SEGELINTIR peminat bola sepak tanah air hari ini pastinya tidak mengetahui bahawa kelab Pantai Timur, Sri Pahang FC pernah menjadi sebuah pasukan yang digeruni satu ketika dahulu.
Kemuncak keunggulan mereka boleh disaksikan semasa pertengahan dekad yang lalu apabila skuad Tok Gajah sering dibarisi pemain berkualiti dari dalam dan luar negara.
Duo penyerang berbisa, Matias Conti dan Dickson Nwaekeme serta bek tengah berpengaruh, Razman Roslan merupakan antara tonggak yang sukar dilupakan dengan sumbangan mereka cukup didambakan.
Tidak cukup dengan itu, pasukan berkenaan turut dibimbing jurulatih tanah air, Datuk Zainal Abidin Hassan yang pernah diangkat sebagai salah seorang pengendali terbaik dalam Liga Super.
Namun, seperti mana-mana kelab bola sepak seluruh dunia, Pahang FA juga tidak terkecuali untuk berdepan cabaran tersendiri sehingga menjatuhkan moral pemain.
Situasi itu dapat disaksikan pada 26 Ogos lapan tahun lalu apabila Zainal Abidin mahu anak-anak buahnya kembali bangkit dan fokus setelah kecewa dalam perebutan takhta Liga Super.
Penyerang Pahang FA, Matias Conti (kiri) ketika berdepan Istiklol FC. — Agensi
Kekalahan mengejutkan yang dialami kepada Terengganu FA dalam perlawanan beberapa hari sebelum itu menyaksikan Johor Darul Takzim (JDT) membawa pulang trofi berkenaan untuk tahun ketiga berturut-turut.
Jadi, untuk menyuntik semangat kepada pemain Pahang FA, Zainal Abidin menegaskan bahawa aksi bertemu kelab Tajikistan, Istiklol FC dalam suku akhir Piala AFC perlu digunakan sebaik mungkin.
Mereka yang diundi untuk bertemu pasukan terbabit berdepan cabaran berat, namun ia tidak membimbangkan pengendali yang kini berusia 61 tahun itu melihat kepada skuad dimilikinya.
Tetapi, ia masih belum cukup buat Pahang FA untuk bangkit apabila mereka tewas dengan keputusan 0-4 di tempat lawan sebelum tersingkir meskipun menang di laman sendiri ketika aksi timbal balik.
Ia merupakan kali terakhir skuad Tok Gajah beraksi dalam Piala AFC apabila mereka tidak lagi melangkah ke pentas Asia berikutan keengganan pihak pengurusan dalam mendapatkan lesen.
Selain itu, Pahang FA tidak lagi berada dalam prestasi terbaik sejak musim berkenaan apabila mereka terus dilanda beberapa isu di luar padang sehingga memberi tamparan terhadap kestabilan pasukan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram