Lima penyerang import berbisa mampu selesai masalah Selangor, Sabah, Kedah dan Negeri Sembilan musim depan – Sukan


POSISI serangan merupakan peranan yang paling penting buat sesebuah kelab bola sepak kerana ia akan memberikan jaringan serta kemenangan buat pasukan yang bertanding.

Namun, dalam Liga Super musim ini, beberapa pasukan menghadapi kesukaran untuk membina serangan serta menghasilkan jaringan walaupun sudah melabur jutaan ringgit untuk merekrut pemain yang mahal.

Antara kelab-kelab tersebut ialah Selangor FC, Kedah Darul Aman FC, Sabah FC dan Negeri Sembilan FC yang dilihat sukar untuk menjaringkan gol serta merancang serangan padu ketika bola di dalam kawalan pasukan mereka.

Pada musim ini Selangor FC berjaya membawa masuk duo pemain Brazil iaitu Caion dan Hyuri namun gandingan mereka berdua tidak menunjukkan hasil positif.

Manakala di kem pasukan Kedah dan Sabah pula penyerang import mereka iaitu Ronald Ngah (Kedah) dan José Embaló (Sabah) seperti tidak menjadi sejak menyertai dua kelab itu.

Walaupun melakukan rombakan pemain import pada jendela perpindahan kedua Liga Super, Negeri Sembilan tampak masih kebuntuan untuk menjaringkan gol di dalam Piala Malaysia.

Majoriti menyenaraikan lima penyerang import yang mampu membantu pasukan Selangor, Sabah, Kedah dan Negeri Sembilan untuk menyelesaikan masalah di bahagian serangan.

Pato mempunyai rembatan padu seperti penyerang JDT, Bergson da Silva, selain berlari laju. — Agensi

1. Matheus Pato (Borneo FC)

Penyerang berketinggian 1.85 meter (m) ini seharusnya menjadi perhatian banyak kelab Liga Super kerana rekod jaringannya di dalam Liga Indonesia.

Pato yang baru berusia 27 tahun kini menduduki carta tertinggi penjaring terbanyak Liga Indonesia dengan 12 jaringan dalam 11 perlawanan.

Kelebihan Pato ialah dia mempunyai rembatan yang padu seperti penyerang Johor Darul Takzim (JDT), Bergson da Silva serta mempunyai larian pantas.

Pemain ini banyak menghabiskan karier bola sepak di negara kelahirannya, Brazil sebelum berhijrah ke Asia dengan menyertai kelab Korea Selatan dan Indonesia.

Menurut laman sesawang Transfermarkt, tanda harga Pato ialah RM 1,419,108 (€ 300,000) lebih murah berbanding beberapa pemain import seperti Hyuri Henrique, Caion dan Ronald Ngah.

Boris pernah menjaringkan gol melalui tandukan ketika bertemu Kuala Lumpur City FC dalam saingan Piala AFC 2022. — Agensi

2. Boris Kopitovic (Tampines Rovers)

Apa lagi yang ingin Boris Kopitovic buktikan untuk menjadi penyerang bagi kelab anda?

Penyerang kelahiran negara Balkan di Montenegro ini bermain kesemua perlawanan Liga Singapura dan berjaya menjaringkan 35 gol ketika beraksi dalam semua 28 perlawanan.

Bukan itu sahaja, penyerang berketinggian 1.89 m ini turut menyumbang bantuan jaringan gol yang tinggi dalam Liga Singapura dengan 17 assist.

Manakala dalam Piala Singapura 2022, Boris merekodkan lima jaringan serta dua bantuan gol.

Selain memiliki penyudah tajam, Boris turut mempunyai larian dan fizikal yang tangkas untuk menewaskan pihak lawan.

Pemain berusia 27 tahun ini pernah menjaringkan gol melalui tandukan ketika bertemu Kuala Lumpur City FC dalam saingan Piala AFC 2022.

Nilai pasaran semasa Boris ialah RM 1,655,494 (€ 350,000) dan berita baik buat pasukan Liga Super kerana kontrak dia bersama Tampines Rovers akan tamat pada hujung tahun ini.

Fortes pernah menyarung jersi skuad muda Portugal ketika berusia 19 tahun. — Agensi

3. Carlos Fortes (PSIS Semarang)

Gaya rambut seperti karakter filem ‘The Predator’, Carlos Fortes dinobatkan sebagai tiga penjaring terbanyak Liga Indonesia pada musim lepas.

Fortes yang baru sahaja menyertai PSIS Semarang dari Arema FC pada musim ini berjaya menjaringkan 20 gol serta tiga assist dalam 31 perlawanan pada 2021.

Pemain berusia 28 tahun ini banyak berkelana di Eropah dengan menyertai Liga Portugal, Liga Romania, Liga Sepanyol sebelum berhijrah ke Indonesia.

Selain itu, Fortes turut pernah menyarung jersi skuad muda Portugal ketika berusia 19 tahun serta melakukan tiga penampilan dalam perlawanan persahabatan.

Status terkini Fortes, dia sedang mengalami kecederaan dan tidak dapat dipastikan bila pemain ini akan sembuh.

Namun dengan situasi Liga Indonesia yang sedang digantung akibat rusuhan di Stadium Kanjuruhan, Indonesia mungkin dapat menarik minat Fortes untuk beraksi di Liga Malaysia.

Ifedayo pernah menjadi salah seorang pemain paling berbisa ketika bersama Selangor. — Facebook/Melaka United

4. Ifedayo Olusegun (Melaka United)

Tidak perlu diperkenalkan lagi, Ifedayo Olusegun salah seorang penyerang import yang paling berbisa di dalam Liga Malaysia ketika bersama Selangor FC.

Sebelum ini, Ifedayo memutuskan untuk meninggalkan Selangor apabila dia menerima tawaran gaji yang lebih tinggi daripada Melaka United.

Namun dengan kemelut pembayaran gaji yang dihadapi Melaka United, Ifedayo pastinya ingin mencari pasukan baharu bagi terus beraksi dalam Liga Super.

Untuk rekod, penyerang berusia 31 itu pernah menjadi salah seorang pemain paling berbisa yang pernah bermain bersama Selangor dan memenangi Anugerah Kasut Emas serta memegang rekod penjaring terbanyak Liga Super Malaysia.

Sepanjang beraksi bersama Selangor, Ifedayo menjaringkan 56 gol dalam 57 penampilan termasuk dua anugerah Kasut Emas saingan Liga Super pada musim 2020 dan 2021.

Rimario berjaya menjaringkan 40 gol dan 20 assist dalam 79 penampilan ketika mewakili beberapa pasukan di Vietnam. — Agensi

5. Rimario Gordon (Hai Phong FC)

Rimario Gordon, pemain berusia 28 tahun yang banyak menghabiskan karier bola sepaknya di Vietnam sejak 2018.

Penyerang kelahiran Jamaica ini sudah semestinya biasa dengan corak permainan pasukan di rantau Asia Tenggara.

Berketinggian 1.80m, dia berjaya menjaringkan 17 gol dalam 22 perlawanan di Liga utama Vietnam musim ini.

Bukan sahaja pakar menjaringkan gol, Rimario turut membantu rakan sepasukannya dalam menghasilkan gol dengan lima bantuan jaringan pada musim ini.

Sepanjang bermain di Liga Vietnam, Rimario berjaya menjaringkan 40 gol dan 20 assist dalam 79 penampilan ketika mewakili beberapa pasukan di negara itu.

Ini menunjukkan bahawa pemain ini sentiasa konsisten dalam menjaringkan gol.

Menurut laman sesawang Transfermarkt, tanda harga Rimario hanya RM 1,300,041 (€ 275,000) lebih murah berbanding beberapa pemain import ternama yang sedang beraksi di dalam Liga Malaysia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram




Source link

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Hal peribadi, cedera antara sebab 11 pemain JDT tidak tersenarai ke kem latihan Harimau Malaya Piala AFF – Sukan

Related Posts