Kehilangan Yazan buka pintu Selangor sambar 3 bek kental import Liga M untuk 2024 – Sukan


KENYATAAN rasmi daripada Selangor FC pada Selasa menjawab persoalan ramai mengenai masa depan bek tengah import, Yazan al-Arab bersama kelab berkenaan.

Dia sebelum ini berdepan penggantungan dan denda yang masih tidak diketahui setelah melakukan kekasaran terhadap pengadil perlawanan Piala Malaysia antara skuad Gergasi Merah dan Terengganu FC di laman sendiri.

Pemain bertubuh sasa berkenaan terdahulu membuat bantahan terhadap Hasrol Amir yang kemudian menyaksikannya dilayangkan kad merah selepas tamat perlawanan.

Berang akan keputusan berkenaan, pertahanan kebangsaan Jordan berkenaan kemudiannya bertindak menendang pengadil tersebut dengan ia sempat dirakam orang ramai.

Kekasaran terbabit sudah tentu membangkitkan rasa kurang senang daripada penyokong bola sepak tempatan yang mahu denda dan penggantungan jangka masa panjang dikenakan terhadapnya.

Kenyataan rasmi Selangor FC yang mengesahkan pemergian Yazan al-Arab. — Facebook/Selangor FC

Namun, desakan tersebut kemudiannya terjawab apabila Selangor FC memilih untuk menamatkan kontraknya lebih awal dengan persetujuan bersama.

Kehilangan Yazan dijangka akan memberi impak terhadap benteng pertahanan skuad Gergasi Merah yang kini hanya mempunyai dua pemain import iaitu Safuwan Baharudin dan Richmond Ankrah.

Meskipun mereka turut memiliki Shahrul Nazeem Zulpakar dan Harith Haiqal Adam Afkar, kedua-dua bek tengah itu dilihat cukup muda untuk beraksi di tahap lebih tinggi.

Jadi, pasukan Lembah Klang berkenaan sudah tentu akan membawa masuk seorang pertahanan import baharu ketika jendela perpindahan Liga Super akan datang.

Walaupun terdapat kemungkinan kelab tersebut akan mencari bakat baharu dari luar negara, lambakan pilihan yang sudah membuktikan bakat dalam landskap bola sepak tempatan boleh menjadi solusi bagi isu pertahanan mereka.

Berdasarkan tinjauan Majoriti, terdapat tiga pemain import yang cukup sesuai disambar Selangor FC untuk mengisi kehilangan Yazan pada musim akan datang.

1. Bojan Ciger (KDA FC)

Musim ini, Kedah Darul Aman (KDA) FC merupakan salah sebuah kelab yang membuat perbelanjaan cukup besar apabila membawa masuk beberapa pemain import.

Meskipun terdapat segelintir daripada mereka gagal memberikan impak secukupnya, masih ada yang memberikan kesan cukup bernilai buat skuad Sang Kenari.

Salah satu nama yang boleh diletakkan dalam kategori berkenaan ialah bek tengah kelahiran Serbia, Bojan Ciger apabila kemasukannya membawa satu kestabilan buat benteng pertahanan pasukan.

Dia yang dibawa masuk dari kelab Uzbekistan, Navbahor tidak perlu menunggu lama untuk menyesuaikan diri apabila terus menjadi tonggak utama buat skuad kendalian Nafuzi Zain.

Bojan Ciger memiliki struktur fizikal cukup baik dalam Liga Super. — Facebook/KDA FC

Berdasarkan statistik, pemain berusia 29 tahun tersebut tampil dalam kesemua 22 aksi Liga Super buat KDA FC dengan hanya satu daripadanya dia dikeluarkan dengan lebih awal.

Rekod berkenaan sudah cukup untuk menceritakan bahawa Bojan merupakan salah seorang bek import terbaik dalam Liga Super.

Jadi, sekiranya Selangor FC bercita-cita besar untuk musim akan datang, pihak pengurusan perlu bertindak segera dengan menawarkan kontrak lumayan terhadapnya.

Meskipun reputasinya akan menaikkan lagi permintaan gajinya, struktur kewangan skuad Gergasi Merah pastinya akan memudahkan proses untuk menyambarnya usai kontraknya tamat.

2. Giancarlo Gallifuoco (KL City FC)

Setelah tiba di Kuala Lumpur (KL) City FC pada 2021, pemain kelahiran Australia, Giancarlo Gallifuoco terus menjadi salah seorang import terbaik dalam Liga Super.

Ketinggiannya yang mencecah 1.87 meter (m) sudah cukup untuk memberikannya kelebihan dari segi fizikal bagi bersaing dengan penyerang-penyerang lawan.

Malah, Giancarlo juga dikatakan memiliki kepantasan dalam mendapatkan semula bola daripada pihak lawan dengan ia merupakan satu kelebihan buatnya.

Kehadirannya juga membolehkan skuad Warga Kota mencatatkan sejarah tersendiri apabila dia membantu mereka muncul juara dalam Piala Malaysia 2021.

Selangor FC pastinya berdepan cabaran untuk mendapatkan khidmat Giancarlo. — Facebook/Kuala Lumpur City

Kecemerlangan Giancarlo diteruskan musim ini apabila pemain berusia 29 tahun berkenaan terus menjadi tonggak utama buat KL City FC.

Berdasarkan statistik, bekas pemain Tottenham Hotspur itu diturunkan dalam 20 daripada 22 aksi Liga Super buat pasukannya.

Jadi, sekiranya Selangor FC berhasrat untuk mendapatkan seorang pemain cergas dan kental, Giancarlo merupakan calon terbaik dalam kategori itu.

Namun, melihat kepada hubungannya yang cukup akrab dengan KL City FC, mampukah skuad Gergasi Merah memberikan satu tarikan sukar ditolak kepadanya?

3. Michael Glassock (Sri Pahang)

Salah seorang pemain import yang paling konsisten buat Sri Pahang FC musim ini ialah pertahanan tengah kelahiran Australia, Michael Glassock.

Dia yang dibawa masuk dari Sydney Olympic pada jendela perpindahan pertama Liga Super segera mengejutkan orang ramai dengan usianya yang baru sahaja mencecah 23 tahun.

Meskipun masih tidak mempunyai pengalaman mencukupi, pemain bertubuh sasa berkenaan segera mengukuhkan tempatnya dalam kesebelasan utama.

Gandingannya di samping Fadhli Shas atau Nick Swirad merupakan salah satu kunci yang membolehkan skuad Tok Gajah mencatatkan rekod pertahanan ketiga terbaik dalam Liga Super.

Usia Glassock memudahkannya untuk meneruskan karier dalam Liga Super. — Facebook/Sri Pahang FC

Sekiranya Selangor FC berjaya menyambar khidmatnya, mereka sudah tentu tidak akan berdepan sebarang masalah untuk mencari bek tengah baharu untuk tahun-tahun akan datang.

Di samping masih cukup muda dalam dunia bola sepak, Glassock juga dilihat tidak bergelut dengan isu kecergasan apabila dia merekodkan 18 penampilan daripada 21 aksi Liga Super buat Sri Pahang FC.

Jika Selangor FC berjaya mengesahkan slot untuk layak ke pentas Asia musim depan, mereka sudah tentu tidak berdepan sebarang masalah untuk menyambarnya.

Tambahan pula, kecenderungan Sri Pahang FC untuk tidak menyambung kontrak pemain import juga memberi ruang buat skuad Gergasi Merah untuk menandatanganinya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram




Source link

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Mara ke suku akhir Sukan Asia lepas singkirkan juara dunia, Zii Jia akui pengalaman bantu jadi lebih matang   – Sukan

Next Post

FIFA bakal anjur Piala Dunia di 3 benua berbeza – Sukan

Related Posts