Lebih baik Liridon diam atau hanya memarakkan lagi api kemarahan penyokong — Pekan Ramli – Sukan


BERIKUTAN kegagalan skuad kebangsaan untuk menjulang trofi Piala Raja Thailand, penyokong meluahkan perasaan kecewa dan berang mereka di laman media sosial.

Kekalahan yang dicatat dalam penentuan sepakan penalti mendatangkan perasaan kurang senang dalam kalangan penonton yang berasakan pasukan Harimau Malaya sepatutnya turun dengan aksi lebih bersemangat.

Persembahan tidak bermaya serta kehadiran pemain yang kurang memberi impak dikatakan punca utama di atas kekalahan itu selepas terikat tanpa jaringan sepanjang 90 minit perlawanan.

Antara perkara yang mendapat tumpuan dalam perlawanan itu adalah sentuhan tidak menjadi daripada pemain sayap kanan, Mamadou Sumareh sepanjang berada di atas padang.

Pemain kelahiran Gambia itu diberi peluang selepas tempatnya dalam pasukan kebangsaan tergugat berikutan kehadiran pemain sayap yang lebih berkualiti seperti Safawi Rasid dan Arif Aiman Hanapi.

Sumareh gagal untuk memberi sebarang impak ketika berdepan Tajikistan. — Facebook/FA Malaysia

Tetapi, kekecewaan berlaku apabila hantaran yang cuba dilakukan sering kali gagal menemui rakan sepasukan selain percubaan untuk mengelirukan pasukan lawan mudah dibaca.

Selain itu, meskipun ketika itu sudah dilayangkan kad kuning, Sumareh kerap melakukan terjahan kasar ke atas pemain lawan yang mendatangkan kerisauan kepada penyokong dan rakan sepasukan.

Selepas perlawanan itu, nama pemain berusia 28 tahun itu sering mewarnai media sosial dengan ramai berharap agar dia tidak lagi diturunkan dalam permainan di peringkat antarabangsa.

Hantaran yang dibuat itu turut mengandungi kata-kata berbaur perkauman apabila segelintir penyokong berpendapat status kewarganegaraan Sumareh wajar ditarik balik selepas kejohanan itu.

Perkara itu pastinya menjejaskan moral dan semangatnya yang sememangnya dalam episod sukar apabila dia juga jarang diturunkan bersama Johor Darul Takzim.

Bagi memberi sokongan, seorang lagi pemain naturalisasi, Liridon Krasniqi menerusi laman Instagram peribadinya berkata, status kenegaraan pemain naturalisasi sering dipersoalkan apabila pasukan kebangsaan gagal mencatat kemenangan.

“Kami ialah seorang rakyat Malaysia ketika menang, tetapi seorang pendatang ketika kami kalah,” tulisnya.

Hantaran itu seakan-akan sebagai respons terhadap tohmahan dan kritikan di media sosial yang dilemparkan penyokong bola sepak tanah air selepas tewas di tangan Tajikistan.

Namun, bagi penganalisis bola sepak tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli, hantaran status sebegitu tidak wajar dilakukan, lebih-lebih lagi daripada pemain naturalisasi.

“Komen yang seperti itu adalah tidak sepatutnya dikeluarkan daripada pemain naturalisasi kerana ia boleh memberi gambaran atau imej yang tidak baik,” katanya kepada Majoriti.

Tambah beliau, perkara itu dikhuatiri mengeruhkan lagi keadaan dan situasi yang ketika ini tidak berpuas hati dengan persembahan daripada Sumareh dan pasukan kebangsaan.

Hantaran Liridon seakan-akan mempersoalkan tohmahan dan kritikan yang dilontar kepadanya. — Instagram/Liridon Krasniqi

Beliau turut berpendapat pemain naturalisasi sepatutnya lebih terbuka untuk menerima komen dan pandangan yang dibuat penyokong sepertimana yang dilakukan anak jati kebangsaan.

“Sepatutnya, sebagai pemain naturalisasi, mereka sepatutnya terbuka untuk menerima pelbagai kritikan walaupun kadang-kadang, kita berasakan pendapat itu tidak adil kepada mereka.

“Tetapi, apa yang perlu dilakukan oleh pemain naturalisasi seperti Liridon adalah lebih baik mereka berdiam sahaja ataupun menilai keadaan semasa,” katanya.

Liridon sebelum ini juga berjaya mendapat status kewarganegaraan pada 2020 serta membuat penampilan pertamanya bersama Harimau Selatan pada 2021.

Setakat ini, pemain berusia 30 tahun itu sudah menjaringkan satu gol dalam tujuh penampilan yang dibuat, iaitu ketika pasukan kebangsaan bertemu Singapura awal tahun ini.

Dalam masa sama, Pekan juga berpendapat kritikan yang dibuat adalah dibuat ke atas prestasi pemain itu di atas padang dan bukan status kewarganegaraan dan naturalisasi.

Pekan Ramli mengulas kenyataan Liridon.

“Bila anda tidak melakukan persembahan yang cemerlang, maksudnya program naturalisasi itu bukan masalah tetapi pemain yang diambil dalam program itu bermasalah,” katanya.

Namun, Pensyarah Kanan Fakulkti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam itu percaya, penyokong juga perlu memainkan peranan dengan tidak mengeluarkan kata-kata kesat.

“Sebenarnya, apa yang dikatakan netizen itu adalah sebahagian daripada penyokong sahaja dan tidak kesemua peminat bola sepak tanah air berpendapat sebegitu.

“Kita sendiri juga berasakan, pengguna media sosial sepatutnya bersikap lebih profesional dan kita tidak boleh mengeluarkan kenyataan berunsur negatif dan perkauman,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram




Source link

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Faisal Halim mampu lengkapkan pasukan — Johan Kamal – Sukan

Next Post

GB usaha sehabis baik bawa JDT ke dunia FIFA 23 – Sukan

Related Posts