PERTEMBUNGAN dua gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool dan Manchester United berakhir dengan keputusan yang cukup mengejutkan.
Aksi yang berlangsung di Stadium Anfield pada Isnin itu berakhir dengan kemenangan buat skuad The Reds yang menjaringkan tujuh gol tanpa balasan.
Kemenangan itu pastinya cukup menggembirakan buat penyokong serta pengurus Liverpool, Jurgen Klopp selepas pembukaan liga yang kurang meyakinkan.
Bagaimanapun, di sebalik senyuman yang dilakar pengendali kelahiran Jerman itu, terdapat satu momen yang dilihat membakar api kemarahannya.
Ketika anak-anak buahnya meraikan jaringan ketujuh daripada Roberto Firmino, seorang penyokong bertindak menceroboh padang sambil dikejar pihak keselamatan.
Namun, ketika sudah hampir dengan pemain-pemain Liverpool, individu tidak dikenali berkenaan secara tiba-tiba tergelincir lalu melanggar dua tonggak The Reds, Curtis Jones dan Andrew Robertson.
Berikutan insiden berkenaan, kedua-dua pemain tersebut dilihat mengalami kecederaan kecil di buku lali masing-masing sebelum penyokong tersebut diusir.
Jadi, tidak hairanlah apabila Klopp dilihat cukup berang dengan kecuaian lelaki berkenaan sehingga memaksa pengadil menenangkannya daripada mengambil tindakan tidak sewajarnya.
Selepas diberikan rawatan, Robertson dan Jones mampu meneruskan aksi yang cukup bertenaga sehingga wisel penamat, sekali gus mencatatkan satu kemenangan cukup bermakna buat Liverpool musim ini.
Kemenangan berkenaan menyaksikan skuad The Kop menduduki tangga kelima dengan hanya tiga mata diperlukan untuk meletakkan mereka dalam kelompok empat terbaik. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram