Kontrak masih berbaki, Paulo Josue mahu kumpul lebih banyak momen berharga bersama KL City FC – Sukan


SEJAK musim 2021, Kuala Lumpur (KL) City FC semakin berjaya membuktikan kebolehan mereka dalam arena bola sepak tempatan selepas sebelum ini hanya dikenali sebagai sebuah pasukan kerdil.

Kehadiran ketua jurulatih kelahiran Croatia, Bojan Hodak dilihat memberi nafas baharu kepada pasukan Lembah Klang itu dengan kepintarannya untuk memilih skuad terbaik.

Hal itu dapat dibuktikan apabila mereka mengejutkan penyokong bola sepak tempatan setelah memenangi Piala Malaysia 2021 ketika berdepan juara Liga Super, Johor Darul Takzim (JDT).

Kejayaan itu menyaksikan KL City FC menamatkan penantian lebih 40 tahun untuk menjulang sesebuah trofi, sekali gus menyuntik keazaman yang berbeza terhadap penyokong kelab itu.

Lebih menarik lagi, anak-anak buah Bojan sekali lagi mengejutkan kancah bola sepak tanah air dengan kemaraan ke pentas akhir Piala AFC 2022 walaupun tewas di tangan wakil Oman, Al Seeb Oktober lalu.

Tidak cukup dengan itu, kesungguhan yang dipamerkan setiap pemain juga wajar diberikan pujian apabila skuad Warga Kota berjaya melangkah dengan lebih berani ketika ini.

Antara pemain yang kerap meniti bibir peminat ialah kapten pasukan, Paulo Josue yang sudah bersama pasukan itu sejak 2017, ketika mana mereka masih berada di Liga Perdana.

Sikap kepimpinan dan karisma yang dipamerkan menjadi salah satu tarikan dengan pemain berusia 33 tahun itu tidak henti-henti membakar semangat kepada rakan sepasukan.

Paulo Josue menyertai KL City FC pada 2017 ketika pasukan itu berada di Liga Perdana.

Di atas padang pula, kemahirannya untuk mengambil sepakan percuma dan sudut tidak boleh dipandang rendah sehingga membolehkannya digelar sebagai antara ‘set-piece specialist’ dalam Liga Malaysia.

Namun, memasuki tahun keenam bersama skuad Warga Kota, terdapat khabar angin menyebut bahawa Josue akan meninggalkan kelab tersebut bagi mendapatkan pengalaman baharu.

Tetapi, bagi pemain kelahiran Brazil itu, dia enggan melihat perkara itu daripada sudut peribadi sahaja meskipun berhasrat untuk meluangkan baki-baki kariernya bersama pasukan berkenaan.

“Segala perkara sememangnya bergantung di bahu saya, saya mahu kekal bersama KL City FC untuk satu tempoh yang lebih lama, tetapi sudah tentu, ada orang ramai yang terlibat di sebalik tabir.

“Ketika ini, kontrak saya bersama kelab masih berbaki, jadi saya harap perjalanan saya bersama pasukan akan diteruskan dengan memperolehi lebih banyak kenangan,” katanya kepada Majoriti.

Sejak melakukan penampilan sulungnya bersama KL City FC pada 2017, Josue sudah berjaya mencatatkan 86 penampilan dalam kesemua pertandingan di samping mencatatkan 28 jaringan peribadi dan 23 bantuan gol.

Pencapaian itu membolehkan sesetengah penyokong pasukan melabelnya antara pemain terbaik pernah dimiliki pasukan sehingga ada juga yang memberinya gelaran Mr Kuala Lumpur.

Walaupun usianya kini sudah menghampiri penghujung karier, khidmat dan sentuhannya masih didambakan dengan barisan kejurulatihan menurunkan pemain itu sebanyak 20 kali dalam saingan Liga Super musim lalu.

Selain itu, Josue turut berkata, saat-saat indah ketika menyarung jersi pasukan pasti sukar untuk dilupakan, apatah lagi dengan status kerdil mereka dalam Liga Super.

Baginya, pencapaian dalam kempen Piala Malaysia 2021 dan Piala AFC musim ini sukar untuk dibandingkan, namun berasakan kejayaan menundukkan JDT ketika final lebih bermakna.

KL City menamatkan kemarau kejuaraan dengan muncul pemenang Piala Malaysia 2021.

“Pada saya, saya terpaksa mengatakan bahawa kejayaan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pasti tidak boleh dilupakan kerana kami sudah bertahun-tahun tidak menjulang sebarang kejuaraan.

“Tetapi, ketika Piala AFC, ia merupakan satu perkara yang mustahil untuk memenanginya dan kami masih berusaha bersungguh-sungguh ketika final itu,” katanya.

Dalam masa sama, ketika ditanya mengenai status naturalisasinya, dia berharap segala urusan dapat diselesaikan secepat mungkin bagi mengelak segala halangan.

“Ia masih berada dalam proses dan saya harap ia dapat diselesaikan sekurang-kurangnya sebelum kempen Liga Super bermula untuk musim depan,” katanya.

Sebelum ini, laporan tidak rasmi mengatakan Josue dan seorang lagi pemain import KL City FC, Romel Morales bakal memperolehi status naturalisasi selepas melebihi lima tahun berada dalam Liga Malaysia.

Kedua-dua pemain itu dilihat masih berpeluang untuk dibawa masuk ke dalam skuad Harimau Malaya dengan sentuhan dan kebolehan mereka berada di tahap terbaik. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram




Source link

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Meriah selepas pandemik, 5 permainan video tawan hati fans sepanjang 2022 – Sukan

Next Post

Stuart Wilkin antara bintang HM diintai kelab Thailand – Sukan

Related Posts