PENAMPILAN bersama buat pasukan kebangsaan merupakan salah satu impian terbesar buat pemain bola sepak tanpa mengira asal usul mereka.
Meskipun panggilannya itu tidak menjanjikan bayaran dari segi bayaran, ia dapat memberikan satu rasa bermakna dengan ada daripada mereka meletakkanya sebagai cita-cita dalam karier masing-masing.
Bagaimanapun, untuk mendapatkan peluang berkenaan, seseorang perlu beraksi dengan cukup baik bersama kelab masing-masing supaya dapat menambat hati ketua jurulatih negara.
Perkara tersebut turut berlaku di Liga Malaysia apabila pengendali Harimau Malaya perlu melakukan penilaian terbaik untuk aksi di peringkat antarabangsa.
Pan-gon perlu melakukan keputusan terbaik buat pasukan negara.
Situasi berkenaan bukan sahaja perlu dihadapi Kim Pan-gon dengan hal sebegitu juga sepatutnya diselesaikan jurulatih terdahulu untuk memastikan kejayaan berjaya diraih dalam setiap perlawanan.
Tetapi, terdapat juga situasi di mana pemain berjaya menampilkan persembahan terbaik di peringkat antarabangsa walaupun jarang diberikan minit permainan bersama kelab masing-masing.
Kesungguhan yang dipamerkan, baik daripada seorang penyerang mahupun pertahanan setiap kali menyarung jersi Harimau Malaya bukanlah sesuatu yang baharu.
Hal sebegitu pastinya akan merunsingkan pengendali pasukan kebangsaan apabila mereka perlu membuat keputusan terbaik untuk ke kem latihan negara.
Selain itu, pendekatan mereka juga akan menimbulkan persoalan daripada penyokong bola sepak tanah air yang mungkin berasakan panggilan itu tidak sepatutnya.
Bagaimanapun, untuk tiga pemain berikut, mereka berjaya mengejutkan ramai pihak memandangkan masing-masing sering menampilkan aksi terbaik buat Harimau Malaya meskipun jarang diberikan minit permainan.
1. Akhyar Rashid (JDT)
Selepas tamatnya aksi antarabangsa antara skuad kebangsaan dengan Syria tempoh hari, nama pemain sayap, Akhyar Rashid mula meniti bibir penyokong bola sepak tanah air.
Jaringannya dikatakan sebagai titik kebangkitan Harimau Malaya dalam pertembungan itu memandangkan skuad kendalian Pan-gon sedang ketinggalan ketika itu.
Ia bukanlah sesuatu yang baharu memandangkan pada awal tahun lalu, anak jati Kedah berkenaan turut menjadi wira buat skuad kebangsaan ketika bertemu Turkmenistan dan Hong Kong.
Sumbangan itu jelas membuka mata orang ramai yang tidak mahu memandang rendah mengenai kebolehan Akhyar yang masih mampu menjadi ancaman buat pihak lawan di peringkat antarabangsa.
Sumbangan Akhyar sering dinanti-nantikan bersama pasukan negara. — Agensi
Tanggapan serong berkenaan sering diberikan memandangkan pemain sayap berusia 24 tahun itu acapkali memanaskan bangku simpanan di Johor Darul Takzim (JDT).
Musim ini, Akhyar hanya mencatatkan 11 penampilan Liga Super bersama skuad Harimau Selatan dengan hanya dua gol dan satu bantuan jaringan dihasilkan.
Bagaimanapun, statistiknya di peringkat kebangsaan menceritakan perkara sebaliknya apabila dia sudah merekodkan tiga jaringan dalam lima penampilan sepanjang 2023.
Oleh itu, namanya dianggap cukup sesuai untuk diletakkan sebagai antara pemain yang sering bersinar bersama skuad kebangsaan meskipun kurang diberikan peluang di peringkat kelab.
2. Zaquan Adha Abdul Radzak (Negeri Sembilan)
Sejak memulakan karier dalam dunia bola sepak pada 2005, Zaquan Adha Abdul Radzak bukanlah seorang pemain yang kerap menjadi bahan bualan.
Meskipun pernah bersinar ketika zaman kegemilangan ATM FA, pemain kelahiran Seremban, Negeri Sembilan itu sering dilupakan mengenai kehadirannya dalam Liga Super.
Selain itu, dia yang pernah mewakili beberapa pasukan seperti JDT II dan Kedah FA juga sering diendahkan setiap kali berbincang mengenai seorang penyerang prolifik tempatan.
Zaquan mempunyai kualiti tersendiri setiap kali bersama Harimau Malaya. — Bernama
Namun, cerita berbeza dapat disaksikan setiap kali pemain berkenaan menyarung jersi skuad kebangsaan apabila dia kerap menampilkan aksi terbaik.
Antara contoh terbaik untuk menceritakan mengenai kehebatan kapten skuad Jang itu adalah ketika dia menjaringkan empat gol ketika aksi persahabatan menentang Bhutan pada 2018.
Di samping itu, kebolehannya di pentas antarabangsa turut didambakan semasa era Tan Cheng Hoe meskipun Zaquan sudah berusia 31 tahun.
Untuk rekod, bekas kapten Harimau Malaya itu sudah menjaringkan 12 gol dalam 49 penampilan di pentas antarabangsa sejak mencipta debut pada 2007.
3. Jafri Firdaus Chew (Sabah FC)
Karier pemain sayap, Jafri Firdaus Chew tidaklah berjalan seperti mana diharapkan apabila dia terus bergelut untuk mencipta impak.
Selepas bergelut untuk dua musim bersama Penang FA, pemain kelahiran Bagan Luar, Pulau Pinang itu membuat keputusan berhijrah ke Sabah FC awal tahun lalu.
Perpindahan itu dibuat supaya membolehkannya kembali bekerjasama di samping pengendalinya, Datuk Ong Kim Swee dengan kedua-dua mereka pernah bersama-sama di skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara.
Jafri memulakan kariernya bersama skuad muda negara dengan cukup baik.
Namun, sekiranya persoalan diajukan kepada penyokong setia bola sepak tanah air, mereka pastinya sukar melupakan nama Jafri.
Ia selepas pemain itu pernah diangkat sebagai penyerang muda negara ketika menyarung jersi Harimau Malaya bersama skuad remaja.
Hal itu dapat disaksikan ketika penyerang berusia 26 tahun berkenaan sering membarisi skuad muda Harimau Malaya ketika namanya terus disebut-sebut.
Tetapi, sejak itu, Jafri sudah tidak dapat menghidupkan kariernya apabila bergelut dengan isu kecederaan sehingga menyebabkan kelibatnya kian dilupakan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram