[VIDEO] Apek pernah hampir tolak ‘call up’ kebangsaan gara-gara tak dapat restu bapa – Sukan


TIDAK boleh dinafikan bahawa skuad kebangsaan sering dilimpahi penjaga gol berkualiti yang bertindak sebagai benteng terakhir pasukan.

Ketika ini, peranan berkenaan digalas dengan cemerlang oleh Syihan Hazmi yang jarang menampilkan aksi mengecewakan sejak mencipta debut kira-kira 10 tahun lalu.

Sebelum kehadiran anak jati Kelantan itu, Harimau Malaya kerap memberikan kepercayaan itu kepada rakan sepasukan Syihan di peringkat kelab, Farizal Marlias atau pemain Selangor FC, Khairulazhan Khalid.

Tetapi, sekiranya ditanya rata-rata penyokong bola sepak tanah air, penjaga gol yang mempunyai tempat istimewa dalam hati mereka pastinya Khairul Fahmi Che Mat.

Pemain yang juga sinonim dengan panggilan Apek tersebut merupakan salah seorang tonggak utama pasukan kebangsaan yang memenangi kejuaraan Piala AFF 2010.

Kemuncak karier Khairul Fahmi adalah ketika dia bersama skuad TRW.

Kualitinya dalam menepis percubaan pihak lawan serta berkomunikasi bersama rakan sepasukan merupakan antara aspek utama di sebalik karier gilang-gemilangnya sehingga hari ini.

Namun, tahukah anda bahawa Khairul Fahmi pernah hampir menolak panggilan skuad kebangsaan ketika Harimau Malaya masih berada di bawah kendalian Datuk K Rajagobal.

Hal berkenaan didedahkan dalam satu rancangan podcast bersama bekas penjaga gol negara, Zamir Selamat dengan perkongsian itu mencuri perhatian ramai.

Menurutnya, perkara tersebut berpunca daripada pesanan bapanya, Che Mat Hussain selepas melihat anaknya itu berada dalam keadaan tertekan untuk beberapa tahun sebelum itu.

“Ketika itu, saya menerima sepucuk surat daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bersama rakan sepasukan untuk beraksi bersama negara.

“Jadi, saya pun beritahu kepada ayah saya mengenainya dan dia tanya siapakah jurulatihnya. Jadi, saya jawab Rajagobal dan dia mengingatkan saya supaya tidak pergi,” katanya.

Jelasnya, arahan itu dibuat apabila bekas pemain Kelantan FA berkenaan pernah digugurkan tahun-tahun sebelum itu dan melihat khidmatnya hanya ditagih selepas kebolehannya terbukti.

Berdasarkan rekod, Apek memulakan kariernya bersama skuad kebangsaan dalam skuad Bawah 23 Tahun (B-23) ketika Sukan Asia 2010.

Tidak lama selepas itu, dia turut menerima peluang bersama pasukan senior dalam aksi persahabatan menentang Oman sebelum saingan Piala AFF pada tahun yang sama.

Namun, jelas pemain berusia 34 tahun tersebut, pujukan terpaksa dibuat terhadap bapanya memandangkan keputusan untuk menolak hanya akan menyebabkannya dikenakan denda.

“Ketika itu, FAM ada sistem penggantungan tidak boleh bermain dalam liga untuk beberapa tahun. Jadi, selepas dijelaskan, bapa saya pun kata pergilah,” katanya.

Apek kini masih bergiat aktif dalam Liga Super bersama Sabah FC sejak 2022 setelah memilih untuk kembali bekerjasama bersama bekas pengendali, Datuk Ong Kim Swee.

Meskipun kurang menerima minit permainan, kehadirannya sebagai seorang pemain berpengalaman adalah cukup penting dalam mengawal ubi-ubi muda serta menjadi rujukan buat penjaga gol utama Sang Badak, Damien Lim. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram




Source link

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Bertahan hanya setahun, Benjamin Mora tinggalkan kelab Mexico – Sukan

Next Post

Hasil kutipan tiket 2 aksi Liga Super terakhir JDT khas buat rakyat Palestin – Sukan

Related Posts