Perak FC bakal hadapi tugas sukar di Likas apabila OKS turunkan 3 pemain ini – Sukan


PENCARIAN kejuaraan buat pasukan Borneo, Sabah FC diteruskan apabila mereka akan menentang Perak FC dalam aksi suku akhir Piala Malaysia.

Jika dilihat secara kasar, Sabah dianggap sebagai pasukan pilihan kerana mempunyai set pemain yang lebih baik berbanding Perak.

Namun begitu, itu tidak boleh dijadikan satu-satunya kayu pengukur. Harus diingat, Perak menewaskan satu lagi pasukan pilihan iaitu Kedah Darul Aman (KDA) FC sewaktu pusingan sebelumnya.

Oleh itu, Sabah perlu waspada dan tidak memandang rendah keupayaan Perak dalam perlawanan ini. Dalam aksi kalah mati, apa saja boleh berlaku.

Berdasarkan analisis ringkas Majoriti, ini adalah tiga pemain yang boleh diharapkan oleh skuad Badak untuk memastikan kemenangan milik mereka.

1. Saddil Ramdani

Nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi, Saddil adalah pemain yang sentiasa memberikan ancaman setiap kali beraksi untuk Sabah.

Pemain sayap kebangsaan Indonesia ini musim ini telah mencatatkan enam gol dalam Liga Super. Ancaman yang diberikan oleh Saddil ketika beraksi turut dapat dilihat menerusi bantuan jaringan yang dilakukan untuk rakan sepasukan.

Saddil cukup lincah apabila beraksi. — Facebook/Sabah FC

Saddil telah mencecah paras dua angka dalam bantuan gol musim ini dengan sembilan daripadanya hadir dalam saingan Liga Super dan satu sewaktu perlawanan pusingan 16 pasukan menentang Kuching City FC.

Dia adalah ancaman nyata untuk Perak awasi. Gagal kawal pergerakannya maka gawang The Bos Gaurus berpotensi untuk dibocori.

2. Ramon Machado

Penyerang Brazil ini jelas sekali pelaburan berbabloi dilakukan oleh Datuk Ong Kim Swee dalam usaha menguatkan barisan hadapan skuad Badak.

Sejak menyertai Sabah pada pertengahan musim, Machado begitu tajam di depan pintu gol. Sebagai rekod, dia telah menghasilkan enam gol dan dua bantuan jaringan dalam tujuh aksi Liga Super.

Machado cukup tajam di depan gol untuk skuad Badak. — Facebook/Sabah FC

Sementara dalam tugasan Piala Malaysia, dua jaringan dalam dua aksi membuktikan Machado adalah pemain berbisa yang Perak perlu ambil perhatian lebih.

Jika diturunkan, tugas berat menanti pertahanan Perak bagi menyekat kemaraaan Machado. Kehadirannya dalam kawasan penalti The Bos Gaurus pasti akan menggusarkan penyokong mereka.

3. Park Tae-su

Pemain dari Korea Selatan ini sememangnya nadi kepada Sabah terutamanya di bahagian pertahanan. Namun itu bukanlah satu-satunya kehebatan Tae-su.

Park Tae-su kental bertahan dan tajam di depan gol. — Facebook/Sabah FC

Selain kental bertahan, Tae-su juga adalah pemain yang tajam di depan pintu gol. Musim ini sahaja dia sudah menjaringkan tujuh gol dalam saingan Liga Super serta menghasilkan satu bantuan jaringan. Ia adalah satu rekod baik untuk seorang pemain pertahanan.

Tae-su belum meninggalkan kesan luka kepada lawannya dalam Piala Malaysia dan Perak boleh menjadi mangsa pertamanya jika tidak dikawal rapi pergerakannya terutamanya ketika situasi bola mati.

Tugas sukar menanti

Semestinya bukan laluan mudah untuk Perak apabila berdepan Sabah terutamanya perlawanan di Likas. Taktikal ampuh serta pendekatan berkesan diperlukan supaya dapat mengekang kemaraan pemain skuad Badak.

90 minit pertama di Likas amat penting bagi menentukan hala tuju kedua-dua pasukan, baik mereka yang gah dengan pemain handalan atau hadir sebagai bukan pilihan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram




Source link

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Lepas tinggalkan KDA FC, Lee Tuck fokus jadi ejen hartanah – Sukan

Next Post

Erik ten Hag lantik tukang masak baharu, jaga perut pemain United – Sukan

Related Posts