Selangor, Cheng Hoe enggan pandang rendah kemampuan Perak – Sukan


SELEPAS hampir dua bulan tidak merasai aksi kompetitif, Selangor FC bakal kembali bersaing dalam Liga Super apabila melayan kunjungan Perak FC pada Sabtu.

Pertembungan yang bakal berlangsung di Stadium MBPJ, Selangor itu sememangnya cukup dinanti-nantikan penyokong kedua-dua pasukan dengan masing-masing mempunyai sejarah tersendiri.

Tekanan pastinya dirasai Selangor FC yang kini hanya beberapa langkah sahaja lagi untuk kembali beraksi di pentas Asia buat kali pertama sejak 2016.

Tiga baki perlawanan pastinya tidak akan disia-siakan kelab Lembah Klang berkenaan meskipun mengetahui Kedah Darul Aman (KDA) FC terus memberi ancaman.

Skuad Gergasi Merah mudah menundukkan Perak FC di Stadium Perak, Ipoh sebelum ini. — Facebook/Selangor FC

Bagaimanapun, kedudukan skuad The Bos Gaurus (TBG) yang berada di tangga kesembilan seperti menceritakan jurang antara kedua-dua pasukan dalam saingan Liga Super 2023.

Di samping itu, rekod pertemuan juga menyaksikan kelebihan berpihak kepada Selangor FC yang sebelum ini membenam seteru mereka tersebut dengan keputusan 4-0 di Stadium Perak, Ipoh pada April lalu.

Namun, ia tidak menjadi sebab buat pengendali skuad Gergasi Merah, Tan Cheng Hoe untuk memandang rendah kemampuan skuad TBG untuk perlawanan itu.

Baginya, ketiadaan aksi kompetitif memberi satu cabaran buat pasukannya sehingga ia dikhuatiri akan memberi kesan akan semangat dan kesungguhan masing-masing.

“Kami sedar ia disebabkan kami gagal layak ke separuh akhir Piala Malaysia dan bukan mudah untuk mengadakan satu motivasi yang tinggi dalam latihan.

Latihan secara berterusan diadakan buat skuad Gergasi Merah. — Facebook/Selangor FC

“Apa yang menggembirakan kami sebagai barisan kejurulatihan adalah pemain kekal komited dalam latihan dan persiapan pasukan. Ada juga pemain yang dua kali mewakili skuad kebangsaan dalam waktu rehat antarabangsa lalu,” katanya kepada Astro Arena.

Sepanjang tempoh tanpa perlawanan kompetetif, Selangor FC memilih untuk mengadakan aksi persahabatan berdepan Gombak FA dengan tujuan mengekalkan tahap kecergasan pemain.

Jelas Cheng Hoe lagi, mereka juga tidak henti-henti mengadakan latihan, terutamanya buat pemain yang tidak dipanggil untuk mewakili negara masing-masing.

“Sudah pasti walaupun tanpa pemain kebangsaan sebelum ini, kami masih menjalankan latihan seperti biasa untuk mengekalkan momentum dan tahap kecergasan terbaik,” katanya.

Selangor FC bakal berdepan Kedah Darul Aman (KDA) FC untuk perlawanan ke-25 Liga Super sebelum menutup tirai musim dengan aksi bertemu PDRM FC di Stadium MBPJ, Selangor sebagai pasukan pelawat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram




Source link

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Pilih ‘simpan kuku’ berdepan Sabah mungkin punca Sang Penyu lemas di Gong Badak – Sukan

Next Post

FAM pilih berpisah dengan K. Rajagobal sedekad lalu sebelum kempen kelayakan Piala Asia – Sukan

Related Posts