Rehatkan dulu 3 import, kepulangan duo Terengganu FC amat ditagih – Sukan


KEKALAHAN Terengganu FC (TFC) di tangan Kedah FC (KDA FC) pada perlawanan Liga Super 2023 pada Rabu menyaksikan betapa Skuad Penyu ketika ini masih tercari-cari rentak dan kesebelasan utama terbaik bagi mengutip mata pertama pada musim ini.

Kecundang di minit akhir perlawanan, TFC terpaksa berputih mata apabila pemain tengah pasukan tuan rumah, Fadzrul Danel muncul wira menjaringkan gol kemenangan sekali gus membantu pasukannya mengutip tiga mata penuh dalam perlawanan tersebut.

Tidak banyak percubaan berbahaya dilakukan pasukan pelawat dan peluang terbaik Terengganu hadir menerusi sepakan percuma Sony Norde namun gagal diterjemahkan dalam bentuk jaringan.

Terengganu yang dibimbing Tomislav Steinbruckner mula mempamerkan taring sebenar selepas separuh masa kedua dengan kemasukan penyerang sensasi Thailand, Adisak Kraisorn dilihat sedikit mengubah rentak pasukan di bahagian serangan.

Namun, percaturan itu masih gagal menghasilkan sebarang jaringan dengan keputusan 1-0 kekal hingga ke wisel penamat.

Penyokong yang masih mengharapkan kemenangan sulung pasukan TFC pada musim ini kelihatan kecewa dengan kekalahan tersebut dengan rata-ratanya berpendapat penyerang import yang diturunkan dalam perlawanan itu perlu diganti untuk saingan akan datang.

Pasukan Terengganu gagal membawa sebarang mata dalam perlawanan menentang Kedah FC pada Rabu. — Facebook/TFC

Tiga nama yang hangat diperkatakan selepas kekalahan itu adalah, Adisak Kraisorn, Domagoj Pusic dan Ivan Mamut.

Ketiga-tiga pemain itu dikatakan gagal mempamerkan aksi memberansangkan di bahagian serangan dengan Skuad Penyu kerap kali hilang bola dan gagal menghasilkan percubaan merbahaya ke arah pintu gol lawan.

Justeru, untuk perlawanan seterusnya menentang KL City FC, penyokong mahu pemain tersebut diganti dengan duo sensasi TFC yang diyakini lebih ‘menyengat’ dalam menghasilkan gol.

Habib Haroon

Kekal beraksi di Terengganu bagi musim 2023, pemain kelahiran Bahrain berusia 22 tahun itu menyertai Terengganu pada musim 2021 dan merupakan antara tonggak penting yang membantu TFC menduduki tempat kedua Liga Super sekali gus layak ke Piala AFC musim 2023/2024.

Pemain tengah itu kini sudah memiliki 30 penampilan bersama TFC dengan tiga jaringan gol berjaya dicatatkan dalam perlawanan domestik liga Malaysia (Liga M).

Mengakui turut menerima beberapa tawaran ‘mega’ dari kelab lain, Habib mengambil keputusan untuk terus kekal bersama skuad Penyu selepas mendapat kepercayaan pihak pengurusan selain sokongan padu yang diberikan penyokong terhadapnya.

Rajin membuat larian dan membantu barisan pertahanan, kelibat Habib semakin ditagih penyokong Kedah selepas pemain itu mencatatkan nama selaku pemain terbaik perlawanan dalam aksi menentang KL City FC pada saingan musim lepas.

Bertitik tolak daripada itu, penyokong semakin merindui ketangkasan serta kerajinan pemain berketinggian 1.70 meter itu pada musim ini.

Namun Habib terlepas aksi dalam Piala Sumbangsih lalu difahamkan berpunca akibat kecederaan hamstring yang dialami ketika perlawanan terakhir pra musim pasukan itu di Bangkok sebelum ini.

Tomislav mengesahkan, Habib terpaksa berehat minimum selama dua minggu yang sekali gus menyebabkan dia terlepas aksi dua perlawanan terawal menentang JDT dan KDA FC.

Jordan Mintah

Penyerang import kelahiran Ghana, Jordan Mintah yang sebelum ini pernah menyarung jersi TFC II masih menjadi sandaran peminat dengan pemain bertubuh sasa itu dilihat antara muka lama yang masih boleh menabur bakti di pasukan Pantai Timur itu.

Dipinjamkan ke skuad Warga Kota ketika jendela perpindahan kedua Jun tahun lalu, Jordan mencuri perhatian ramai selepas berjaya memenangi gelaran penjaring terbanyak Liga Perdana apabila menjaringkan 16 gol daripada 15 perlawanan.

Meskipun skuad Terengganu yang dikendalikan oleh Nafuzi Zain ketika itu lebih mempercayai gandingan Kipre dan Sherman, ketiadaan kedua pemain itu pada musim ini membuka peluang buat Jordan kembali merebut peluang selaku penyerang utama dalam perlawanan akan datang.

Pemenang Kasut Emas Liga Super musim 2021/2022 itu bagaimanapun tidak diketahui statusnya sama ada mengalami kecederaan atau tidak.

Dakwaan sebelum ini yang mengatakan gaya permainan pemain itu kurang bersesuaian dengan taktikal Nafuzi boleh diubah sekiranya dia diberikan peluang pada perlawanan seterusnya dengan kepercayaan penyokong terhadapnya masih di puncak ketika ini.

Ketika ini, gandingan Habib dan Jordan amat ditagih peminat tetapi kelibat mereka semakin dilupakan dengan kemasukan beberapa import baharu kian mengaburi aksi mereka di atas padang.

Kedua-dua pemain itu perlu diberikan peluang dan kepercayaan bukan sahaja dalam kalangan pihak pengurusan malah sokongan tidak berbelah bahagi penyokong juga amat ditagih dalam situasi berkenaan.

Penyokong Terengganu yang dahagakan kemenangan dalam saingan liga musim ini semestinya enggan sekali lagi dikecewakan dalam perlawanan menentang KL City nanti dengan ia merupakan peluang terbaik jurulatih Tomislav untuk menguji gandingan lain di bahagian serangan.

Terengganu yang tewas dua kali berturut-turut kini berada di kedudukan kedua tercorot liga tanpa sebarang mata dan aksi seterusnya bakal menjadi tumpuan peminat yang semestinya mahu menyaksikan rombakan gandingan duo tersebut disenaraikan dalam kesebelasan utama kelak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram




Source link

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Selain JDT jadi mangsa keganasan penyokong fanatik, 3 lagi kes serangan bas sukar dilupakan – Sukan

Next Post

‘Casual’ bola sepak sukar dikenal pasti, tapi ada 3 ciri utama – Sukan

Related Posts