LIGA Malaysia 2023 ditangguhkan untuk sementara waktu sejak awal September lalu bagi memberi laluan buat perlawanan persahabatan peringkat antarabangsa.
Perkara tersebut pastinya menyebabkan penyokong bola sepak tanah air mula merindui aksi pasukan masing-masing yang seperti sudah menjadi norma dalam kehidupan mereka.
Oleh itu, untuk memastikan kerinduan tersebut dapat diubati, beberapa kelab mula mengambil insiatif dengan memuat naik video pendek di laman media sosial mereka.
Selain klip berkaitan sesi latihan skuad utama, ada juga yang mengambil pendekatan kreatif dengan berkongsi video berkonsepkan soalan pendek yang diajukan kepada pemain.
Antara kelab yang sering mengambil insiatif sebegitu ialah Sabah FC memandangkan kelab berkenaan mempunyai jumlah pengikut cukup tinggi di media platform mereka.
Baru-baru ini, pasukan Borneo tersebut sempat bertanyakan kepada lima pemain mengenai cita-cita masing-masing jika tidak bergelar seorang pemain bola sepak terkenal.
Bagi pemain tengah, Stuart Wilkin, dia memasang hasrat untuk bergelar seorang pegawai polis, tetapi lebih tertarik untuk bergelar seorang ejen hartanah.
Jawapan menarik juga diberikan bekas penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat yang kelihatan cukup bersahaja ketika bercakap di hadapan lensa kamera.
“Apek nak jadi cef. Boleh je minta apa-apa, Apek boleh buat,” jawabnya dengan nada yakin.
Sementara itu, pemain tengah senior, Irfan Fazail pula berkata, dia melihat dirinya sesuai untuk bergelar seorang ahli perniagaan sekiranya tidak bergiat secara aktif sebagai pemain bola sepak.
Soalan berkenaan turut diajukan kepada bek kanan Sang Badak, Rizal Ghazali, namun dia tidak memberikan jawapan tepat seperti rakan sepasukannya.
“Kalau saya tidak jadi pemain bola sepak, saya mengharapkan apa-apa sahaja rezeki saya,” katanya, pendek.
Bagi seorang lagi penjaga gol Sabah FC, Damien Lim, cita-citanya juga sama seperti Khairul Fahmi apabila dia turut berminat untuk bergelar seorang cef kerana dia menggemari bidang masakan.
Namun, tumpuan pastinya diberikan kepada pemain sayap mereka, Saddil Ramdani yang mengatakan dia tertarik untuk menjadi seorang nelayan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram