Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 lebih penting daripada Piala Asia Qatar 2023 — Hamidin – Sukan


‘KELAYAKAN Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 lebih penting daripada Piala Asia Qatar 2023’, demikian kata-kata Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin menjelang saingan Malaysia bertemu Kyrgyzstan Khamis ini.

Malaysia melayakkan diri ke saingan Piala Asia 2024 Januari hadapan, manakala perjalanan skuad kebangsaan kini diteruskan bagi melihat prospek peluang terus beraksi di peringkat tertinggi antarabangsa, dimulakan dengan saingan kelayakan yang bermula Khamis ini bertemu Kyrgyzstan sebelum bertandang ke Taiwan 21 November nanti.

Hamidin berkata, pasukan kendalian Kim Pan-gon bakal memperoleh lebih banyak manfaat sekiranya berjaya layak ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026.

Beliau berkata, pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026 menjadi platform tepat menguji tahap kemampuan Harimau Malaya bagi menyaingi kehebatan pasukan menghuni ranking lebih tinggi di peringkat Asia mahupun dunia antaranya Jepun, Australia serta Iran, sesuatu yang amat jarang berlaku bagi mereka.

Menurut Hamidin, skuad kebangsaan juga bakal mengumpul mata lebih tinggi sekiranya beraksi dalam pusingan tersebut sekali gus meningkatkan kedudukan Harimau Malaya berbanding apa dinikmati mereka pada aksi persahabatan.

“Saingan Piala Asia di Qatar bukanlah sesuatu yang tidak mustahak kerana setelah 42 tahun kita sudah layak dan ia satu kejayaan bermain di sana.

“Namun, jika dapat layak ke peringkat seterusnya bagi Kelayakan Piala Dunia 2026, kita boleh cipta sejarah iaitu pasukan kita dapat jadi 18 pasukan terbaik dan bermain 10 perlawanan bertaraf dunia, halaman sendiri dan tempat lawan,” katanya pada sidang media pada Isnin.

Hamidin ketika menyambut kedatangan Daniel Ting yang menggantikan Azam Azmi. — Facebook/FAM

Justeru, Hamidin berkata, amat penting buat penyokong Harimau Malaya menunjukkan sokongan padu termasuk membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil bagi meniup semangat kepada pemain ketika aksi pembukaan Kumpulan D pusingan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang pasukan ke-97 dunia Kyrgyzstan, Khamis ini, seterusnya aksi di tempat lawan menentang Taiwan (152 dunia), pada 21 November.

Beliau mengakui peminat sudah semestinya mengimpikan untuk melihat Harimau Malaya maju lebih setapak lagi selepas meniti kejayaan membanggakan di bawah kendalian Pan-gon termasuk mara ke Piala Asia 2023 buat kali pertama dalam masa 42 tahun.

Selepas dua perlawanan bulan ini, Malaysia di kedudukan ke-137 dunia, dijadual bertemu pasukan ke-72 dunia Oman di tempat lawan dan sendiri tahun hadapan masing-masing pada 21 dan 26 Mac, bertemu Kyrgyzstan di Bishek pada 6 Jun dan menentang Taiwan pada 11 Jun di Malaysia.

Mengikut format pertandingan, dua pasukan terbaik kumpulan akan layak ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia dan layak ke Piala Asia, manakala pasukan di tempat ketiga dan keempat akan beraksi dalam pusingan ketiga kelayakan Piala Asia.

Bagi saingan pusingan ketika kelayakan Piala Dunia, 18 pasukan yang layak akan dipecahkan kepada tiga kumpulan dengan dua pasukan terbaik akan mara ke Piala Dunia 2026.

Skuad kebangsaan melakukan persiapan menjelang kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027. — Facebook/FAM

Pasukan ketiga dan keempat setiap kumpulan pula akan layak ke pusingan keempat kelayakan dan dipecahkan kepada dua kumpulan dengan juara setiap kumpulan layak ke Piala Dunia 2026 manakala naib juara akan beraksi dalam pusingan playoff menentang pasukan dari benua lain.

Piala Dunia 2026 akan dihoskan Kanada, Mexico dan Amerika Syarikat secara bersama dengan format baharu 48 pasukan, berbanding 32 pasukan sebelum ini.

Juara tiga kali Arab Saudi akan menjadi tuan rumah Piala Asia buat kali pertamanya pada 2027.

Bagi pusingan akhir Piala Asia 2023, Malaysia diundi dalam Kumpulan E bersama Korea Selatan, Jordan dan Bahrain. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram




Source link

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Tiada tempat istimewa untuk wakili skuad B-23 — Juan Torres – Sukan

Next Post

[VIDEO] Gara-gara ejek penyerang Jeonbuk Hyundai, fans LCS mahu penjaga gol mohon maaf – Sukan

Related Posts