Jodoh ke JDT belum tiba, musuh tradisi ACL ada peluang masuk line pinang Cools – Sukan


PENDAPATAN mingguan pertahanan kental skuad kebangsaan, Dion Cools bersama Buriram United terbongkar apabila info dari laman sesawang, salarysport memuat naik jumlah gaji pemain itu sejak menyertai kelab gergasi Thailand berkenaan pada Januari lalu.

Menerusi info yang dikeluarkan oleh salarysport, Cools memperoleh €5,400 (RM27,300) untuk seminggu dan gaji tahunannya adalah sebanyak €280,800 (RM1.4 juta), pendapatannya itu difahamkan jauh lebih banyak daripada ketua pasukan Buriram, Theerathon Bunmathan.

Manakala, bekas pemain Liga Jepun (J-League), Yokohama F. M itu memperoleh €3,600 (RM18,200) seminggu walaupun Theerathon jauh lebih berpengalaman beraksi bersama Buriram dan mempunyai reputasi sebagai salah seorang pemain terbaik skuad kebangsaan Thailand.

Perkongsian gaji pemain berusia 27 tahun itu secara tidak langsung mengesahkan dakwaan pemilik Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Idris yang sebelum ini menyatakan bahawa gaji Cools terlampau tinggi bagi kelab gergasi tanah air berkenaan.

Dakwaan Tunku Ismail ketika wawancara bersama program Nindia Bola terbitan Astro Arena itu dinyatakan selepas beliau menyatakan hasrat untuk ‘meminang’ Cools sebagai pemain Harimau Selatan pada suatu hari nanti.

Dengan kontrak Cools yang akan tamat pada Jun musim depan, pastinya ramai kelab gergasi Asia sedang memantau untuk merekrut bek tengah negara itu terutamanya selepas dia disenaraikan dalam kesebelasan terbaik Liga Juara-Juara Asia (ACL) untuk perlawanan minggu keempat.

Jika melihat kepada gaji Cools itu, jelas kelab yang berstatus gergasi adalah destinasi sesuai buatnya dan kali ini Majoriti menyenaraikan tiga pasukan elit Asia mampu membeli kepakaran pemain warisan kacukan Belgium-Malaysia tersebut;

1) Lion City Sailors

Wright antara bek tengah yang masih disifatkan kurang memberi impak. — Agensi

Satu-satunya wakil dari Liga Perdana Singapura, Lion City Sailors dilihat antara kelab berpotensi untuk merekrut Cools selepas melihat kemampuan pasukan dengan jolokan The Sailors dalam membawa masuk pemain mahal seperti Diego Lopes yang mempunyai tanda harga €1.60m (RM8.1 juta).

Musim ini, skuad kendalian Aleksandar Rankovic itu mempunyai lambakan bek tengah seperti pemain Brazil, Pedro Henrique; Bailey Wright dari Australia dan pertahanan kelahiran Sepanyol, Manuel Herrera Lopez.

Selain tiga pemain import itu, Lion City juga menggunakan khidmat dua bek tengah lokal iaitu Lionel Tan dan Bill Mamadou namun kesemua mereka tidak mempunyai peluang sama rata dalam meraih minit permainan bersama The Sailors.

Daripada Lion City menggaji dua pemain mempunyai tanda harga mahal tapi kurang beraksi seperti Henrique dan Wright, Cools adalah pilihan jauh lebih berkualiti untuk menggantikan mereka pada saingan musim depan.

Malah, usia Cools yang jauh lebih muda daripada dua pemain dalam lingkungan 30-an itu menjadi nilai tambah meyakinkan bahawa bek tengah tanah air berkenaan boleh menjadi aset jangka masa panjang pasukan Lion City.

2) Yokohama F. Marinos

Yokohama kini menghuni kedudukan kedua selepas 32 aksi setakat ini. — Agensi

Jika bukan ke Lion City, kelab yang kini menghuni kedudukan kedua carta Liga Jepun, Yokohama F. Marinos juga antara pasukan sesuai untuk membawa masuk bekas pemain muda pasukan Belgium berkenaan pada suatu hari nanti.

Hal ini kerana, pengalaman skuad Marinos yang pernah menggunakan pemain Asia Tenggara iaitu Theerathon pada musim 2019 dan 2020 pasti membuka hati mereka untuk mencuba bakat lain dari rantau berkenaan seperti Cools.

Pemain yang pernah menyarung jersi kelab Denmark, FC Midtjylland itu juga dilihat sesuai untuk menggantikan bek tengah berpengalaman Yokohama, Yuki Saneto selepas difahamkan kontrak tonggak berusia 34 tahun tersebut akan tamat pada awal Januari 2024.

Pusingan kedua saingan Liga Jepun menyaksikan Yokohama bakal berdepan situasi getir apabila dua bek tengah utama mereka iaitu Shinnosuke Hatanaka dan Ryotaro Tsunoda dijangka masih belum pulih dari kecederaan.

Keadaan kurang memihak kepada juara Liga Jepun musim lepas itu pastinya memaksa mereka untuk mencari alternatif lain bagi mengisi kekosongan di bahagian pertahanan bagi meneruskan misi mempertahankan trofi liga.

3) Ulsan Hyundai

Aksi JDT menentang Ulsan Hyundai dalam saingan ACL. — Facebook/JDT

Kali terakhir juara tiga kali Liga Korea Selatan (K League), Ulsan Hyundai memenangai kejohanan ACL adalah pada musim 2020 dan sejak itu pasukan gergasi negara republik itu terkandas di saingan separuh akhir (2021) dan peringkat kumpulan (2022).

Malah, skuad dengan jolokan Tigers itu juga baru sahaja dikecewakan oleh jaguh Malaysia, JDT apabila tewas 1-2 dalam aksi kedua peringkat Kumpulan I pada November lalu dan ia merupakan kekalahan kali ketiga mereka di tangan Harimau Selatan.

Benteng pertahanan Ulsan yang kurang ampuh jelas menjadi duri dalam daging untuk pasukan berkenaan meneruskan perjuangan di kejohanan ACL mahupun saingan domestik dan ia dapat dibuktikan apabila skuad kendalian Hong Myung-bo itu sudah dibolosi sebanyak 39 gol selepas 36 aksi Liga Korea.

Jika dilihat pada senarai pemain, Ulsan tidak menggunakan khidmat tonggak import tapi meletakkan kepercayaan kepada lapan pertahanan tempatan dan empat daripadanya adalah bek tengah iaitu Jung Seung-hyun, Kim Young-gwon, Kim Kee-hee serta Lim Jong-eun.

Jika Ulsan tekad untuk melakukan transformasi di bahagian pertahanan, Cools boleh menjadi antara pilihan import dengan mempunyai kelebihan dari segi umur serta pengalamannya yang pernah beraksi di kelab Eropah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram




Source link

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

‘Setiap perlawanan ada tekanan’, Darren Lok yakin Harimau Malaya mampu catat keputusan positif – Sukan

Next Post

[VIDEO] Waspada ancaman Ernist Batyrkanov, jangan lupa bekas bintang Kedah juga pernah hampakan HM ketika masih beraksi dalam Liga M – Sukan

Related Posts