TFC turun skuad kedua berdepan JDT, Nafuzi optimis walau tanpa 4 tonggak – Sukan

TERENGGANU FC (TFC) dijangka tidak dapat menurunkan kesebelasan utama ekoran kecederaan beberapa tonggak utama pada perlawanan menentang Johor Darul Takzim (JDT) pada aksi Liga Super, di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, di Kuala Nerus, Terengganu, pada Rabu.

Perkara itu disahkan ketua jurulatih TFC, Nafuzi Zain, yang mengakui bahawa beberapa tonggak utamanya terpaksa direhatkan akibat masalah kesihatan dan kecederaan ketika beraksi pada perlawanan separuh akhir Piala FA menentang Selangor FC, Sabtu lalu.

“Persiapan kita pastilah sedikit terjejas kerana pemain utama seperti pemain sayap lincah, Mohd Faisal Abdul Halim, penyerang import, Kipre Tchetche, pemain tengah import, Manuel Ott dan Muhammad Faiz Mohd Nasir alami kecederaan serta demam.

“Oleh itu kita terpaksa lakukan rombakan dan beberapa pertukaran dengan memasukkan pemain skuad kedua untuk perlawanan menentang kelab Harimau Selatan, esok,” katanya ketika ditemui pada Isnin.

Bagaimanapun dalam masa yang sama, beliau berasa agak lega apabila penyerang import kelahiran Liberia, Kpah Sherman sudah pulih daripada kecederaan dan dapat kembali beraksi malam esok (Rabu).

Ketika ditanya mengenai peluang skuad Penyu untuk menewaskan juara lapan kali Liga Super itu, Nafuzi berkata, beliau tetap optimis mampu mencatat keputusan positif, sekali gus mengekalkan rekod tanpa kalah di laman sendiri.

Katanya, TFC akan mengambil pengajaran daripada kekalahan tipis 1-2 di tangan JDT pada perlawanan pusingan pertama liga di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, April lepas.

Beliau menuntut anak buahnya tidak terlalu menghormati lawan yang hadir dengan reputasi pasukan terbaik tetapi sebaliknya lebih berusaha dan fokus dengan peranan masing-masing.

“Kami juga mengharapkan kehadiran peminat di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) untuk memberikan sokongan padu seperti semasa perlawanan menentang Selangor FC Sabtu lalu,” katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram




Source link

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.

Previous Post

Cukup-cukuplah sentimen ‘anak jati Pahang’, ramai lagi secemerlang Arif Aiman – Sukan

Next Post

Kedah dapat ‘ekstra tonik’ jumpa PSM Makassar – Sukan

Related Posts