Perak, Kedah kena ‘standby’ KPG tarik 5 pemain ke Harimau Malaya – Sukan


PUSINGAN pertama Piala Malaysia antara Perak FC menentang Kedah Darul Aman (KDA) dipenuhi dengan elemen kejutan apabila The Bos Gaurus (TBG) menang 3-1 menumpaskan Sang Kenari di Stadium Perak, Ipoh pada Khamis.

Selain jaringan dari Luciano Guaycochea, Luka Milunovic dan Hakimi Mat Isa mengjutkan penyokong, perlawanan berkenaan juga mencuri tumpuan apabila pertahanan KDA FC, Rodney Calvin dilayangkan kad merah kerana menyepak muka pemain import Korea, Seo Seonung.

Rentetan kejadian berkenaan, pemain import Korea Selatan itu disahkan patah hidung terpaksa berehat panjang dan khidmatnya juga sekali gus tidak dapat digunakan pada aksi seterusnya.

Meskipun perlawanan pertama itu ada elemen kejutan dan kontroversi namun ia bukan halangan buat pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon dari menilai kualiti pemain kedua-dua pasukan.

Perkara itu timbul selepas pengendali dari Korea Selatan tersebut dilihat hadir menyaksikan aksi di Stadium Ipoh dan ramai penyokong berpendapat Pan-gon dalam misi menilai pemain yang ingin dibawa pada perlawanan antarabangsa September ini, serta Pestabola Merdeka.

Berdasarkan perlawanan sebelum ini dan aksi di laman Perak FC itu, berikut lima pemain yang mungkin berada dalam radar Pan-gon;

1) Firdaus Saiyadi

Firdaus meraikan jaringan gol dari Milunovic. — Facebook/Perak

Bagaikan sirih pulang ke gagang, inilah peribahasa tepat yang boleh digambarkan kepada jeneral tengah Perak FC, Firdaus Saiyadi apabila kembali menyertai TBG pada jendela perpindahan kedua lalu dari Kuala Lumpur (KL) City FC.

Firdaus yang juga bekas ketua pasukan skuad Seladang pada musim lepas itu mampu beraksi di posisi tengah dan hantaran serta kelicikannya amat ditagih untuk membantu rakan sepasukan memburu jaringan.

Seperti pada aksi Khamis lepas di Stadium Ipoh itu, Firdaus membuat hantaran bantuan sebelum Milunovic mencetak jaringan pada minit ke-55 perlawanan.

Selain kemampuannya mengetuai bahagian tengah, pemain berusia 26 tahun itu juga mampu beraksi di posisi sayap kanan pada perlawanan Khamis lepas.

Oleh itu, tidak mengejutkan jika Pan-gon akan melihatnya sebagai seorang pemain yang versatil dan berkemungkinan akan kebolehannya akan diuji pada aksi persahabatan Harimau Malaya nanti.

2) Shivan Pillay

Shivan hanya tidak turun dalam satu aksi Liga Super. — Facebook/Perak

Pertahanan kental Seladang, A. Shivan Pillay boleh dilabel sebagai ‘key player’ Perak FC musim ini dengan dalam 18 perlawanan Liga Super, dia hanya tidak diturunkan pada perlawanan menentang PDRM FC yang berakhir dengan keputusan 1-2 memihak kepada The Cops.

Shivan yang berusia 22 tahun boleh bermain sebagai pemain tengah atau pemain tengah bertahan dan sering mendapat pujian orang ramai kerana kepelbagaian, kadar kerja dan tekniknya.

Saingan Piala Malaysia ini, Yusri Che Lah turut tidak melepaskan peluang untuk menggunakan kemahiran bekas pemain Selangor itu untuk mengetuai benteng pertahanan daripada ditembusi KDA FC.

Masih menampilkan persembahan cemerlang sepanjang 90 minit masa perlawanan, Shivan sememangnya pemain yang tepat untuk dipertimbangkan Pan-gon untuk mencuba bakat muda seperti bekas pemain Petaling Jaya (PJ) City itu.

3) Hakimi Mat Isa

Hakimi antara pemain muda semakin meningkat dalam Perak FC. — Facebook/Perak

Ubi muda yang dulunya banyak beraksi untuk skuad simpanan Perak kini semakin mencuri perhatian Yusri untuk menyenaraikannya dalam barisan pemain pasukan utama.

Penyerang berusia 22 tahun itu sudah diberikan peluang dalam empat perlawanan Liga Super dan Hakimi juga membalas kepercayaan jurulatih dengan memberi sumbangan hantaran bantuan pada aksi menentang Kuching City.

Penyokong TBG rata-ratanya berpendapat bahawa Hakimi merupakan seorang penyerang yang laju, memiliki penguasaan bola yang baik, tenang di hadapan gawang gol dan mempunyai penyudah.

Dengan usianya yang muda itu adalah tidak mustahil jika pemain bawah 23 tahun tersebut akan mendapat peluang Pan-gon untuk menilai dan mencari pelapis di bahagian serangan Harimau Malaya.

4) Wan Amirul Afiq

Amirul tampil dalam 16 aksi Liga Super bersama Kedah. — Facebook/KDAFC

Perpindahannya dari Melaka United FC pada awal musim ini membuahkan hasil apabila Wan Amirul Afiq tidak memanaskan bangku simpanan dan sebaliknya merupakan antara pemain utama Sang Kenari.

Setakat ini, pemain kelahiran Kelantan itu sudah tampil dalam 16 perlawanan Liga Super dengan memberi satu hantaran bantuan dan Amirul juga diberi kepercayaan Nafuzi Zain untuk turun beraksi.

Walaupun pada perlawanan Piala Malaysia itu Kedah menampilkan persembahan kurang cemerlang namun prestasi Amirul secara peribadi pada aksi itu dan sebelum ini tidak boleh dilupakan.

Pemain itu sebelum ini membantu penyerang kelahiran Nigeria, Ifedayo Olusegun untuk menjaringkan gol ketika menentang PDRM FC.

Amirul yang beraksi di posisi bek kanan berkemungkinan sedang dipantau Pan-gon untuk membuat sistem penggiliran apabila tonggak JDT, Matt Davies mengalamai kecederaan atau perlu direhatkan.

5) Ariff Farhan

Ariff mampu beraksi di posisi bek kanan dan kiri. — Facebook/KDAFC

Bek versatil Kedah, Ariff Farhan Md Isa musim ini semakin menyerlah kemahirannya di bawah sentuhan Nafuzi sehingga menjadi antara pemain pertahanan utama Sang Kenari pada musim ini.

Musim ini, anak jati Kedah itu diturunkan dalam 17 perlawanan Liga Super dan mencetak satu jaringan gol dan satu hantaran bantuan untuk pasukan berpangkalan di Utara tanah air tersebut.

Pemain berusia 27 tahun itu pada asalnya merupakan bek kanan semula jadi namun sering digunakan sebagai bek kiri dalam beberapa musim kebelakangan ini.

Ariff Farhan menjadi pemain Kedah seterusnya yang mungkin diberi kesempatan untuk mencuba latihan di bawah kendalian Pan-gon bersama Harimau Malaya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram




Source link

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Terkenal dengan hantaran padu, Htet Aung tidak sabar robek gawang KUFC – Sukan

Next Post

Sukar mencari pengganti Mickey — Cheng Hoe – Sukan

Related Posts