Pernah berdepan hukuman FAM, janji Annuar Musa bola sepak Kelantan tak akan mati masih diingati – Sukan


BARU-BARU ini, terdapat laporan mengatakan sebuah pasukan Liga Super bakal berdepan larangan daripada FIFA untuk membuat sebarang proses pendaftaran.

Meskipun tidak didedahkan mengenai kelab berkenaan, orang ramai berasakan Kelantan FC merupakan entiti yang dimaksudkan berdasarkan khabar angin terbabit.

Ia berikutan isu gaji dan pengurusan yang amat teruk dihadapi pasukan Pantai Timur itu dengan terdapat laporan mengatakan aduan sudah dibuat kepada badan induk bola sepak antarabangsa itu.

Sekiranya perkara tersebut benar-benar terjadi, ia pastinya menjadi satu tamparan buat skuad The Red Warriors (TRW) yang pernah menjadi sebuah kelab gergasi tanah air.

Antara momen yang semestinya sukar dilupakan mengenai Kelantan FC adalah apabila mereka diberikan gelaran treble setelah memenangi kesemua tiga trofi domestik pada 2012.

Zaman kemegahan skuad TRW sememangnya sukar dilupakan.

Kemegahan pemain, sokongan tidak putus serta kebijaksanaan pihak pengurusan merupakan salah satu kunci untuk memastikan skuad TRW mencatatkan sejarah tersendiri.

Jika ditanya rata-rata penyokong skuad TRW, mereka pasti sebulat suara mengatakan bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa sebagai tulang belakang buat pasukan terbabit.

Ahli kelahiran Bachok, Kelantan itu sememangnya cukup popular dengan Kelantan FA apabila dia tidak pernah berhenti dalam menyumbang idea serta keringat demi pembangunan pasukan.

Dia yang memegang jawatan terbabit sejak November 2009 pernah beberapa kali diberikan cabaran sepanjang kariernya bersama skuad TRW, termasuk ketika dia dikenakan penggantungan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 2012.

Annuar yang sebelum itu mengeluarkan kenyataan negatif berkaitan skuad kebangsaan diberikan hukuman penggantungan selama 30 bulan sehingga menggugat kedudukannya dalam Kafa.

Namun, bekas Ahli Parlimen Ketereh tersebut bertegas dia tidak akan membiarkan situasinya dengan badan induk bola sepak negara memberi kesan terhadap Kelantan FA.

Skuad TRW pada 2023 berada dalam satu kemelut pengurusan yang cukup menyedihkan. — Facebook/TRW Kelantan FC

“Dulu bila orang kena hukum, kita hulur kepala, seolah-olah akur sahaja hukuman yang dikenakan ke atas kita. Saya masih hormat penggantungan ini.

“Tetapi, saya tidak akan biarkan bola sepak Kelantan yang saya bina bertahun-tahun mati kerana hukuman ini. Saya akan terus bekerja untuk bola sepak negeri ini,” katanya pada ketika itu.

Bagaimanapun, siasatan mendalam daripada FAM mendapati tiada alasan kukuh untuk memberikan penggantungan terhadap Annuar dengan dia hanya dikenakan amaran keras.

Ahli politik berusia 67 tahun itu terus memegang jawatan sebagai Presiden Kafa sehingga 2016 sebelum usahawan tanah air, Bibi Ramjani Ilias Khan membeli saham majoriti pasukan.

Sejak itu, skuad TRW berdepan beberapa perubahan dari segi pengurusan apabila empat tahun kemudian, Norizam Tukiman hadir untuk menjadi pemilik baharu kelab.

Namun, berikutan pelbagai aduan dan pendedahan dalaman, usahawan kelahiran Johor itu kini didesak untuk melepaskan Kelantan FC yang berdepan pelbagai isu pengurusan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram




Source link

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

FAM takkan berkompromi, Yazan mungkin terpaksa lupakan musim 2023 – Sukan

Next Post

[VIDEO] Goyang pinggul Sunday Afolabi jadi tumpuan, mungkin teruja nak jumpa JDT – Sukan

Related Posts