Jadi rebutan laku macam pisang goreng panas, siapa sebenarnya LTK? – Sukan


KEHILANGAN ketua jurulatih Kelantan FC, Rezal Zambery Yahya musim depan bakal merencatkan kemaraan mereka dalam saingan Liga Super setelah hampir menjuarai liga musim ini.

Ketua jurulatih yang tidak mempunyai lesen kejurulatihan Pro A itu terpaksa akur dengan peraturan yang ditetapkan walaupun telah berjaya memberi nafas baharu ke dalam pasukan pantai timur ini.

Dalam saingan Liga Perdana, Kelantan FC jelas mengundang gerun pasukan lawan apabila mereka kini berkongsi 36 mata dengan pendahulu liga, Johor Darul Takzim II (JDT II) namun hanya dibezakan jumlah jaringan.

Selain berjaya memastikan ketajaman barisan serangan sepanjang musim, The Red Warriors (TRW) juga menunjukkan kemampuan mereka dalam setiap posisi apabila pasukan ini hanya dibolosi 11 kali setakat ini.

Rekod ini menunjukkan kecemerlangan pendekatan yang dibuat Rezal dalam usaha melayakkan diri ke Liga Super dengan merit kenaikan liga menerusi usaha yang ditunjukkan mereka.

Baru-baru ini, pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman melahirkan minat untuk membawa masuk bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan B-16, Lim Teong Kim sebagai pengendali baharu mereka musim depan.

Perkara ini menunjukkan semangat pemilik itu yang pastinya mempunyai visi dan objektif tersendiri dalam membawa masuk seorang jurulatih yang ternama seperti itu.

Namun, persoalannya, siapakah Lim Teong Kim yang namanya sering disebut-sebut dalam kalangan peminat bola sepak tanah air?

Latar belakang

Anak kelahiran Melaka ini sering disebut-sebut sebagai salah seorang jurulatih yang mempunyai pemahaman yang mendalam mengenai landskap bola sepak tempatan.

Ketika karier permainannya, Teong Kim pernah beraksi buat pasukan kebangsaan sebanyak 60 kali ketika zaman kegemilangannya, iaitu pada 1982 hingga 1991.

Sepanjang tempoh itu, dia bukan sahaja mampu melancarkan gerak geri serangan, namun dia juga berjaya menjaringkan 12 gol sepanjang 10 tahun kariernya dalam skuad kebangsaan.

Kebolehan Teong Kim sebagai pemain diiktiraf badan antarabangsa IFFHS — Agensi

Bukan itu sahaja, bakat dan sumbangannya berjaya diiktiraf Persatuan Sejarah dan Statistik Bola Sepak Antarabangsa (IFFHS) apabila namamya diletakkan dalam kesebelasan utama Harimau Malaya sepanjang masa di samping bintang ternama seperti Mokhtar Dahari dan Datuk Soh Chin Ann.

Di peringkat kelab pula, Teong Kim pernah berkhidmat dalam beberapa pasukan termasuk Melaka, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan sepanjang 12 tahun tempoh perkhidmatannya.

Perkara ini menunjukkan bahawa pengendali ini berjaya mengutip pelbagai jenis pengalaman dalam pendekatan dan rentak permainan yang sering diaplikasikan di negara ini berdasarkan kemampuan dan pengaruh sekeliling, seperti diet dan cuaca.

Selain itu, Teong Kim juga pernah berhijrah ke Eropah untuk bermain bersama kelab Jerman, Hertha BSC dalam saingan Bundesliga meskipun hanya bermain dalam satu perlawanan.

Pengalaman yang pernah diraih semasa satu musim di negara itu membolehkannya mendekati dan serba sedikit didedahkan dengan liga yang dipenuhi bintang ternama.

Pengalaman kejurulatihan

Sebaik sahaja menamatkan kariernya sebagai pemain bola sepak pada 1995, Teong Kim mula menggiatkan dirinya dalam bidang kejurulatihan menggunakan pengalaman yang berharganya.

Selepas mengendalikan kelab kerdil SV Puchheim, jurulatih ini dibawa masuk ke kelab gergasi Jerman, Bayern Munich untuk menyertai staf teknikal sebagai jurulatih pasukan remaja kelab itu.

Bayern Munich sememangnya tidak asing dalam kalangan peminat bola sepak apabila pasukan itu berjaya menghasilkan bintang-bintang ternama yang membanjiri skuad kebangsaan mereka termasuk Bastian Schweinsteiger dan Phillip Lahm.

Lim Teong Kim ketika menguruskan pasukan remaja Bayern Munich. — Agensi

Oleh itu, kehadiran Teong Kim ke dalam pasukan itu bukanlah satu perkara yang kecil apabila pengetahuannya dipandang tinggi sehingga berjaya menarik perhatian pihak pengurusan The Bavaria.

Tidak cukup dengan itu, bintang Bayern Munich, Thomas Muller juga pernah berkongsi penghargaannya terhadap Teong Kim pada 2019 di atas kendaliannya ketika pemain itu masih berada di akademik.

Pujian itu meningkatkan lagi nama jurulatih hangat itu apabila Muller memandang tinggi pemahaman dan taktikal yang ditekankan Teong Kim meskipun masih berada di peringkat remaja.

Setelah hampir 10 tahun di Jerman, dia akhirnya kembali ke tanah air setelah dilantik sebagai Pengarah Akademi Bolasepak Negara Mokhtar Dahari yang ditubuhkan dalam usaha menghasilkan lebih ramai pemain kebangsaan.

Pelantikannya ini menunjukkan bahawa pengendali ini mempunyai kebolehan dalam mengenal pasti bakat baharu selain diharap mampu mencurahkan pengalaman yang ditimbanya ketika berada di Eropah.

Teong Kim akhirnya diberikan perhatian oleh skuad kebangsaan apabila dia telah dipilih untuk mengemudi pasukan kebangsaan B-16 pada 2017 dalam usaha membina prospek bola sepak pada masa hadapan.

Namun, kurang daripada setahun, Teong Kim akhirnya dipecat apabila pasukan kendaliannya gagal melayakkan diri ke saingan Piala Dunia B-17 selepas tumpas kepada Jepun.

Sejak pemecatan itu, Teong Kim sudah tidak mengendalikan mana-mana pasukan di dalam dan luar negara berikutan terdapat laporan yang mengatakan permintaan gajinya yang tinggi didedahkan Kementerian Belia dan Sukan pada 2018.

Pencapaian

Sepanjang tempoh kariernya, Teong Kim telah berjaya meletakkan dirinya dalam kalangan pemain yang mempunyai kebolehan untuk menembusi barisan pertahanan lawan dengan hantaran yang mengelirukan.

Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya pemain tengah ini berjaya mengecapi pelbagai kejuaraan bersama kelab dan skuad kebangsaan sepanjang lebih kurang sedekad itu.

Dia pernah meraih sebanyak tiga kejuaraan liga bersama Melaka, Kuala Lumpur dan Kedah selain beberapa kejuaraan lain, termasuk empat Piala Malaysia yang berjaya dijulang pemain itu.

Lim Teong Kim pernah menjulang trofi liga bersama pasukan Kedah. — Media sosial

Bersama skuad Harimau Malaya pula, penglibatannya bersama pasukan itu membolehkannya meraih pingat emas dalam acara bola sepak semasa temasya Sukan SEA 1989.

Perkara itu pasti menggembirakan penyokong bola sepak ketika itu apabila hasrat skuad kebangsaan untuk beraksi di Olimpik Moscow 1980 terpadam berikutan ketegangan politik antarabangsa.

Bagi karier kejurulatihan pula, penglibatan Teong Kim dalam memghasilkan pemain muda mengurangkan peluangnya untuk mengendalikan pasukan bagi mengharumkan lagi nama dan reputasinya.

Penglibatan bersama akademik Bayern Munich dan Projek Pembangunan Bola Sepak Kebangsaan (NFDP) sepanjang hampir 15 tahun menjejaskan peluangnya untuk mengulangi kejayaan yang pernah diraih ketika bergelar pemain profesional.

Teong Kim dan Kelantan FC

Kemampuan Teong Kim untuk membawa sesebuah pasukan senior seperti sukar untuk diramal apabila kayu ukur pengalamannya hanya berada di tahap akademik dan remaja.

Persoalannya, mengapakah Norizam yang juga dikenali sebagai Zamsaham menunjukkan minat yang tersendiri kepada jurulatih berusia 60 tahun ini?

Selain mempunyai skuad yang muda, kestabilan kewangan juga membolehkan TRW untuk mendapatkan khidmat pengendali itu bagi membolehkan mereka bersaing bersama pasukan di Liga Super.

Tidak cukup dengan itu, Zamsaham pasti mahu pengalaman yang diperolehi Teong Kim boleh dikongsikan bersama barisan teknikal pasukan itu bagi membolehkan mereka membangunkan lebih ramai prospek bersinar.

Nama dan reputasi Teong Kim juga pasti mempunyai faktor kepada minat yang ditunjukkan apabila kehadirannya mampu menaikkan lagi reputasi Kelantan FC dalam menarik lebih banyak peluang pelaburan dan bintang ke dalam pasukan itu.

Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman berhasrat membawa masuk Lim Teong Kim musim depan. — Bernama

Teong Kim juga pasti berminat untuk menyertai pasukan ini apabila dia mampu mencurahkan identiti dan falsafah tersendiri ke dalam pasukan yang mahu menaikkan semula kemampuannya di atas padang.

Perkara ini seakan memberikan kelebihan kepada kedua-dua pihak apabila pihak pengurusan Kelantan FC pasti tidak mahu terburu-buru untuk mencapai kejayaan sehingga mendatangkan kerugian.

Bagi pengendali ini pula, masa yang diberikan mampu membolehkannya membina sebuah pasukan yang dapat bermain berdasarkan falsafah dan identiti tersendiri dalam usaha mengembalikan zaman kegemilangan ke Stadium Sultan Muhammad ke-IV.

Namun, mampukah Zamsaham memaparkan cita-citanya yang terancang dalam usaha membawa pengendali dengan pengalaman unik itu bagi menggantikan Rezal Zambery Yahya? — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram




Source link

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Kontroversi penalti gagal beri JDT 3 mata penuh – Sukan

Next Post

‘Dah layak Piala Asia, jadi jangan stres jika gagal juara Piala AFF’ – Sukan

Related Posts