Lupakan status ‘recycle’, 3 import Liga M bakal bangkit semula dengan kelab baharu – Sukan


TIDAK boleh dinafikan bahawa pasukan Liga Malaysia giat melakukan perbelanjaan secara besar-besaran untuk mempersiapkan diri bagi menghadapi musim akan datang.

Selain pemain tempatan, beberapa import baharu juga diperkenalkan beberapa kelab yang mengharapkan sentuhan dan sumbangan mereka dapat menyuntik perbezaan.

Antara nama-nama besar yang dibawa masuk ialah pemain kelahiran Sepanyol, Oscar Arribas yang menyertai Johor Darul Takzim (JDT) sementara Kedah Darul Aman (KDA) FC mendapatkan khidmat penyerang berusia 29 tahun, Willian Lira.

Pemain-pemain tersebut pastinya memiliki platform tersendiri untuk membuktikan kebolehan di atas padang selepas ia merupakan kali pertama mereka menjejakkan kaki di tanah air.

Bagaimanapun, di sebalik perpindahan yang berlaku sepanjang jendela itu, terdapat juga beberapa pasukan yang memilih untuk membawa masuk wajah-wajah yang cukup dikenali.

Hal itu dilihat kurang membakar semangat penyokong apabila ada di antara mereka yang menyifatkan import tersebut sebagai pemain ‘kitar semula’ Liga Malaysia.

Malah, ada juga yang diambil dengan reputasi kurang menyenangkan bersama pasukan terdahulu, baik dari segi catatan gol mahupun sumbangan terhadap gaya permainan.

Tetapi, dengan musim baharu bakal berlangsung, ia merupakan satu medan buat mereka untuk membuktikan perubahan yang sudah mereka lalui, sekali gus membawa pasukan ke dimensi baharu.

Oleh itu, berdasarkan perpindahan sepanjang dua bulan ini, terdapat tiga import yang bakal mengambil peluang berada di kelab baharu untuk kembali bersinar.

1. Sony Norde (Terengganu FC)

Selepas bergelut dengan isu kewangan, Melaka United FC terpaksa melepaskan hampir keseluruhan pemain secara percuma dengan ada daripada mereka yang meninggalkan skuad Hang Tuah ketika pertengahan musim.

Antara pemain yang mengambil pendekatan itu ialah penyerang kelahiran Haiti, Sony Norde walaupun dia diberikan kepercayaan untuk memakai lilitan kapten.

Jadi, selepas tidak lagi terikat dengan Melaka United, khidmat pemain itu disambar Terengganu FC yang cukup berminat dengan kelincahan dan pengalamannya dalam Liga Malaysia.

Sepanjang dua musim bersama juara Liga Perdana 2016 itu, Sony berjaya memperolehi lima gol peribadi di samping mencipta 11 hantaran jaringan dalam 35 penampilan liga.

Pulangan itu seolah-olah kurang memberangsangkan, apatah lagi dengan dia pernah mencipta nama sebagai salah satu penyudah terbaik ketika berkelana di India dan Bangladesh.

Sony dijangka menjadi watak penting Terengganu FC pada 2023. — Facebook/Terengganu FC

Namun, keputusannya untuk kekal di Liga Malaysia dan menyertai skuad Sang Penyu pasti akan mengembalikan sentuhannya di hadapan pintu gol lawan.

Hal itu adalah kerana barisan kejurulatihan Terengganu FC pastinya akan mendambakan khidmat pemain berusia 33 itu untuk digandingkan bersama penyerang kebangsaan Thailand, Adisak Kraisorn.

Selain itu, kehilangan pemain sayap, Faisal Halim juga akan menyaksikan Sony diturunkan dengan lebih kerap bagi mengelirukan benteng pertahanan lawan.

Oleh itu, kehadirannya ke Pantai Timur tanah air pastinya membolehkan pemain itu untuk sekali lagi kembali membantu pasukan yang pernah diwakilinya itu.

2. Kpah Sherman (Sri Pahang FC)

Antara pemain import yang sudah cukup lama beraksi di liga tempatan ialah penyerang kelahiran Liberia, Kpah Sherman selepas sudah hampir lima tahun menghabiskan sisa-sisa kariernya.

Selain pernah beraksi bersama KDA FC, pemain bertubuh sasa itu juga pernah menyertai Terengganu FC dan PKNS FC sebelum memilih untuk berhijrah ke Sri Pahang FC pada 2023.

Namun, meskipun sudah mengumpul pelbagai pengalaman, dia masih menimbulkan keraguan dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan berikutan persembahan tidak konsisten.

Berdasarkan statistiknya musim lepas, Kpah gagal untuk mempamerkan taringnya di hadapan pintu gol sepanjang kempen Liga Super dengan hanya enam gol mampu dijaringkan.

Tetapi, ketika kempen Piala Malaysia, pemain berusia 30 tahun itu secara tiba-tiba menyerlah dengan tujuh gol peribadi berjaya dicatatkan dalam lima penampilan.

Kpah berdepan isu tidak konsisten sepanjang berada dalam Liga Malaysia. — Facebook/Sri Pahang FC

Perkara itu membuktikan bahawa Kpah merupakan salah seorang penyerang import prolifik Liga Malaysia, namun bergelut dengan isu konsistensi.

Bagaimanapun, pada musim akan datang, dia pastinya akan dapat memperbaiki perkara itu bersama skuad Tok Gajah dengan kehadiran pengendali kelahiran Singapura, Fandi Ahmad.

Kemampuannya untuk membawa perubahan terbaik kepada anak-anak buahnya dapat disaksikan ketika dia mengendalikan beberapa kelab di samping pernah melatih pasukan kebangsaannya.

Jadi, Kpah pasti akan dapat memberi keriangan terhadap penyokong Sri Pahang yang sebelum ini kecewa selepas kehilangan khidmat penyerang kelahiran Colombia, Steven Rodriguez.

3. Endrick dos Santos (JDT)

Selain mendapatkan beberapa pemain baharu, JDT turut mengambil peluang membawa masuk perancang kelahiran Brazil, Endrick dos Santos yang terikat bersama Penang FC pada 2022.

Sepanjang berada dalam skuad Harimau Kumbang, pemain itu bergelut dengan prestasi tersendiri selepas hanya merekodkan tiga bantuan gol dalam 14 penampilan Liga Super.

Namun, perlu diingatkan bahawa keputusan untuk mendapatkan khidmat pemain itu adalah kerana dia sudah memperolehi pelbagai pengalaman selepas hampir lima tahun beraksi di Liga Malaysia.

Dalam tempoh berkenaan, Endrick pernah mewakili beberapa pasukan, termasuk Felcra FC dan Selangor FC yang mana dia berjaya mencipta nama sebagai antara import terbaik.

Endrick merupakan antara rekrut baharu skuad Harimau Selatan. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

Selain itu, beberapa laporan mengatakan keputusan pihak pengurusan untuk menyambar khidmatnya adalah kerana dia difahamkan bakal diberikan status naturalisasi tidak lama lagi.

Persoalannya, mampukah dia sekali lagi membuktikan sentuhannya sebagai antara pemain tengah import terbaik ketika berkhidmat bersama skuad Harimau Selatan?

Berdasarkan pemerhatian, Endrick berpeluang untuk mendapatkan semula kebolehan itu, lebih-lebih lagi dengan kualiti yang dimiliki JDT ketika ini.

Di samping itu, kehadiran ketua jurulatih baharu, Estaben Solari turut mencerahkan lagi harapan tersebut dengan komunikasi antara kedua-dua pihak tidak akan lagi menjadi penghalang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram




Source link

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Aksi Piala Sumbangsih JDT, Terengganu FC buka tirai Liga Super 2023 – Sukan

Next Post

Barcelona FC ucap Selamat Tahun Baharu Cina buat Culers di Malaysia – Sukan

Related Posts