempunyai pengalaman berada di Pantai Timur bersama Kelantan FC.

Tidak cukup dengan itu, ketika bersama Perak FC juga adalah satu pencapaian yang baik memandangkan skuad TBG ketika itu hanya dibarisi majoriti pemain muda.

Persoalannya, adakah pihak pengurusan Sang Penyu akan mengambil tindakan drastik tersebut selepas kurang dari setahun memberi kepercayaan kepada Tomislav?

Tambahan pula, mereka juga semestinya memberi tempoh yang sewajarnya buat ketua jurulatih berkenaan selepas skuad yang dimilikinya ketika ini berdasarkan acuan dari segi taktikal Tomislav.

2. Perak FC

Tempoh kejurulatihan Yusri ketika bersama Perak FC memecahkan pendapat dalam kalangan penyokong dengan ada yang memberi pujian dan ada juga yang tidak henti-henti mengecamnya.

Manakan tidak, sepanjang memegang jawatan tersebut, pengendali berusia 46 tahun itu hanya merekodkan lima kemenangan di samping mencatatkan 11 kekalahan dalam aksi Liga Perdana.

Pencapaian itu diburukkan lagi dengan pemotongan mata yang dihadapi Perak FC berikutan isu kewangan, sekali gus menyaksikan mereka menduduki tangga kesembilan Liga Perdana 2022.

Namun, perlu diingatkan bahawa Yusri mengendalikan sebuah pasukan dengan lambakan pemain muda serta tidak berpengalaman serta moral yang cukup terjejas.

Yusri membimbing Perak FC yang ketika itu berada dalam kemelut kewangan.

Oleh itu, dia wajar diberikan peluang kedua untuk mengendalikan skuad TBG sekiranya mereka memilih untuk ‘merehatkan’ khidmat ketua jurulatih ketika ini, Datuk Lim Teong Kim.

Selepas tiga perlawanan, pasukan berkenaan dilihat masih bergelut untuk menampilkan persembahan terbaik apabila hanya membawa pulang dua mata setakat ini.

Tambahan pula, gol ketika berdepan Kedah Darul Aman (KDA) FC hasil jaringan Ikhwan Hafizo merupakan satu-satunya gol yang diperolehi skuad TBG setakat ini.

Namun, adakah Yusri sendiri akan terbuka untuk merebut peluang berkenaan selepas dia sebelum ini dengan rela hati melepaskan jawatan tersebut demi kecemerlangan Perak FC.

3. Penang FC

Ketika berada di bawah kendalian Manzoor Azwira Abd Wahid, Penang FC dilihat berpotensi untuk mengembalikan kemampuan sebenar pasukan dalam kancah Liga Super.

Bagaimanapun, kegagalannya untuk mendapatkan lesen sebelum awal musim lalu menyaksikan FAM dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menyekat statusnya sebagai ketua jurulatih.

Jadi, berdasarkan pengumuman sebelum ini, Chong Yee Fatt diberi kepercayaan untuk menggalas tanggungjawab tersebut sementara menunggu kursus kejurulatihan Manzoor selesai.

Kemampuan Yee Fatt sekali lagi dipersoalkan penyokong Penang FC. — Facebook/Penang FC

Tetapi, melihat kepada prestasi semasa Penang FC, episod gelap musim lalu dilihat bakal berulang apabila mereka hanya berjaya mencatatkan dua keputusan seri dalam Liga Super 2023.

Ia diburukkan lagi kekalahan yang dialami mereka di tangan Kelantan FC, sekali gus menyaksikan pasukan Utara tanah air itu berada di tangga kesembilan.

Oleh itu, dengan Manzoor hanya akan mendapatkan lesen tersebut pada pertengahan musim, solusi segera perlu diambil pihak pengurusan.

Yusri Che Lah sekali lagi dilihat sebagai antara calon terbaik berdasarkan kemampuannya untuk mengendalikan sebuah pasukan dengan bajet sederhana.

Selain itu, kehadiran import-import berkualiti pasti akan meningkatkan lagi kedudukan semasa Penang FC sementara menunggu kepulangan Manzoor. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram




Source link

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Dibuang padang hanya selepas 40 saat beraksi, pemain gantian dapat ‘rezeki’ lain – Sukan

Next Post

Messi laung amaran buat Bayern Munich, optimis PSG mampu lakar kejutan – Sukan

Related Posts