Liga Super: PDRM bukan pasukan ‘tebuk atap’ – Sukan


‘Laptop Cabuk’ menemui pembaca sekali lagi. Berinspirasikan minda tua yang mungkin sudah berkarat, karya ini dan seterusnya akan cuba menyingkap cerita di sebalik tabir dan sesuatu yang mungkin terlepas daripada pengamatan ramai untuk sama-sama memeriah dan meraikan Liga Malaysia musim 2023.

APABILA sekumpulan anggota polis diserapkan bagi bergabung dengan sebilangan orang awam dan pemain import dalam sebuah pasukan untuk bersaing dalam Liga Super, persoalan yang harus ditanya adalah, mampukah mereka?

Namun, selepas lima perlawanan, persoalannya harus tidak lagi berkisar kepada mampu atau tidak tetapi, siapakah mereka?

Menduduki tangga keenam ketika ini buat sebuah pasukan yang asalnya daripada Liga Perdana musim lalu, seharusnya PDRM menuntut tumpuan bahawa ia ketika ini berada di atas pasukan-pasukan lebih ternama, termasuk Perak FC, Terengganu FC dan Kuala Lumpur (KL) City FC yang tentunya dibekalkan dana lebih besar.

Daripada 32 pemain yang didaftarkan PDRM FC musim ini, seramai 11 daripada mereka sebenarnya terdiri daripada anggota polis yang terpilih daripada pelbagai kejohanan dan sesi pemilihan khas, di samping 12 pemain dalam kalangan orang awam.

“Dalam pemilihan pada Disember tahun lalu, kira-kira 50 anggota polis dari pelbagai cawangan di seluruh negara menyertainya.

“Sebilangan mereka diserap daripada skuad Piala Emas Raja-Raja PDRM yang layak ke final, ada juga daripada pasukan Pulapol yang jadi juara Liga Super Kuala Lumpur,” cerita ketua jurulatih PDRM FC, Azzmi Aziz, kepada Laptop Cabuk.

Jaringan Bruno Suzuki (depan) menyaksikan PDRM FC menundukkan KDA FC awal bulan lalu. — Facebook/PDRM FC

Maklumat mengenai rekrut dalam setiap pengambilan, contohnya ada yang pernah bermain dalam kejohanan Piala Presiden, turut diberi perhatian untuk mereka dipertimbangkan.

Apa yang menarik, anggota polis yang terpilih dalam skuad PDRM FC diberi pelepasan kerja sepanjang musim pertandingan di samping dibayar elaun tambahan untuk bermain bola sepak.

Bagaimanakah PDRM layak ke Liga Super musim ini?

“PDRM FC menduduki tangga keenam Liga Super musim lalu. Dengan perubahan format pertandingan, kami diserap dalam 14 pasukan Liga Super setelah semua syarat pelesenan dipenuhi.

“Maknanya PDRM FC bukan pasukan ‘tebuk atap’ dalam Liga Super, kami layak secara merit,” kata jurulatih berusia 48 tahun itu.

Azzmi sendiri memenuhi kelayakan untuk menjadi ketua jurulatih sebuah pasukan Liga Super selepas lulus kursus lesen pro tahun lalu – bersama sekumpulan 26 jurulatih termasuk Irfan Bakti Abu Salim (Kuching City FC), Datuk Dollah Salleh (pengurus Sri Pahang FC), Nafuzi Zain (Kedah FC), K. Devan (Negeri Sembilan FC) dan Nidzam Jamil (Selangor FC).

Kelantangan Azzmi sedikit sebanyak membantu kebangkitan skuad Sang Saka Biru. — Facebook/PDRM FC

“Ini adalah kontrak pertama saya sebagai ketua jurulatih PDRM FC selepas 30 tahun,” katanya merujuk kepada penyertaannya selaku pemain tengah PDRM dalam divisyen kedua, Liga Semi Pro 1993.

“Saya baru 10 tahun dalam bidang kejurulatihan ini, banyak lagi nak belajar. Saya nak ucapkan terima kasih kepada pengurusan PDRM FC yang percaya dan berani beri peluang kepada saya yang kali pertama nak memimpin pasukan Liga Super ini.”

Dibandingkan dengan pasukan Liga Super yang lain, PDRM FC juga bukan saja tidak berasa kekurangan, malah fasilitinya mungkin lebih baik daripada sesetengah lawan.

“Daripada segi infra, semuanya agak baik. Fasiliti latihan cukup, termasuk ada gimnasium. Kami juga tak perlu pening-pening macam satu atau dua pasukan tu kerana Pulapol (Pusat Latihan Polis, Jalan Semarak, Kuala Lumpur) adalah gelanggang latihan tetap kami,” tambahnya.

Mampukah PDRM FC terus melakukan kejutan dalam Liga Super musim ini? — Facebook/PDRM FC

Selepas lima perlawanan, Azmi juga berpuas hati dengan sumbangan enam pemain import dalam pasukan iaitu Kyaw Min Oo, Marcus Macauley, Uche Agba, James Okwuosa, Bruno Suzuki dan Fadi Awad.

Bagaimanapun, dia mempertahankan bahawa peningkatan PDRM FC pada awal musim ini perlu disandarkan kepada sumbangan dan kesungguhan semua 30 pemain tanpa membeza-bezakan di antara tenaga import, bakat tempatan dan anggota polis.

Dianggap pasukan kerdil sebelumnya, bagaimana jurulatih memotivasikan pemain?

“Dari proses hari pertama berkumpul lagi, saya dah tekankan pentingnya rasa hormat sesama pemain dalam pasukan. Keharmonian sentiasa dikekalkan hingga semangat sepasukan menjadi sangat kuat.

“Pemain import juga banyak beri galakan kepada pemain tempatan. Bila nampak import ini bersikap sangat profesional, pemain tempatan pun mahu ikut cara mereka,” katanya.

Azzmi masih mahu pasukannya bersaing dengan baik meskipun status mereka sebagai pasukan kerdil. — Facebook/PDRM FC

“Saya tahu sebelum ini kami dipandang dengan sebelah mata. Media pun selalu hantar wartawan baru untuk temu bual saya.

“Ada mungkin seorang yang senior, nak lekas-lekas balik. Macam tak padan, mereka dihantar untuk buat liputan pasukan PDRM. Tapi saya faham kedudukan pasukan saya masa itu,” tambahnya.

Untuk rekod, PDRM FC setakat ini tewas 0-4 kepada Sabah, seri dengan Perak 0-0, mengalahkan Kedah Darul Aman (KDA) FC 1-0, tewas kepada Terengganu 0-1 dan menewaskan Kelantan United 2-0.

Tidak diletakkan sasaran yang terlalu memberatkan dalam Liga Super, Azzmi berkata, itu tidak bermakna pasukannya akan sekadar ‘bersantai-santai’.

“Pemilik pasukan, RedOne, berbelanja secara berhemah. Sasaran yang ditetapkan mereka juga realistik. Tapi kami mahu melakukan yang terbaik,” katanya lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram




Source link

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

‘Saya tidak mahu memaksa’, Lucas Silva harap dapat segera kembali ke padang – Sukan

Next Post

Pemain EPL dari utara London dituduh terlibat kes gangguan seksual kali ketiga – Sukan

Related Posts