KYLIAN Mbappe membidas Paris Saint-Germain (PSG) berhubung video promosi terbaru membabitkan tiket musim mereka selepas dia kerap diketengahkan dalam kempen itu.
Penyerang itu menandatangani kontrak baru bersama juara Ligue 1 tahun lalu selepas menolak perpindahan ke Real Madrid.
Walaupun terikat sehingga 2025, masa depan penyerang Perancis itu mula menimbulkan spekulasi, lebih-lebih lagi di ketika prestasi goyah skuad kendalian Christophe Galtier tersebut.
Mbappe bertindak menyuarakan kekecewaannya kerana menjadi tumpuan utama dalam usaha mempromosikan tiket bermusim PSG itu.
Malah, penyerang itu berikrar untuk melindungi hak imejnya.
Tangkap layar kenyataan dimuat naik oleh Mbappe baru-baru ini. — Instagram/Mbappe
“Saya hanya mengambil bahagian ketika hadir dalam kempen langganan semula kelab untuk musim 23-24,” katanya.
“Saya tidak pernah dimaklumkan mengenai kandungan temu bual itu.
“Ia kelihatan seperti wawancara asas ketika hari pemasaran kelab. Saya tidak bersetuju dengan video yang diterbitkan ini. Itulah sebabnya saya memperjuangkan hak imej individu.
“PSG merupakan kelab besar dan keluarga besar, tetapi ia bukan Kylian Saint-Germain.”
Ulasan Mbappe itu hadir di sebalik pergelutan prestasi PSG yang menempa tiga kekalahan dalam empat perlawanan terakhir termasuk terkandas dalam Liga Juara-Juara (UCL). — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram