‘Tahniah menang tapi masih eksperimen, fans jangan terburu-buru’, pemerhati ulas aksi HM-Kemboja – Sukan


SKUAD Harimau Malaya melakar kemenangan bermakna dalam aksi persahabatan antarabangsa kelas ‘A’ menentang Kemboja di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Jumaat.

Kejayaan dengan skor 4-0 itu diperolehi menerusi dua gol daripada penyerang sayap, Faisal Halim sementara Stuart Wilkin dan Lee Tuck masing-masing memperolehi satu gol.

Selain itu, kemampuan anak-anak buah Kim Pan-gon juga dapat disaksikan apabila mereka mudah menguasai permainan meskipun ketiadaan beberapa tonggak pasukan.

Perlawanan yang disifatkan sebagai pemanas badan untuk kempen Piala AFF 2022 itu sememangnya menjadi perhatian apabila beberapa pemain bintang tidak menyertai kem latihan skuad kebangsaan.

Hal itu sebelum ini kecoh diperdebatkan di media sosial, apatah lagi apabila penyokong Johor Darul Takzim (JDT) mempertahankan keputusan 12 pemain yang menolak panggilan awal Disember lalu.

Pada awalnya, perkara itu sedikit merunsingkan Pan-gon kerana tentu sekali dia perlu mencari resipi baharu dalam memastikan skuad Harimau Malaya berjaya menduduki tangga lebih baik dalam ranking FIFA.

Pan-gon mula menerapkan ideologi taktikalnya ke dalam pasukan kebangsaan. — Facebook/FAMalaysia Official

Namun, dengan kemenangan selesa itu, ia membuktikan bahawa pasukan tersebut memiliki pemain yang berkualiti dalam posisi tersendiri walaupun kurang diberi perhatian di peringkat kelab.

Persoalannya, adakah keputusan itu cukup untuk memberi kelegaan kepada jurulatih kelahiran Korea Selatan tersebut yang juga terkejut melihat semangat berkobar-kobar dipamerkan anak-anak buahnya pada Jumaat.

Selain itu, penyokong juga pasti tertanya-tanya sekiranya kejayaan berkenaan membuktikan kualiti yang dimiliki skuad dengan pihak lawan dilihat kurang memberi tentangan dalam perlawanan tersebut.

Bagi pemerhati bola sepak tempatan, Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim, dia berpendapat pertembungan tersebut tidak menggambarkan situasi kedua-dua pasukan, namun penghargaan masih perlu diberikan.

“Pertama sekali, saya nak ucap tahniah kerana kita menang dengan skor 4-0. Walau apapun keadaannya, ia tetap satu kemenangan.

“Tetapi, kita perlu sedar bahawa perlawanan persahabatan ini, kedua-dua pasukan sedang melakukan percubaan dan apabila kita mencuba, kita tidak tahu adakah ia kebolehan sebenar pasukan atau tidak,” katanya kepada Majoriti.

Tegasnya, keputusan daripada kemenangan ke atas Kemboja itu memberikan sedikit gambaran mengenai situasi pasukan walaupun tidak boleh dijadikan rujukan secara terlalu terperinci.

Mengulas lanjut, ketika ditanya mengenai pendekatan barisan kejurulatihan untuk menampilkan wajah-wajah baharu, Zulakbal berkata, ketiadaan beberapa tonggak memaksa pemain yang jarang diberi peluang untuk diturunkan.

“Ini juga menjadi satu keadaan yang Pan-gon tidak boleh elak kerana dia terpaksa memberi peluang untuk pemain lain bermain dalam perlawanan tersebut.

“Barangkali, dia sudah mengatur perlawanan itu, tetapi pemain-pemain JDT mungkin ambil peluang ini untuk berehat dan ia menjadikan kita tidak dapat menguji kekuatan sebenar pasukan,” katanya.

Dalam perlawanan tersebut, beberapa pemain diberi debut bersama skuad Harimau Malaya, termasuk duo Sri Pahang FC, Lee Tuck dan Sergio Aguero yang memperolehi status naturalisasi September lalu.

Lee Tuck menjadi antara pemain yang diberikan aksi sulung bersama skuad Harimau Malaya. — Facebook/FAMalaysia Official

Bagi segelintir penyokong, pendekatan itu layak diberikan pujian apabila Pan-gon berjaya mengenal pasti kelemahan dan kelebihan setiap anak-anak buahnya dan pasukan secara keseluruhan.

Namun, berdasarkan perkongsian di media sosial, segelintir penyokong meluahkan kekecewaan mereka dengan persembahan beberapa pemain seperti Aguero yang kerap kehilangan bola.

Ketika ditanya akan perkara itu, Zulakbal percaya penyokong perlu bersifat lebih terbuka dan tidak memberi penilaian terlalu awal terhadap wajah-wajah baharu dalam pasukan.

“Saya fikir, kerana ini masih dalam proses eksperimen dan pasukan lawan pun bukanlah dalam tahap terbaik, kemungkinan pemain tidak mahu memberi persembahan secara 100 peratus di atas padang.

“Jadi, para penonton tidak boleh terlalu terburu-buru kerana kita sedang mempersiapkan untuk kejohanan akan datang yang akan memberi keuntungan kepada pasukan,” katanya.

Skuad Harimau Malaya akan memulakan kempen Piala AFF di Stadium YTC Thuwanna, Myanmar menentang negara itu pada 21 Disember sebelum beraksi di tempat sendiri ketika bertemu Laos pada 24 Disember. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram




Source link

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Mickey bangga muka baharu pamer semangat juang tinggi – Sukan

Next Post

Elak jadi ‘lauk’ pasukan gergasi, ‘bekas’ kelab Liga Perdana perlu ada 2 perkara ini – Sukan

Related Posts