Pemain sertai kelab luar negara, isu VAR antara perkara dibincang Hamidin di Majlis FIFA – Sukan


PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin mengesahkan bahawa pelan Malaysia menghantar pemain berkualiti yang berminat beraksi di luar negara, bakal direalisasikan.

Hamidin menerusi satu kenyataan pada Jumaat menjelaskan terdapat pelbagai usaha yang sedang digembleng bagi memacu kemajuan bola sepak Malaysia.

Beliau yang kini berada di Kigali, Rwanda bagi membincangkan tiga elemen utama dalam memperkasakan bola sepak negara iaitu video bantuan pengadil (VAR), perlawanan antarabangsa Tier 1 FIFA dan pelan menghantar pemain negara berkualiti yang berminat berkelana dengan kelab luar negara.

Menurut Hamidin, antara perkara yang dititikberatkan olehnya adalah berkenaan potensi untuk menghantar bakat muda berkualiti negara ke pentas yang lebih besar.

“Kita juga membincangkan secara terperinci dengan Emiriah Arab Bersatu, Arab Saudi, Qatar, Jepun dan Republik Korea mengenai pemain negara yang dilihat berkualiti dan berminat untuk dihantar bermain dengan liga negara terbabit,” katanya.

Pada acara itu, Hamidin berkesempatan bertemu Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FIFA, Pierluigi Collina dan beberapa rakan seangkatannya dalam kalangan pemimpin bola sepak antarabangsa.

Hamidin (kiri) dan Collina membincangkan jenis kamera VAR yang boleh digunakan. — Facebook

Mengulas lanjut, Hamidin berkata, usaha itu dilihat bagi mengembangkan lagi potensi yang dimiliki terutamanya bagi bakat muda yang berada di Malaysia untuk terus menempatkan diri dalam kancah bola sepak Asia.

Antara pemain yang sudah pernah beraksi di luar negara ialah Hadi Fayyadh di Jepun, R. Kogileswaran di Korea dan Luqman Hakim yang berada di Iceland ketika ini.

Ini juga bagi memantapkan lagi persediaan pasukan menjelang sepak mula Piala Asia 2024 yang berlangsung di Qatar awal tahun depan.

Sementara itu, Hamidin berkata, Collina menjelaskan ada dua jenis VAR yang boleh menjadi pilihan iaitu Full VAR yang dilengkapi dengan minimum lapan kamera atau VAR Light (kurang dari lapan kamera).

“Meskipun Collina mencadangkan Full VAR namun menjelaskan VAR Light boleh juga digunakan untuk peringkat permulaan ekoran harganya yang lebih murah 50 peratus.

“Namun Collina mengingatkan kualiti pastinya jauh berbeza dengan Full VAR jika memilih untuk menggunakan VAR Light,” katanya sambil memberitahu, tindakan susulan akan diadakan oleh FAM, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dengan unit Pengadil FIFA mengenai penggunaan VAR.

Terdahulu, sehari menjelang kongres, Hamidin juga turut menghadiri mesyuarat Majlis FIFA pada Selasa (14 Mac 2023).

Hamidin (dua dari kiri) menghadiri mesyuarat Majlis FIFA di Kigali. — Facebook

Justeru, sepanjang tempoh berada di Kigali, Hamidin berkesempatan berjumpa Presiden Persatuan Bola Sepak UAE, Sheikh Rashid Al Nuaimi; Presiden Persekutuan Bola Sepak Arab Saudi, Yasser Al Misehal; Presiden Persatuan Bola Sepak Jepun, Kohzo Tashima; Presiden Persatuan Bola Sepak Montenegro, Dejan Savicevic; Presiden Persatuan Bola Sepak Cyprus, George Koumas; Presiden Persatuan Bolasepak Fiji, Rajesh Patel; Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Qatar, Mansour al-Ansari dan Ahli Majlis FIFA dari CAF yang juga ahli Lembaga Pengarah Yayasan FIFA, Isha Johansen.

“Dalam pertemuan ini kita membincangkan potensi kerjasama dua hala terutama buat pasukan kebangsaan mengadakan perlawanan persahabatan di luar negara antaranya Fiji, Montenegro, Cyprus, Sierra Leon dan Rwanda.

“Kita juga membincangkan secara terperinci dengan UAE, Arab Saudi, Qatar, Jepun dan Republik Korea mengenai pemain negara yang dilihat berkualiti dan berminat untuk dihantar bermain dengan liga negara terbabit,” katanya.

Kongres FIFA di Kigali pada Khamis turut menyaksikan Gianni Infantino dipilih semula tanpa bertanding sebagai Presiden untuk empat tahun lagi.

Hamidin turut mengucapkan tahniah kepada Infantino atas pelantikan beliau sebagai Presiden FIFA.

“Sokongan dan komitmen beliau kepada bola sepak Asia, Asean khususnya amat dihargai dan beliau sememangnya layak untuk terus memimpin FIFA,” katanya.

Turut mengiringi Hamidin sepanjang di Rwanda ialah Naib Presiden FAM, Mohd Firdaus Mohamed dan dua exco FAM, Datuk Adly Shah Ahmad Tah serta Syed Yazid Syed Omar. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram




Source link

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Fans ‘hidu’ kepulangan anak perantau HM, kagum masih tak lupa menu kegemaran tempatan – Sukan

Next Post

Serik tewas kepada pasukan underdog, Hidalgo anggap The Cats tetap lawan sukar – Sukan

Related Posts