MUSIM lalu, Kedah Darul Aman (KDA) FC mencatatkan satu musim yang kurang memberangsangkan apabila mereka hanya menduduki tangga kelapan Liga Super.
Selain itu, penyingkiran daripada Piala AFC di tangan wakil Indonesia, PSM Makassar mengundang pelbagai kritikan daripada penyokong bola sepak tempatan yang tidak berpuas hati dengan persembahan mereka.
Ia juga diburukkan apabila skuad Sang Kenari ditunjukkan jalan keluar dengan awal dalam saingan Piala Malaysia oleh Negeri Sembilan FC yang mencerminkan prestasi pasukan secara menyeluruh.
Oleh itu, kehadiran pemilik baharu, Tan Sri Mohd Daud Bakar seakan-akan berjaya mengubah segala-galanya dalam mempersiapkan pasukan untuk kempen akan datang.
Sejak jendela perpindahan dibuka pada awal bulan lalu, KDA FC dilihat tidak henti-henti melakukan rombakan terhadap skuad dengan membawa masuk wajah-wajah baharu.
Antara perkara awal yang dibuat ialah menukar barisan kejurulatihan dengan mendapatkan khidmat bekas pengendali Terengganu FC, Nafuzi Zain selepas tidak dikekalkan pasukan Pantai Timur itu.
Penjaga gol kebangsaan, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi menjadi rekrut baharu untuk memperkukuhkan benteng pertahanan selepas dia dilepaskan Petaling Jaya (PJ) City FC.
Penyokong Hijau Kuning pasti tidak sabar untuk melihat kemampuan pasukan untuk musim depan. — Facebook/Kedah Darul Aman FC
Selain itu, bekas perancang Terengganu FC, Manuel Ott turut disambar pihak pengurusan untuk meningkatkan kualiti jentera serangan di samping memberi kestabilan terhadap skuad.
Namun, persoalannya, mampukah perubahan secara besar-besaran itu dapat mengembalikan tahun-tahun kegemilangan KDA FC di samping menamatkan kemarau kejuaraan yang dihadapi ketika ini.
Hal itu dilihat sering diperdebatkan dalam media sosial dengan ramai daripada penyokong tidak mahu meletakkan sasaran terlalu tinggi ke atas skuad Sang Kenari untuk musim 2023.
Bagi seorang penyokong tegar KDA FC, Mohamad Hazriq Fahimy Abdullah, dia melihat rombakan yang dilakukan ketika ini boleh membeza perbezaan, tetapi masa masih perlu diberikan.
“Saya positif ia sudah mencukupi untuk diadunkan dengan pemain sedia ada, namun untuk mengharapkan perubahan dalam waktu yang singkat mungkin mengambil masa.
“Tetapi, saya yakin bahawa Nafuzi dan barisan kejurulatihannya mampu untuk memikulnya dengan baik secara perlahan lahan,” katanya kepada Majoriti.
Hazriq yang juga merupakan pengasas kepada rumah kelab, House of Sang Kenari turut yakin akan kepimpinan Daud Bakar sebagai pemilik dapat memberi nafas baharu kepada pasukan Utara tanah air itu.
Pelaburan besar sudah direncanakan Daud Bakar (kiri) sebagai pemilik kelab. — Facebook/Kedah Darul Aman FC
“Tan Sri Mohd Daud Bakar bagi saya adalah seorang pemimpin yang kita harapkan dapat meneruskan kesinambungan legasi cemerlang kita di bawah kepimpinan Almarhum Dato Paduka Haji Ahmad Basri Akil.
“Dengan semangat & segala usaha yang beliau telah lakukan kini, saya percaya jika beliau terus konsisten beliau akan mampu menjadi seorang pemimpin yang baik untuk membawa Kedah kembali ke landasan mercu jaya,” katanya.
Tambah Hazriq lagi, dia turut berharap penyokong Hijau Kuning akan memberi dorongan yang sebaik mungkin terhadap KDA FC di samping tidak memberi tekanan secara tidak henti-henti setiap kali mereka beraksi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram