Jaga jurulatih tempatan, luar negara dengan penuh hormat — PJBM – Sukan


PERSATUAN Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM) menggesa agar semua pihak berkaitan untuk melayan kesemua jurulatih sama ada tempatan mahupun luar negara dengan penuh hormat.

Presiden Sementara Datuk Ong Kim Swee berkata, berikutan laporan mengenai seorang jurulatih dari luar negara yang ketika ini berhadapan masalah, PJBM dengan tegasnya mengutuk sebarang tindakan yang tidak menjaga kebajikan para jurulatih.

“Kami telah dapat tahu bahawa kebajikan jurulatih dari luar negara yang telah mencurahkan masa dan kepakaran kepada komuniti bola sepak negara, tidak dijaga oleh majikannya sebelum ini.

“Walaupun kami tahu setiap situasi mungkin berbeza, kami mahu menegaskan bahawa kebajikan jurulatih, sama ada tempatan ataupun dari luar negara, mesti dilayan dengan penuh hormat dan pertimbangan yang sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Kim Swee yang juga ketua jurulatih Sabah berkata, PJBM percaya jurulatih memainkan peranan penting dalam membentuk masa hadapan bola sepak Malaysia dengan menyumbangkan pengetahuan dan pengalaman mereka kepada landskap bola sepak negara.

Bekas ketua jurulatih Harimau Malaya itu juga berkata, dedikasi dan semangat jurulatih wajar dibalas dengan komitmen penjagaan kesejahteraan mereka, termasuk imbuhan yang adil, kehidupan yang sesuai dan sokongan keseluruhan.

“Sebagai sebuah persatuan, kami komited untuk memperjuangkan kebajikan jurulatih dan bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan dalam komuniti bola sepak, bagi memastikan pengabaian seperti yang berlaku itu, dapat ditangani dengan segera dan berkesan.

“Kami menggalakkan ketelusan, dialog terbuka dan akauntabiliti dalam semua perkara yang berkaitan dengan kebajikan jurulatih,” katanya.

Sementara itu Kim Swee berkata, PJBM menjemput semua ahli persatuan bola sepak untuk menyertai mereka dalam memperjuangkan kebajikan jurulatih, tanpa mengira dari mana mereka berasal.

Khamis lepas, media tempatan melaporkan seorang jurulatih import dalam saingan Liga Super dipercayai bekas pengendali Kelantan FC Frank Bernhardt, hidup dalam keadaan tersepit di sekitar Lembah Klang sejak beberapa minggu lalu, namun Bernhardt menafikan laporan itu pada Sabtu. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram




Source link

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

[VIDEO] Selepas dipujuk PJBM, Frank Bernhardt dedah situasi tidur di bilik stor – Sukan

Next Post

Reezal Merican kembali dalam politik, tawan DUN Bertam di PRN Pulau Pinang – Sukan

Related Posts