MARUAH bola sepak negara di peringkat Asia kini dipegang erat oleh tiga pasukan iaitu Johor Darul Takzim (JDT), Sabah FC dan Terengganu FC.
Di kala JDT bertarung bersama gergasi bola sepak Asia, The Rhinos dan Sang Penyu pula akan menentang kelab-kelab dalam kejuaraan Piala AFC.
Hingga kini, rekod yang dicipta oleh JDT pada 2015 masih belum dapat dipecahkan. Kuala Lumpur (KL) City FC, hampir menyamainya tetapi ia tidak berhasil apabila kalah di pentas final edisi 2022.
Terengganu pula kembali ke saingan Asia selepas kali terakhir melakukannya pada 2012. Sepatutnya mereka melakukan kemunculan semula pada edisi 2021 namun pihak AFC membatalkan pertandingan kerana wabak Covid-19.
Kini mereka kembali dengan prospek menarik apabila skuad Penyu akan menjelajah ke tiga buat negara iaitu Indonesia, Filipina dan Australia.
Dalam analisis ringkas Majoriti kali ini, kita akan melihat siapakah lawan yang menanti Terengganu dalam misi mereka mengejar kemasyhuran di Asia iaitu Bali United, Stallion Laguna dan Central Coast Mariners.
Terdapat juga analisis yang sama untuk Sabah yang anda boleh baca di sini:
1. Bali United
Bali United menjadi satu daripada dua wakil Indonesia dalam saingan bola sepak Asia musim ini selain PSM Makassar yang merupakan juara Liga 1 Indonesia musim lalu.
Musim ini, Bali United sudah mengharungi 11 perlawanan liga dengan mengutip 17 mata. Skuad kendalian Teco ini mencatatkan lima kemenangan, dua seri dan empat kekalahan untuk menduduki tangga kelapan.
Jefferson Assis adalah nadi serangan Bali United. — Agensi
Skuad ini dihuni oleh beberapa pemain yang sudah biasa dengan bola sepak Malaysia. Bekas penyerang Melaka United, Ilija Spasojevic merupakan penyerang yang boleh menghantui Terengganu sekiranya tidak dikawal dengan baik.
Selain itu, pemain pinjaman daripada JDT iaitu Junior Eldstal serta bekas bintang import Penang FC, Ryuji Utomo turut menganggotai pasukan ini.
Terengganu juga perlu memberikan perhatian kepada penyerang import mereka iaitu Jefferson Assis. Pemain dari Brazil ini sudah menjaringkan lima gol dalam saingan Liga 1 Indonesia setakat ini.
2. Stallion Laguna
Stallion Laguna (Stallions) merupakan salah sebuah daripada tiga wakil Filipina di kejohanan Asia musim ini. Satu lagi kelab yang beraksi di Piala AFC bersama-sama mereka adalah Dynamic Herb Cebu selain Kaya FC-Iloilo menyertai Liga Juara-Juara AFC.
Stallions menamatkan saingan domestik mereka di tempat ketiga dalam liga tujuh pasukan lalu memperoleh tempat di Piala AFC. Ketika ini, kalendar bola sepak Filipina sedang mengharungi kejohanan Piala Filipina yang diadakan selepas saingan liga.
Stallions cukup berbahaya dalam saingan domestik Filipina. — Agensi
Dalam Piala Filipina, Stallions cukup cemerlang dalam tiga perlawanan pertama apabila menang kesemuanya sambil perbezaan jaringan sebanyak 17 (gol 19, bolos 2). Malah perlawanan terkini mereka berakhir dengan kemenangan 9-1 ke atas Tuloy.
Melihat kepada statistik ini, Stallions boleh dijangka sebagai sebuah pasukan yang free-scoring. Mereka mempunyai kebolehan untuk menjaringkan gol sambil mengurangkan potensi untuk dibolosi.
Pemain-pemain seperti Reo Nakamura, Cristian Ivanobski serta Charles Pickering adalah beberapa nama yang perlu diberikan perhatian.
Terengganu musim ini berjaya bermain dengan permainan bertahan yang baik terutamanya apabila bertemu pasukan free-scoring. Jadi, Tomislav Steinbruckner pasti mempunyai ramuan terbaik untuk menyekat Stallions.
3. Central Coast Mariners
Barangkali merupakan cabaran utama Terengganu dalam saingan Piala AFC kali ini. Central Coast Mariners merupakan juara A-League Grand Final pada musim lalu selepas menumbangkan Melbourne City.
Dengan saingan domestik Australia hanya akan bermula pada bulan Oktober, ini bermakna Mariners akan memulakan musim baharu mereka dengan saingan Piala AFC.
Marco Tulio (kiri) merupakan penjaring kedua terbanyak Mariners musim lalu. — Agensi
Skuad kendalian Nick Montgomery ini mempunyai corak permainan gemar untuk menguasai bola serta menghukum lawan dengan serangan balas pantas. Jadi, boleh dikatakan yang Mariners adalah pasukan bahaya untuk dihadapi.
Penyerang handalan mereka adalah Jason Cummings, pemain kebangsaan Australia ini merupakan penjaring terbanyak Mariners pada musim lalu dengan 16 gol selain Marco Tulio yang menghasilkan sembilan jaringan.
Akan tetapi, Terengganu boleh menarik nafas lega kerana Mariners yang bakal mereka hadapi adalah berbeza dengan musim lalu. Hal ini kerana, Montgomery kini dalam radar untuk berpindah ke Scotland dengan menyertai Hibernian sementara Cummings telah bersama Mohun Bagan di India.
Namun begitu, Terengganu tetap perlu menganggap Mariners sebagai lawan yang sukar walaupun pengurus mungkin bertukar dan penyerang utama mereka tidak bersama.
Tidak mudah, tapi tiada yang mustahil
Jika dilihat kekuatan kesemua pasukan, boleh dikatakan Terengganu, Bali United, Stallions dan Mariners mempunyai tahap yang setara jadi persaingan dalam kumpulan ini akan terbuka.
Oleh kerana saingan ini terbuka, adalah perlu untuk Steinbruckner memastikan setiap mata dikutip terutamanya ketika beraksi di laman sendiri. Jika tidak, mereka berpotensi untuk ketinggalan dalam perlumbaan ke pusingan kalah mati.
Persaingan sebegini tampak sukar, tetapi tiada yang mustahil. Terengganu hanya perlu kemaskan permainan dan baiki kekurangan untuk menunjukkan kehebatan di peringkat Asia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram