Kesebelasan utama Perak julang Piala Malaysia 2018 terus segar dalam ingatan – Sukan


KEPULANGAN Perak FC ke divisyen teratas bola sepak tanah air masih belum membuahkan hasil seperti mana diharapkan memasuki separuh kedua musim 2023.

Pasukan yang kini berada di tangga ke-11 Liga Super selepas 14 perlawanan perlu melakukan pelbagai perubahan, baik di atas mahupun di luar padang.

Isu prestasi dan konsistensi pastinya menjadi bahan bualan utama dengan penyokong setia skuad The Bos Gaurus (TBG) terus mengharapkan nasib mereka mampu berubah.

Tidak cukup dengan itu, desakan terhadap pihak pengurusan dilihat tidak akan menemui titik noktah dalam masa terdekat berdasarkan tinjauan di media sosial.

Piala Malaysia 2018 merupakan trofi terakhir dijulang skuad TBG sehingga hari ini.

Apa yang semestinya menjadi panduan ke atas keluhan berpanjangan itu adalah apabila melihat pasukan Utara tanah air tersebut pernah bergelar salah sebuah kelab terbaik dalam Liga Super.

Ini termasuk ketika mana Perak FA pernah bergelar juara Piala Malaysia 2018 yang juga merupakan trofi terakhir pasukan berkenaan sehingga hari ini.

Keserasian antara skuad dan pihak kejurulatihan boleh dikatakan sebagai resipi utama mereka sehingga menjadi antara yang paling digeruni dalam arena bola sepak tanah air.

Namun, sekiranya ditanya rata-rata penyokong skuad TBG, mereka pastinya lebih merindui pemain pasukan itu, lebih-lebih lagi yang membarisi Perak FA ketika kejayaan Piala Malaysia.

Melihat kepada kesebelasan utama yang dipilih ketua jurulatih, Mehmet Durakovic ketika perlawanan menentang Terengganu FC itu, kesemua mereka boleh dikatakan sebagai antara yang terbaik pernah menyarung jersi kelab itu.

Jadi, Majoriti di sini menyenaraikan pemain yang beraksi dalam pertembungan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur apabila Perak FA menang menerusi penentuan sepakan penalti.

1. Hafizul Hakim

Pemain yang mencuri tumpuan dalam pertembungan berkenaan pastinya penjaga gol, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy melihat kepada kemampuannya sepanjang musim.

Dalam aksi berkenaan, pemain yang kini berusia 30 tahun itu dibolosi sebanyak dua kali pada separuh masa pertama, termasuk ketika kesilapan untuk gol kedua Terengganu FC.

Namun, penjaga gawang kelahiran Ipoh, Perak menutup hari perlawanan dengan menyelamatkan dua sepakan penalti daripada Igor Zonjic dan Thierry Bin.

Hafizul mempunyai legasi cukup baik bersama skuad TBG.

Bagaimanapun, dengan Perak FA bergelut dari segi kewangan beberapa bulan selepas itu, dia akhirnya memilih untuk berkelana ke Penang FC pada 2022, sekali gus menamatkan karier sepanjang lima tahunnya bersama skuad TBG.

Kini, Hafizul sedang terikat dengan kelab Liga M3, Harini FT selepas rombakan daripada skuad Harimau Kumbang membuatkan pemain tinggi lampai itu tersisih.

Tetapi, namanya terus disebut-sebut penyokong Perak FC ketika ini memandangkan mereka turut menghadapi masalah dari segi pertahanan.

2. Amirul Azhan

Dalam kalangan empat pemain pertahanan yang dipertaruhkan Durakovic dalam aksi berkenaan, Amirul Azhan Aznan merupakan individu yang kurang diberikan perhatian.

Selain tidak mempunyai kelebihan yang menonjol, fizikalnya yang terhad sedikit sebanyak menenggalamkannya antara rakan sepasukan, termasuk sepanjang musim 2018.

Tetapi, dalam pertembungan akhir itu, pemain berketinggian 1.68 meter (m) itu bermain dengan cukup baik meskipun pintu gawang mereka dibolosi terlalu awal.

Amirul Azhan kini terus dirindui rata-rata penyokong skuad TBG.

Antara sumbangan terbaik daripada Amirul dalam perlawanan di hadapan puluhan ribu penonton itu pastinya ketika dia tenang menyempurnakan penalti kedua buat Perak FA.

Namun, seperti mana hampir kesemua rakan sepasukannya, anak jati Ipoh itu turut mengambil keputusan meninggalkan skuad TBG pada penghujung musim 2021.

Selepas semusim bersama Kedah Darul Aman (KDA) FC, Amirul kini bersama-sama Hafizul beraksi dengan Harini FT yang sedang beraksi cukup baik di Liga M3.

Ketika ini, namanya seperti terus lesap daripada bibir penyokong skuad TBG memandangkan kebolehannya di atas padang sukar untuk diperhatikan.

3. Idris Ahmad

Meskipun nama Idris Ahmad tidaklah sering diperkatakan peminat bola sepak tanah air, kesilapannya ketika aksi final Piala Malaysia 2018 pastinya sukar dilupakan.

Kelekaannya pada awal permainan menyaksikan penyerang lawan, Tchetche Kipre mudah menghukum mereka, sekali gus menyebabkan ramai pihak mempersoalkan kehadirannya dalam aksi berkenaan.

Namun, melihat kepada sumbangannya sepanjang musim, adalah tidak adil untuk segelintir pihak daripada terus mempertikaikan kelibatnya dalam perlawanan itu.

Idris memilih untuk kekal setia bersama Perak FC musim lalu.

Meskipun dibolosi sebanyak tiga kali dalam perlawanan berkenaan, kebolehan Idris secara keseluruhan pastinya sukar untuk dipersoalkan, lebih-lebih lagi dari segi pertahanan.

Kekentalan, kelantangan dan kualiti komunikasinya bersama rakan sepasukan cukup dikagumi sebelum namanya diangkat sebagai salah seorang bek tengah terbaik pernah menyarung jersi Perak FA.

Tetapi, apa yang lebih mengagumkan mengenai pemain yang kini berusia 33 tahun itu adalah apabila dia memilih untuk kekal bersama skuad TBG yang ‘karam’ ke Liga Perdana pada 2021.

Keputusan itu menyaksikannya beraksi dalam Perak FC yang berada di divisyen kedua bola sepak tanah air musim lalu meskipun difahamkan terdapat tawaran daripada pasukan luar.

Kini, Idris memilih untuk menyertai Melaka FC yang beraksi di Liga M3 selepas kontraknya bersama pasukan Utara tanah air itu tidak disambung pada jendela perpindahan lalu.

4. Shahrul Saad

Keputusan Durakovic yang tidak menurunkan kapten pasukan, Nasir Basharuddin dalam kesebelasan utama menyaksikan bek tengah kental, Shahrul Saad memakai lilitan tangan.

Ia kerana pemain itu sudah menunjukkan prestasi cukup baik sepanjang musim sehingga menyaksikan orang ramai memberikannya jolokan ‘Badak’ atas persembahannya.

Tetapi, seperti Idris dan Amirul, kesilapan atas dua gol awal yang dilepaskan pastinya menyebabkan penyokong skuad TBG mula menunding jari ke arahnya.

Shahrul Saad diturunkan sebagai kapten dalam aksi final Piala Malaysia 2018.

Namun, semangat dan keazaman yang sering dipamerkannya menyebabkan ramai segera melupakan kealpaan benteng pertahanan, lebih-lebih lagi selepas mereka muncul juara.

Bagaimanapun, struktur kewangan yang terus goyah menyaksikan Perak FA gagal untuk mengekalkan khidmatnya sebelum Johor Darul Takzim (JDT) segera menyambarnya.

Musim ini, Shahrul lebih kerap memanaskan bangku simpanan berikutan peningkatan ketara daripada pertahanan muda, Feroz Baharudin selain kehadiran kapten skuad Harimau Selatan, Jordi Amat.

Tetapi, sekiranya diberikan peluang di atas padang, pemain yang kini baru sahaja berusia 29 tahun itu masih mempamerkan kualiti terbaik.

5. Nazirul Naim

Perpindahan pemain pertahanan kiri, Nazirul Naim Che Hashim ke Kuala Lumpur (KL) City FC pada jendela perpindahan yang lalu menyebabkan orang ramai mempersoalkan keputusan pihak pengurusan Perak FC.

Ia berikutan pandangan rata-rata penyokong skuad TBG yang berasakan pemain berusia 30 tahun itu masih boleh melakukan sumbangan buat pasukan Utara tanah air itu.

Sepanjang lima tahun bersama Perak FA, Nazirul Naim mencipta nama sebagai antara bek sayap terbaik yang membolehkannya berpeluang menyarung jersi skuad kebangsaan.

Nazirul mencipta nama dengan baik ketika tahun-tahun bersama Perak FA.

Ini termasuk ketika perlawanan akhir Piala Malaysia 2018 yang mana Nazirul memberikan persembahan cukup mantap, baik dari segi serangan mahupun pertahanan.

Kini, Nazirul yang sedang bersama skuad Warga Kota terus mengekalkan statusnya sebagai antara pemain pertahanan senior berpengalaman walaupun kurang mendapatkan minit permainan.

Bagaimanapun, dengan Perak FC dikatakan sedang mempersiapkan perancangan untuk melakukan rombakan skuad, nama Nazirul merupakan antara yang disebut-sebut untuk menyarung jersi Perak FC untuk baki musim 2023.

Tetapi, dengan KL City FC kini jauh meninggalkan skuad TBG dari segi kedudukan dalam carta, adakah dia akan memilih untuk kembali ke pangkuan negeri kelahirannya?

6. Firdaus Saiyadi

Titik kebangkitan dalam aksi final Piala Malaysia 2018 pastinya berpunca daripada jaringan pemain tengah, Firdaus Saiyadi pada minit ke-47.

Dia yang ketika itu baru sahaja berusia 22 tahun mudah memberikan talian hayat buat pasukan kendalian Durakovic selepas dengan tenang melorongkan bola melepasi Allahyarham Suffian Abd Rahman.

Namun, dengan isu konsistensi terus membelenggunya, Firdaus tidak pernah memenuhi harapan orang ramai sehingga dia tenggalam dalam bayang-bayang sendiri.

Jaringan Firdaus dalam final Piala Malaysia 2018 pastinya sukar dilupakan.

Musim lalu, pemain tersebut mengikut jejak Idris apabila terus kekal bersama skuad TBG dengan ketua jurulatih, Yusri Che Lah kerap mendambakan khidmatnya.

Tetapi, pada jendela perpindahan pertama Liga Super, pemain yang sudah berusia 26 tahun tersebut memilih untuk mencari angin baharu apabila menyertai KL City FC secara pinjaman.

Perpindahan itu menyaksikannya sekali lagi bekerjasama di samping Nazirul, namun terus bergelut untuk mendapatkan minit permainan di bawah kendalian Bojan Hodak.

Oleh itu, dengan Yusri sekali lagi dilantik sebagai pengendali utama Perak FC, Firdaus boleh memilih untuk kembali ke Perak FC bagi membolehkannya mendapatkan peluang dengan lebih kerap.

7. Leandro

Pemain yang pernah digelar ‘Budak Nakal Perak’, Leandro dos Santos merupakan seorang yang cukup popular dalam kalangan peminat setia skuad TBG.

Selepas memulakan karier dalam Liga Super bersama T-Team dan Selangor FC, pemain berasal dari Brazil itu tidak menunggu lama untuk menyesuaikan diri.

Leandro yang menyertai Perak FA pada 2017 terus menjadi antara komponen utama kelab itu dengan kebolehannya untuk mematahkan serangan lawan sering diberikan tumpuan.

Leandro mempunyai reputasi tersendiri dalam kalangan penyokong skuad TBG.

Ini termasuk ketika perlawanan akhir Piala Malaysia dengan dia diturunkan bersama Brendan Gan bagi membolehkan pasukan berkenaan beraksi cukup baik dari segi serangan mahupun pertahanan.

Namun, apa yang lebih menarik perhatian mengenai Leandro dalam pertembungan itu adalah ketika dia meraikan jaringan lewat skuad TBG yang mengikat kedua-dua pasukan.

Tarian yang dibuat di hadapan pertahanan Terengganu FC, Igor Zonjic bersama rakan sepasukan, Wander Luiz menjadi bahan bualan dengan ramai pihak mempertikaikan tindakannya itu.

Bagaimanapun, bagi penyokong tegar TBG, keraian tersebut hanya mengukuhkan status Leandro sebagai antara pemain terbaik mereka sehingga tempoh permainannya tamat pada 2021.

8. Brendan Gan

Pemain terbaik perlawanan Piala Malaysia 2018, Brendan Gan sememangnya tidak perlu lagi diperkenalkan dengan bakat dan kesungguhannya sering diberikan pujian menggunung.

Meskipun mencipta nama dalam Liga Malaysia dengan Kelantan FA dari 2014 hingga 2016, saat permainannya bersama Perak FA pastinya sukar untuk dilupakan.

Sejak menyertai kelab Utara tanah air itu pada 2016, pemain berdarah kacukan Australia-Malaysia tersebut terus diangkat sebagai tonggak utama pasukan.

Brendan Gan mempunyai aura tersendiri bersama skuad TBG.

Kebolehannya untuk melakukan rembatan deras di samping kerajinan untuk membantu benteng pertahanan menjadikan Brendan sebagai antara pemain terbaik mereka pada penghujung dekad lalu.

Ia juga dibuktikan dalam aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur apabila dia mencipta satu bantuan jaringan untuk membantu Perak FA kembali ke landasan.

Namun, sumbangan yang cukup penting daripada pemain berketinggian 1.78 m itu pastinya ketika dia menjaringkan gol penyamaan pada masa tambahan untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan.

Bagaimanapun, jodoh Brendan bersama skuad TBG tidak berpanjangan apabila dia memilih untuk menyertai gergasi bola sepak tanah air, Selangor FC pada 2019.

Tetapi, kariernya berdepan sedikit cabaran apabila pemain tengah itu mengalami kanser pada 2021, sekali gus menyebabkan dia disisihkan untuk hampir keseluruhan musim.

Kini, walaupun usianya sudah mencecah 34 tahun, Brendan masih terus mendapat perhatian dengan aksi bersemangat termasuk ketika menyarung jersi kebangsaan.

9. Nor Hakim Hassan

Selain Brendan Gan, seorang lagi tonggak kemenangan Piala Malaysia 2018 bersama Perak FA turut mengambil keputusan meninggalkan skuad TBG ketika permulaan kemelut kewangan kelab itu.

Pemain sayap lincah, Nor Hakim Hassan turut menjadi bahan bualan ramai ketika tempoh kegemilangan kelab itu dengan lariannya sukar untuk dihentikan.

Selepas mencipta nama bersama T-Team dari 2015 hingga 2017, dia cuba untuk mendapatkan pengalaman baharu apabila menyertai skuad TBG pada 2018.

Keputusan itu boleh dikatakan antara yang terbaik buatnya apabila Nor Hakim terus menerima pujian melambung setiap kali dia beraksi.

Nor Hakim (kanan) mempunyai rekod cukup cemerlang bersama kelab Utara tanah air itu.

Perlawanan akhir Piala Malaysia 2018 juga wajar dianggap sebagai medan terbaik buatnya mencipta nama meskipun dia sedikit tenggalam dalam aksi berkenaan.

Namun, seperti Brendan, Nor Hakim juga memilih untuk berkelana pada musim berikutnya meskipun terdapat usaha daripada Perak FA untuk mengekalkan khidmatnya.

Pemain berusia 31 tahun itu kini sudah tidak lagi bersama skuad Gergasi Merah apabila mengambil keputusan untuk kembali ke negeri kelahirannya bagi membolehkannya menyertai Terengganu FC.

10. Wander Luiz

Antara tonggak utama buat skuad TBG pada musim 2018 pastinya merupakan Wander Luiz dengan kebolehannya sebagai seorang penyerang berkualiti.

Derianya di hadapan pintu gol cukup digeruni pihak lawan meskipun baru sahaja tiba dari kelab Arab Saudi, Al Raed pada Januari 2018.

Kebolehannya itu pasti berpunca daripada pengalamannya selama semusim bersama Kelantan FA pada 2016 walaupun ketika itu dia gagal mencipta nama sendiri.

Wander mempunyai satu karier cukup baik bersama Perak FA.

Berdasarkan statistik yang diperoleh, pemain yang kini sudah berusia 36 tahun itu menjadi antara tonggak utama pasukan dengan merekodkan 22 penampilan Liga Super.

Dalam kempen Piala Malaysia pula, Wander Luiz merekodkan 10 penampilan dengan menjaringkan lima gol yang mana cukup penting buat kejayaan pada tahun itu.

Walaupun tidak menggegarkan jaring skuad Sang Penyu dalam aksi berkenaan, namanya terus terpahat apabila dia memilih untuk kekal bersama skuad TBG sehingga 2020.

Kini, penyerang berketinggian 1.8 m itu difahamkan sudah tidak lagi terikat dengan mana-mana pasukan selepas kali terakhir bersama kelab Qatar, Mesaimeer.

11. Gilmar da Silva

Kehadiran penyerang yang ketika itu berusia 30 tahun, Gilmar da Silva menyempurnakan trio Brazil di Perak FA dengan mereka boleh dianggap sebagai ‘tulang belakang’ pasukan.

Penyerang yang pernah beraksi dalam Kelantan FA dan Sarawak FA itu hadir dengan reputasi cukup baik melihat kepada statistik dan tubuh badan cukup baik.

Kehadirannya pada Jun 2017 amat diterima dengan tangan terbuka memandangkan Gilmar terus membuktikan sentuhannya di hadapan pintu gol lawan.

Gilmar merupakan antara peledak import terbaik pernah dimiliki Perak FA.

Melihat kepada saingan Liga Super 2018, penyerang itu muncul sebagai penjaring terbanyak selepas merekodkan 11 gol dalam 20 penampilan.

Namun, sumbangannya ketika perlawanan akhir Piala Malaysia tidak cukup menonjol memandangkan dia dilayangkan kad merah pada minit ke-56.

Bagaimanapun, semangat yang dipamerkan pasukan tersebut berterusan sehingga wisel penamat ditiupkan, sekali gus menyaksikan mereka menjulang Piala Malaysia buat kali kelapan dalam sejarah kelab.

Selepas kejayaan itu, Gilmar memilih untuk kembali ke negara kelahirannya untuk beraksi bersama beberapa pasukan sebelum menamatkan kariernya bersama pasukan Singapura, Balestier Khalsa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram




Source link

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Bukan hotel mewah atau stadium, kelab bola sepak perkenal pemain baharu pakai kopiah, berkain pelikat di madrasah – Sukan

Next Post

[VIDEO] Pecut hingga habis tenaga, Azizulhasni lupakan sakit jantung, kini berstatus legenda Asia – Sukan

Related Posts