‘Honour & Sacrifice’ Fandi jadi dorongan Sri Pahang FC harungi kepayahan – Sukan


LAPTOP Cabuk menemui pembaca lagi. Berinspirasikan minda tua yang mungkin sudah berkarat, karya ini dan seterusnya akan cuba menyingkap cerita di sebalik tabir dan sesuatu yang mungkin terlepas daripada pengamatan ramai untuk sama-sama memeriah dan meraikan Liga Malaysia musim 2023.

“SAYA tidak mahukan gaya hidup dalam bola sepak, saya dambakan untuk jalani hidup dalam bola sepak,” itu antara mutiara kata Fandi Ahmad dalam biografinya bertajuk ‘Honour & Sacrifice’ yang baru dilancarkan.

Buku setebal 472 muka surat itu menyelami kerja keras, motivasi dan pengorbanan anak watan Singapura itu sejak mula menceburkan diri dalam bola sepak ketika masih kanak-kanak dan turut dikongsikannya ialah falsafah 3DS (Determination, Dedication, Discipline and Sacrifice – Kesungguhan, Dedikasi, Disiplin dan Pengorbanan) yang menjadi pegangan dan kunci kejayaannya.

Sekitar majlis pelancaran ‘Honour & Sacrifice’.

Honour & Sacrifice, menurut pengenalan biografi tulisan Durga Poonambalam dan terbitan WriteHaus Asia itu, amat penting bagi sesiapa sahaja yang percaya pada aspirasi mereka, ingin mencetuskan arah tujuan dan cukup berani untuk mengubah cita-cita menjadi kenyataan.

Fandi, seperti dikisahkan dalam buku berkenaan, dan legenda yang disandarkan harapan untuk membawa gemilang kepada Sri Pahang FC dalam Liga Malaysia 2023, mana mungkin dua perwatakan yang berbeza.

“Saya sentiasa percaya kepada bekerja bersungguh-sungguh dan bermain dengan bersungguh-sungguh. Pada masa yang sama, saya juga menikmati setiap detik menjalankan tugas selaku ketua jurulatih Sri Pahang FC,” ceritanya kepada Laptop Cabuk.

Aksi menarik Sri Pahang menentang Penang FC dalam saingan Piala FA. — Facebook/ Sri Pahang FC

Merumuskan perjalanan pusingan pertama liga yang berakhir dengan perlawanan menentang Kuala Lumpur City (KLC) FC di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada Ahad, ketua jurulatih berusia 60 tahun itu berkata kekurangan dalam pasukan menuntut barisan kejurulatihan sentiasa mencari jalan untuk mengatasinya.

“Seperti yang sudah kerap saya katakan, pasukan yang ada ini hanya bagus untuk satu separuh masa, tidak kira yang pertama atau kedua, kerana jarang sekali kami dapat tampilkan kesebelasan terbaik.

“Dalam keadaan itu pun, saya gembira dengan komitmen dan kerjasama berpasukan yang ditunjukkan dalam 12 perlawanan setakat ini,” katanya merujuk kepada rekod 7 menang 4 seri dan 1 kalah untuk mereka menghimpun 25 mata di tangga ketiga carta liga.

Penang FC mengawal ketat pemain Tok Gajah, Kpah Sherman. — Facebook/ Sri Pahang FC

Pengorbanan, seperti yang menjadi pegangannya, sentiasa ditagih daripada pemain-pemain untuk menampung apa saja kelompongan dalam pasukan, yang menghadapi masalah kecederaan berlarutan.

Menerima hakikat bahawa Sri Pahang FC musim ini bukanlah skuad hebat seperti ketika kali terakhir menjuarai Piala Malaysia 2013 dan 2014 di samping muncul naib juara Liga Super 2017 dan 2019, kesungguhan dan kerjasama berpasukan dituntut daripada pemain-pemain.

“Kami tidak punya pasukan yang hebat tapi sekadar biasa-biasa. Tapi kekuatan kami didasarkan kepada dedikasi pemain-pemain untuk membantu satu sama lain.

“Saya lihat pasukan ini bekerja keras dan tidak mudah putus asa. Kami sentiasa mengerah diri dan berjuang habis-habisan untuk mendapatkan hasilnya,” katanya.

Fandi, pemenang tujuh pingat juara Piala Malaysia bersama empat pasukan berbeza – Singapura (1980, 1994), Kuala Lumpur (1987, 1988, 1989) dan Pahang (1992) serta selaku jurulatih LionsXII pada 2015 – menganggap dirinya bertuah digandingkan dengan Datuk Dollah Salleh selaku pengurus.

Sekitar aksi perlawanan di Stadium Darul Makmur, Kedah. — Facebook/ Sri Pahang FC

Bersama Datuk Ahmad Yusof dan Ahmad Shaharuddin Rosdi sebagai penolong ketua jurulatih, ia dianggapnya ‘gandingan impian’ daripada keakraban bermain bersama untuk Pahang pada 1992.

Kebetulan, ia adalah tahun yang menyaksikan skuad Tok Gajah itu dimasyhurkan sebagai juara berganda Liga Divisyen Satu dan Piala Malaysia selain Piala Sultan Ahmad Shah (Sumbangsih).

“Banyak benda yang kami kongsi bersama, dan saya sangat hormati mereka. Sebagai anggota barisan pengurusan, ia tanggungjawab kami untuk mencari jalan terbaik walaupun kami kerap tidak mendapat pasukan penuh.

“Saya sentiasa minta pendapat mereka. Dan saya selalu beritahu mereka yang saya ambil sepenuh tanggungjawab terhadap apa saja keputusan yang saya putuskan atau dibuat secara bersama selepas kami berbincang.

“Paling saya tak suka ialah orang bodek saya,” katanya.

Harus di atas persetujuan bersama mereka jugalah, Fandi mencadangkan kepada pengurusan Sri Pahang FC yang diketuai Tengku Abd Rahman ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, untuk melakukan sedikit rombakan dalam jendela perpindahan kedua bulan depan.

Penjaga gol Harimau Kumbang cuba menepis bola daripada pihak lawan. — Facebook/ Sri Pahang FC

Menurut Jurulatih Terbaik Liga Singapura 2000 itu, barisan kesebelasan dan simpanan Sri Pahang FC memerlukan penambahbaikan, tambahan dengan pusingan kedua liga dan saingan Piala Malaysia yang dirasakannya akan lebih mencabar.

“Kami perlu lakukan sesuatu dalam jendela perpindahan kedua,” katanya. “Barisan simpanan kami tidak terlalu kuat dan seorang atau dua pemain tambahan diperlukan.

“Ketika ini pun, sukar untuk saya buat penggiliran pemain di sebalik kami punya masalah di bahagian tengah dan serangan.

“Tambahan, separuh kedua musim ini dengan beberapa lagi pemberhentian yang dijadualkan, akan lebih sukar dan pemain-pemain simpanan kami perlu bersedia untuk diketengahkan sepanjang masa,” jelasnya.

Situasi itu harus dijelaskan oleh kepayahan dalam mempersiapkan pasukan untuk menghadapi Kuala Lumpur City FC di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam esok sebagai penutup tirai pusingan pertama liga.

Sergio Aguero (paha), Nor Azam Azih dan Sherzod Fayziev (kedua-duanya masalah hamstring) masih menanti kata putus doktor untuk diturunkan sambil peluang Kevin Ingreso dan Lucas Silva untuk beraksi masih meragukan.

“Jelas sekali kami tidak akan mendapat kesebelasan utama kami sekali lagi untuk berdepan KL, yang saya jangkakan akan lebih bersemangat selepas mereka mengalahkan Sabah (dalam suku akhir Piala FA).

“Nampaknya kami terpaksa terus merombak. Apa pun, kami akan melakukan kerja-kerja kami, dan bermain di tempat sendiri, pemain harus sedia melakukan pengorbanan untuk dapatkan tiga mata,” katanya lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram




Source link

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Cuaca akan beri kesan tapi Terengganu juga main suasana sama — Yusri Che Lah – Sukan

Next Post

Cifu ucap selamat tinggal, pilih Kedah atau Sabah? – Sukan

Related Posts