Pro & Kontra 2 calon isi kekosongan pertahanan Selangor di final Piala Malaysia – Sukan


‘ALANG-alang menyeluk pekasam, biarlah sampai ke pangkal lengan’ demikianlah pendirian Selangor FC setelah melangkah ke pentas final walaupun tampil ke kejohanan Piala Malaysia bukan sebagai pasukan pilihan.

Pada awalnya, ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe mahu menjadikan Piala Malaysia sebagai medan ‘uji kaji’ barisan pemain sebelum meletakkan sasaran dan strategi untuk musim depan.

Namun, keserasian dalam kalangan pemain Red Giants dengan taktikal pengendali dari Kedah tersebut telah mendorong pasukan itu untuk terus memaksimumkan potensi hingga ke pentas final.

Kini, Selangor FC memiliki misi serampang dua mata ketika menentang Johor Darul Takzim (JDT) iaitu menjulang trofi Piala Malaysia 2022 serta meraih slot ke Piala AFC 2023.

Untuk memastikan keajaiban terus menyebelahi mereka, Cheng Hoe harus menggantikan kekosongan di bahagian pertahanannya setelah pertahanan import mereka,Yazan Abu Al-Arab tidak boleh diturunkan pada perlawanan final di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, Sabtu nanti.

Pemain import dari Jordan tersebut dilayangkan kad merah setelah didapati menarik baju pemain Terengganu FC, Kipre Tchetche pada perlawanan separuh akhir menentang Terengganu FC Isnin lalu.

Tanpa pertahanan yang kukuh, sudah tentu gawang Selangor FC akan mudah dibolos jentera serangan JDT yang pasti mahu mengakhiri musim ini dengan pesta gol.

Berikut merupakan pro dan kontra dua calon yang boleh menggantikan Yazan untuk bergandingan dengan Fazly Mazlan di pertahanan kiri sekali gus melengkapkan duo pertahanan kanan, Quentin Cheng dan Sharul Nazeem.

Dua pemain ini sering diletakkan dalam barisan pemain simpanan dan sudah tiba masa peluang diberi kepada mereka untuk menambah minit permainan.

Ankrah memiliki struktur fizikal dan ketinggian yang tepat untuk menyekat jentera serangan JDT. — Selangor FC

1.Richmond Tetteh Ankrah

Pro: Ketinggian Ankrah mencecah 1.90 meter dilihat mampu memberi ancaman kepada beberapa penyerang import JDT seperti Bergson Silva dan Fernando Forestieri.

Struktur fizikal dan tubuhnya yang sasa juga memberi kelebihan buat pemain berjersi bernombor 33 itu menjadi benteng menyekat lawan setiap kali perlawanan.

Walaupun bermain pertahanan, pemain dari Ghana tersebut menyumbang satu gol untuk Selangor sepanjang musim ini.

Kelebihan ini diperlukan Selangor FC pada perlawanan penuh keramat Sabtu ini.

Kontra: Untuk musim ini, Ankrah baru membuat lima penampilan bersama skuad utama bagi aksi Liga Super dan dua kemunculan pada kempen Piala Malaysia.

Ini membuatkan pemain berusia 23 tahun yang memulakan karier di bumi Malaysia menerusi pasukan Selangor II tidak memiliki pengalaman mencukupi untuk diletakkan ke dalam prentas final Liga Malaysia.

Ankrah juga memiliki sedikit minit permainan pada saingan Piala Malaysia apabila hanya diturunkan sebagai pemain sokongan.

Ini menimbulkan persoalan mengenai kemampuan Ankrah melaksanakan misi berat bersama kesebelasan utama nanti.

Pengalaman bermain di peringkat antarabangsa dapat diterjemahkan pada perlawanan final Piala Malaysia nanti. — FAM

2. Harith Haikal

Pro: Harith bijak dalam mencuri peluang sama ada perlu bertindak agresif, melakukan pintasan, membuat halangan dan tidak bersikap keterlaluan.

Pemain berusia 20 tahun ini juga pernah bergandingan dengan Quentin Cheng pada saingan Sukan SEA, Vietnam pada Mei lalu dan berjaya membuatkan barisan serangan terkuat di Asia Tenggara ‘mati akal’ untuk memecahkan benteng pertahanan negara.

Kelebihan pengalaman ini sudah pasti dapat diterjemahkan sekali lagi pada perlawanan final Piala Malaysia berdepan dengan JDT pada Sabtu nanti.

Peluang ini juga penting buat Harith secara individu setelah tidak mendapat banyak peluang bermain pada musim ini.

Kontra: Harith tidak memilki fizikal yang mampu memberi ancaman kepada pemain-pemain import JDT sekali gus membuatkan dia bukan calon tepat untuk menampung ketiadaan Yazan dari segi fizikal.

Kemasukan pemain kelahiran Petaliing Jaya, Selangor itu juga bermaksud pertahanan Selangor FC akan dibarisi oleh semua pemain-pemain tempatan yang pasti tidak menggerunkan barisan import JDT.

Oleh kerana permainan JDT terkenal dengan kelajuan dan kelicikan taktikal, pasti mudah bagi skuad Harimau Selatan menembusi benteng kubu pertahanan Selangor.

Justeru, meletakkan Harith sebagai ganti Yazan adalah satu risiko untuk perlawanan final nanti. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram




Source link

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Fandi Ahmad, 3 nama lain calon layak gantikan Dollah Salleh di Sri Pahang musim depan – Sukan

Related Posts