Tonggak import Sang Penyu laung cabaran bertemu Sabah FC – Sukan


TONGGAK Terengganu FC, Sony Norde sepatutnya menjadi salah satu nama yang digeruni dalam saingan Liga Super musim ini.

Bagaimanapun, sejak liga bermula, bekas bintang Melaka FC itu berdepan sedikit halangan yang menyaksikan prestasinya sedikit malap sejak liga bermula.

Ketika menyertai skuad Pantai Timur itu awal tahun ini, Sony diharapkan menjadi tonggak di bahagian sayap, namun dia bergelut dengan masalah prestasi akibat kecederaan hamstring yang dialami.

Ekoran kecederaan itu, Sony tidak dapat bermain selama kira-kira sebulan yang menyaksikan dia tersisih dalam tiga perlawanan terakhir Terengganu FC.

Sony belum berjaya mencetak sebarang gol musim ini. — Facebook/ Terengganu FC

Dia kemudian kembali beraksi sebagai pemain gantian menentang Sri Pahang FC pada 28 April lalu, namun Terengganu tewas 2-1.

Dalam tujuh penampilannya setakat ini, Sony yang mengumpul 534 minit permainan, belum berjaya mencetak sebarang gol.

Dengan liga sedang berehat untuk memberi laluan kepada Sukan SEA, pemain berasal dari Haiti itu meluangkan masa menjalani latihan untuk memulihkan statusnya dalam pasukan.

“Saya mengalami kecederaan otot adductor dalam beberapa perlawanan pertama. Kemudian, saya mengalami kecederaan hamstring dan perlu berehat selama sebulan.

“Kalau ditanya, memang saya tidak gembira dengan prestasi semasa, namun sebagai pemain profesional, saya perlu bergerak ke depan.

“Sekarang saya sudah pulih sepenuhnya dan tidak sabar untuk beraksi menentang Sabah di Stadium Likas pada 19 Mei depan,” katanya.

Sony komited menjalani latihan kecergasan untuk memulihkan statusnya dalam pasukan. — Facebook/ Terengganu FC

Sony berkata, mereka perlu menang dengan Sabah untuk memulihkan prestasi pasukan yang tercalar.

“Terengganu tidak layak untuk berada di kedudukan ke lapan liga kerana ia kelab yang besar.

“Kami perlu bekerja keras untuk memperbetulkan kesilapan ini,” katanya.

Menurut Sony, Terengganu mempunyai skuad yang baik, namun mereka perlu bermain dengan lebih bersungguh-sungguh dan bersemangat.

“Pada masa ini, ramai yang tidak gembira dalam pasukan kerana kedudukan kami dalam liga,” katanya.

Sony tersisih dalam tiga perlawanan terakhir Terengganu FC. — Facebook/ Terengganu FC

Justeru, kata Sony, pemain perlu mengurangkan kesilapan seperti membuat hantaran yang tidak perlu, tidak cukup berlari untuk bersaing, melepaskan gol mudah dan tidak fokus 100 peratus.

“Semua ini tidak boleh berlaku dalam pasukan seperti Terengganu,” katanya.

Sony berharap pasukan di bawah kendalian Tomislav Steinbruckner itu akan digeruni semula seperti musim lalu ketika ia menduduki tempat kedua carta Liga Super.

“Pasukan ini baru. Hanya pemain tempatan yang sudah lama bersama pasukan manakala pemain import kecuali Jordan Mintah dan Habib Haroon adalah baru. Malah, staf kejurulatihan juga ialah muka baru.

“Ia akan mengambil masa untuk memahami dan menyesuaikan diri tetapi kami sudah sampai ke sana. Kami mahu Terengganu menjadi pasukan yang digeruni semula,” katanya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram




Source link

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Hanya beraksi di kelab amatur, Kedah boleh pulihkan kembali karier bekas import – Sukan

Next Post

Kejayaan Napoli jadi tanda aras, TMJ kongsi plan mega JDT – Sukan

Related Posts