Media Indonesia mula gerun, anggap Stuart Wilkin pahlawan Harimau Malaya jinakkan Singapura – Sukan


SELEPAS kekalahan kontroversi di tangan Vietnam, skuad Harimau Malaya boleh menarik nafas lega apabila berjaya mara ke peringkat separuh akhir apabila menewaskan Singapura 4-1 dalam aksi terakhir Kumpulan B, kejohanan Piala AFF Mitsubishi Electric pada Selasa.

Perlawanan terbabit berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Pemain terbaik perlawanan (MOTM), Stuart Wilkin berjaya menjaringkan dua gol yang menakjubkan sehingga menewaskan penjaga gawang Singapura, Hassan Sunny.

Persembahan baik Stuart Wilkin dalam perlawanan itu mendapat perhatian media negara jiran, Indonesia yang mendedahkan profil bekas produk kelab England, Southampton itu.

Apa tidaknya, media seberang kini seakan-akan bimbang dengan kehebatan dan kualiti yang dipamerkan pemain tengah berusia 24 tahun itu dalam membantu skuad Harimau Malaya menamatkan badi kemenangan menentang Singapura sejak November 2014.

Media Indonesia, Tribun News melaporkan kehebatan Wilkin di dalam sebuah video yang dipaparkan di dalam sebuah artikel berkaitan Harimau Malaya semasa menewaskan Singapura pada Selasa.

Malaysia akan berdepan juara bertahan Thailand pada peringkat separuh akhir secara timbal balik di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu ini dan di Stadium Thammasat di Pathum Thani Selasa depan.

Vietnam menewaskan Myanmar 3-0 pada satu lagi aksi terakhir Kumpulan B di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi pada Selasa, sekali gus mengumpul 10 mata, diikuti Malaysia (sembilan mata), Singapura (tujuh mata) serta Myanmar dan Laos (masing-masing satu mata).

Satu lagi aksi separuh akhir membabitkan pertemuan Vietnam dengan Indonesia.

Jika kedua-dua pasukan berjaya mengatasi halangan di semi final, tidak mustahil Malaysia-Indonesia akan kembali bertemu di pentas akhir, sekali gus mengulangi sejarah final Piala AFF 2010 yang menyaksikan skuad kebangsaan muncul juara menerusi agregat 4-2.

Dalam pada itu, Bernama melaporkan, Wilkin menyifatkan kejayaan menjaringkan gol untuk Harimau Malaya di hadapan penyokong tuan rumah sememangnya sesuatu yang tidak pernah dijangka.

Pemain tengah kacukan Malaysia-England itu berkata, beliau tidak menyangka dapat menjaringkan dua gol dalam pertemuan berdepan Singapura, sekali gus melakar prestasi unggulnya sehingga dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan.

“Saya seorang pemain yang sentiasa percaya pada diri sendiri. Saya jarang menjaringkan gol dalam bola sepak Malaysia. (Namun) berjaya menjaringkan dua gol di hadapan lebih 65,000 peminat membuatkan saya tersenyum.

“Ia adalah malam yang menakjubkan. Saya harap dapat menjaringkan lebih banyak gol dalam jersi Malaysia selepas ini,” katanya.

Selepas Darren Lok menjaringkan gol pertama untuk Malaysia pada minit ke-35, kesilapan penyerang gantian Singapura, Shawal Anuar menahan bola membolehkan Wilkin menguasai semula perlawanan dan melepaskan rembatan kencang dari luar kotak pada minit ke-50.

Empat minit kemudian, beliau sekali lagi mencuri tumpuan dengan gol kedua sekali gus menambah jumlah golnya kepada tiga pada kejohanan itu, selepas menjaringkan gol pertamanya menewaskan Laos 5-0 pada 24 Disember lepas di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Mengulas mengenai perlawanan berkenaan, pemain Sabah FC itu menyifatkannya sebagai kemenangan menakjubkan dalam Causeway Derby sebagai satu daripada malam terbesar bagi arena bola sepak negara dan memuji barisan kejurulatihan atas dedikasi serta kerja keras mereka di belakang tabir.

“Saya juga percaya setiap pemain yang melangkah kaki ke padang boleh mempamerkan persembahan yang boleh dibanggakan semua penyokong. Saya sangat bangga dapat mewakili negara,” katanya.

Mengakui bahawa perjalanan sukar menanti Malaysia pada separuh akhir menentang juara Kumpulan A Thailand selepas ini, pemain berusia 24 tahun itu bagaimanapun berkata, beliau hanya mahu merebut peluang itu dan cuba memberikan keputusan terbaik untuk mara ke final. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram




Source link

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Tugas di Eropah sudah selesai, yang kritik saya ke Arab Saudi tak tahu apa pasal bola sepak — CR7 – Sukan

Next Post

‘Cemuih makan patin tempoyak’, Hidalgo dah dapat tarikh ‘sign’ kontrak Sang Kenari – Sukan

Related Posts