Perak, 2 kelab Pantai Timur dijangka buat kejutan dalam aksi kedua Piala Malaysia – Sukan


PERLAWANAN Liga Super minggu ini akan ditangguhkan untuk memberi laluan buat lapan aksi timbal balik Piala Malaysia yang berlangsung dari Jumaat hingga Ahad.

Selepas pertembungan pertama berlangsung awal Ogos lalu, pelbagai keputusan menarik disajikan buat penyokong bola sepak tempatan.

Kekalahan besar 1-5 yang dialami Kelantan FC ketika menerima kunjungan Johor Darul Takzim (JDT) di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kelantan seakan-akan menutup jalan mereka untuk ke peringkat seterusnya.

Tidak cukup dengan itu, Penang FC yang tumpas kepada Kuala Lumpur (KL) City FC selepas dibolosi sebanyak empat kali juga menyaksikan harapan mereka untuk mara semakin sulit.

Kedua-dua pasukan berkenaan pastinya memilih untuk menerima realiti atas penyingkiran awal daripada pertandingan itu, lebih-lebih lagi apabila mereka bakal bertandang ke tempat lawan untuk aksi minggu ini.

Namun, selain dua keputusan itu, masih terdapat enam baki perlawanan yang masih dinanti-nantikan penyokong kelab masing-masing.

Selain mempunyai jurang gol yang kecil, kemaraan masih dapat dilakar sekiranya pihak kejurulatihan pasukan dapat memanfaatkan jaringan tempat lawan.

Perubahan drastik daripada pihak kejurulatihan pastinya melakar peluang buat mereka menempah tiket ke peringkat suku akhir, sekali gus mencipta kejutan tersendiri.

Berdasarkan kesemua 16 peserta dalam kempen Piala Malaysia kali ini, terdapat tiga pasukan yang masih boleh membuat satu keajaiban ketika aksi timbal balik berlangsung.

1. Perak FC

Permulaan goyah dalam kempen Liga Super 2023 menyaksikan Perak FC terus berada dalam kelompok lima pasukan tercorot dengan hanya enam perlawanan berbaki buat mereka.

Kedudukan berkenaan sedikit sebanyak membuatkan peminat bola sepak negara untuk tidak melabel mereka sebagai pencabar takhta musim ini.

Pandangan tersebut diburukkan lagi apabila skuad The Bos Gaurus (TBG) ditunjukkan jalan keluar daripada saingan Piala FA di peringkat awal oleh Sri Pahang FC.

Namun, situasi itu tidak melunturkan semangat kelab Utara tanah air itu apabila mereka melakar kejutan dalam kempen Piala Malaysia ketika ini.

Mereka yang melakar kemenangan selesa 3-1 ke atas Kedah Darul Aman (KDA) FC memberi peluang cerah buat skuad TBG untuk menempah tiket ke suku akhir.

Skuad TBG memiliki kelebihan selepas meraih kemenangan dalam aksi pertama Piala Malaysia. — Facebook/Perak FC

Bagaimanapun, bagi sesetengah pihak, juara Piala Malaysia 2018 itu berdepan cabaran getir untuk melakar kemaraan apabila mereka perlu beraksi buat kali kedua di tempat lawan.

Skuad Sang Kenari dilihat mempunyai kelebihan memandangkan mereka memiliki satu jaringan tempat lawan yang bermakna di samping dibarisi pemain lebih berkualiti.

Tetapi, perlu diingatkan bahawa Perak FC dilihat lebih dahaga untuk memastikan kemaraan berbanding KDA FC yang lebih memberikan tumpuan terhadap saingan Liga Super.

Selain itu, tonggak-tonggak skuad kendalian Yusri Che Lah juga seakan-akan cukup bersedia, terutamanya Luciano Guaycochea yang direhatkan ketika perlawanan baru-baru ini.

2. Kelantan United

Hanya lapan mata dikutip Kelantan United dalam Liga Super musim ini selepas mengharungi 19 perlawanan dengan cuma satu kemenangan dapat dilakar.

Prestasi mereka beberapa perlawanan kebelakangan ini juga tidaklah terlalu membanggakan memandangkan skuad Kijang Hijau hanya membawa pulang dua mata daripada lima perlawanan.

Pulangan berkenaan menyebabkan pasukan Pantai Timur itu tersungkur ke tangga ke-12 dengan mereka kini terikat dengan Kelantan FC dari segi kutipan mata.

Mampukah skuad Kijang Hijau melakar kejutan dalam Piala Malaysia musim ini? — Facebook/Kelantan United FC

Situasi tersebut turut tidak berubah ketika perlawanan pertama Piala Malaysia apabila skuad kendalian Ailton Silva tewas kepada Negeri Sembilan FC di laman sendiri.

Gol sulung yang dijaringkan Sean Selvaraj dalam perlawanan 5 Ogos lalu menyaksikan Kelantan United mengalami kekalahan tipis, namun tidak menjadi sebab buat mereka mengibarkan bendera putih terlalu awal.

Percaturan berbeza daripada pengendali kelahiran Brazil itu akan memberikan peluang buat skuad Kijang Hijau mara ke peringkat suku akhir Piala Malaysia buat pertama kali dalam sejarah kelab.

Kepercayaan perlu diberikan kepada gandingan penyerang import, Ismahel Akinade serta OJ Porteria dalam aksi terbabit untuk merobohkan benteng pasukan lawan.

Tetapi, tugasan itu pastinya tidak mudah buat mereka memandangkan skuad kendalian K Devan cukup dikenali dengan kebolehan untuk menyekat serangan pihak lawan musim ini.

3. Sri Pahang FC

Kelab Liga M3, Harini FT hampir mencipta kejutan dalam perlawanan pertama Piala Malaysia apabila hampir mengikat Sri Pahang FC.

Selepas ketinggalan dengan dua gol pada separuh masa pertama, perubahan taktikal yang dilakukan ketua jurulatih, P Maniam membuahkan hasil apabila mereka mengikat kedudukan.

Namun, percaturan dan kesabaran yang dipamerkan pemain skuad Tok Gajah memberikan kelebihan buat mereka apabila Baqiuddin Shamsudin meletakkan pasukannya kembali di hadapan.

Kelab Pantai Timur itu bagaimanapun masih belum boleh menarik nafas lega apabila mereka bakal berdepan kelab liga bawahan tersebut untuk aksi timbal balik pada Ahad.

Sri Pahang FC masih belum boleh menarik nafas lega dalam kempen Piala Malaysia mereka musim ini. — Facebook/Sri Pahang FC

Perlawanan yang bakal diadakan di Stadium Darul Makmur, Pahang itu pastinya akan menarik perhatian penyokong dengan nasib mereka masih belum dimuktamadkan.

Melihat kepada kedudukan terkini, skuad kendalian Fandi Ahmad dijangka akan memberikan minit permainan buat pemain muda untuk pertembungan itu.

Tetapi, jurulatih kelahiran Singapura berkenaan dijangka akan mencipta kejutan tersendiri apabila akan meletakkan skuad utama mereka.

Kemenangan besar dilihat mampu dicatatkan Sri Pahang FC ketika berdepan Harini FT, sekali gus memastikan tempat dalam suku akhir Piala Malaysia untuk kali pertama sejak 2019. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram




Source link

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

JDT bakar suar, ledakan Ayron, tewas seperti MU antara 4 momen kenduri gol Liga M musim ini – Sukan

Next Post

Kekal di JDT, Kim Pan-gon bakal panggil bintang naturalisasi sarung jersi Harimau Malaya – Sukan

Related Posts