Liga M tak semudah disangka, 3 import termasuk ‘ex-player’ Tottenham akui hadapi cabaran sukar – Sukan


LIGA Malaysia (Liga M) yang bermula sejak 1982 digunakan oleh pasukan amatur tanah air sebagai platform untuk peringkat kelayakan ke Piala Malaysia sehinggalah ia ditukarkan kepada Liga Semi-pro Malaysia pada 1989.

Namun nama Liga Semi-pro tidak bertahan lama apabila pada tahun 1994 ia ditukar kepada Liga M dan tahun berikutnya pula saingan Liga Super diperkenalkan sebagai pertandingan tertinggi bola sepak tanah air.

Tahun berganti tahun, Liga M turut mengalami proses perubahan dan terbaharu di musim 2023 menyaksikan badan pengelola, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) membenarkan kelab Liga Super untuk mendaftarkan sembilan pemain import.

Namun tidak dapat dinafikan, sepanjang penganjuran Liga M sehingga kini, masih ramai pihak termasuk sebahagian penyokong berpendapat bahawa liga domestik kurang memberikan saingan kompetitif jika dibandingkan dengan liga di negara jiran seperti Thailand.

Tanggapan tersebut bagaimanapun kurang dipersetujui oleh beberapa import tanah air yang mana mengatakan bahawa saingan Liga M semakin mencabar dan tidak semudah seperti sangkaan pihak lain.

Berikut tiga pemain yang pernah mengakui bahawa Liga M mempunyai cabaran tersendiri;

1) Saddil Ramdani (Sabah FC)

Saddil mula menyertai The Rhinos pada musim 2021. — Facebook/SabahFC

Penyerang sayap sensasi Sabah FC, Saddil Ramdani pernah mendiamkan penyokong Indonesia yang mempersoalkan keputusannya untuk kekal beraksi di Liga M walaupun pernah menerima beberapa tawaran dari Eropah.

Pemain berusia 24 tahun itu memberitahu kepada warganet Indonesia bahawa dia mengambil masa selama tiga tahun untuk menyesuaikan diri dengan suasana liga meskipun ramai orang pihak mengatakan mudah untuk mencipta nama di kancah domestik.

“Dan perkara terakhir yang anda katakan bermain dalam Liga Malaysia adalah perkara biasa? Hahah, berapa ramai orang yang telah pulang dan tidak dapat bermain di sini kerana tekanan dan permintaan yang pelbagai, jika anda tidak percaya, cuba sahaja. Saya harap lebih ramai pemain bermain di sini,” katanya menerusi Insta Story pada 27 Jun lalu.

Ketika hantaran tersebut dimuat naik, Saddil turut meluahkan rasa kecewanya terhadap penyokong Indonesia yang sering membandingkan persembahannya di Sabah dan ketika menyarung jersi kebangsaan.

Sejak menyertai The Rhinos pada musim 2021, Saddil merupakan antara pemain utama Sabah di bahagian serangan dengan dia sudah mencetak sebanyak 14 jaringan gol dan 18 hantaran bantuan.

2) Giancarlo Gallifuoco (Kuala Lumpur City FC)

Giancarlo sudah tampil dalam 18 aksi Liga Super musim ini. — Facebook/KLCity

Perubahan format baharu Liga M musim ini yang menyaksikan Piala Malaysia dijalankan dalam tempoh sama perjalanan Liga Super membuatkan bek tengah, Kuala Lumpur (KL) City FC, Giancarlo Gallifuoco berasakan saingan domestik semakin meningkatkan cabaran.

Menurut bekas pemain kelab England, Tottenham Hotspur itu, perubahan yang dilaksanakan MFL akan menambahkan lagi kualiti liga kerana pemain perlu memberi fokus dan komitmen sepenuhnya dalan semua pertandingan anjuran MFL.

“Jika sebelum ini, Liga Super berakhir pada September dan mungkin ada pasukan sudah mencapai sasaran lebih awal seperti tidak berada di kedudukan tercorot, mereka mungkin sudah tidak lagi menumpukan perhatian dan hanya menunggu kejohanan Piala Malaysia.

“Jadi melalui situasi ini, pasukan tiada pilihan selain perlu mengekalkan tahap kekuatan yang sama sepanjang musim untuk memastikan momentum mereka di kejohanan seperti Piala Malaysia serta Piala FA, tidak terjejas,” katanya menerusi laporan media pada 30 Januari lalu.

Pemain kelahiran Australia itu antara tonggak penting KL City ketika Warga Kota memenangi Piala Malaysia 2021, naib juara Piala AFC 2022 dan menjadi finalis Piala FA musim 2023.

3) Taylor Regan (Selangor FC)

Regan menyertai Selangor pada musim 2019. — Facebook/SelangorFC

Bekas main pertahanan Selangor FA, Taylor Regan pernah menyatakan bahawa saingan Liga M sendiri mempunyai keunikan sendiri sehingga mengakui peranannya sebagai pemain di Malaysia lebih mencabar berbanding di tanah air sendiri.

Selain itu, pemain dari Australia itu juga mengakui bahawa pemain-pemain tempatan sangat berbakat dan mempunyai kualiti mereka tersendiri.

“Ketika keluar dari Newcastle (Newcastle Jets), menuju ke Malaysia (Negeri Sembilan FA) dan kembali ke Adelaide (Adelaide United), ramai orang terkejut bagaimana prestasi saya sebagai pemain telah meningkat.

“Setiap perlawanan, saya perlu ‘marking’ penyerang import yang menerima bayaran yang jauh lebih tinggi berbanding apa yang diterima oleh pemain dalam saingan A-League (Liga Divisyen Tertinggi Australia),” katanya.

Selepas dua musim berkhidmat oleh pasukan Lembah Klang itu, pemain yang kini sudah berusia 34 tahun itu, Regan yang juga merupakan ketua pasukan disingkirkan Gergasi Merah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram




Source link

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Ramalan 3 aksi timbal balik Piala Malaysia 2023 – Sukan

Next Post

Ifedayo tagih sokongan hangat di Darul Aman untuk tundukkan skuad TBG – Sukan

Related Posts