Hakimi Azim solusi terbaik buat Kedah, Penang atau PJ City – Sukan


SUSULAN pemindahan pemain import Selangor, Herlison Caion ke KL City, tumpuan peminat kini tertumpu ke arah persembahan dan mutu permainan penyerang muda kebangsaan yang sedang meningkat naik, Hakimi Azim.

Rata-rata peminat meluahkan kerisauan berhubung prestasi pemain itu yang dilihat boleh merudum akibat lambakan pemain import di kelab tersebut.

Selain Caion, dua lagi penyerang import yang disebut bakal memberikan tentangan sengit kepada Hakimi adalah Romel Morales dan Tchetche Kipre.

Kebolehan serta mutu permainan tinggi yang dimiliki kedua pemain itu nyata bakal mendatangkan kesukaran bukan sahaja buat pemain tempatan, malah ketua jurulatih Bojan Hodak juga bakal runsing dalam menyenaraikan kesebelasan utama pemain dalam setiap perlawanan.

Dalam pada itu, rata-rata warganet mengharapkan agar Hakimi mengambil keputusan untuk berpindah ke pasukan lain bagi menggilap lagi skil serta bakat ’emas’ yang dimilikinya.

Tiga kelab yang disebut sebagai destinasi terbaik buat penyerang skuad kebangsaan itu berkelana adalah, PJ City FC, Kedah FC dan Penang FC.

PJ City FC

PJ City FC merupakan antara pasukan terbaik di Liga Malaysia yang masih mengekalkan rekod tanpa sebarang pemain import dalam skuadnya.

Meletakkan sepenuh kepercayaan kepada pemain tempatan, langkah itu diambil oleh pihak pengurusan dengan tujuan mahu terus memberikan peluang kepada pemain tanah air untuk membuktikan kemampuan mereka dalam saingan Liga Malaysia.

Perkara itu sekali gus menjadikan PJ City sebagai antara destinasi wajib yang perlu disertai Hakimi sekiranya mahu terus mengembangkan bakatnya dalam arena bola sepak negara.

Musim lepas, PJ City telah membuktikan mereka mampu bersaing tanpa khidmat pemain import apabila menghuni kedudukan sembilan dalam carta Liga Super selepas mencatat dua kemenangan dan lima keputusan seri dalam 11 perlawanan yang diharungi.

Kedah FC

Enam pemain import baharu sudah disenaraikan oleh Kedah FC bagi mengharungi saingan musim depan dengan paling terbaharu, Bojan Ciger dikhabarkan baru sahaja tiba di negeri Kedah pada Isnin.

Kehadiran pemain itu nyata mengundang seribu harapan buat skuad Sang Kenari yang mahu menyaksikan pasukan itu menggenggam kejuaraan liga di musim depan.

Dalam pada itu, ada pihak turut berpendapat bahawa impian itu boleh direalisasikan sekiranya penyerang berbakat Hakimi dibawa masuk ke pasukan itu.

Usia muda pemain itu yang baru sahaja menginjak ke angka 20 menjadi sandaran utama penyokong yang mahu menyaksikan beliau digandingkan bersama penyerang import Manuel Hidalgo yang beraksi di posisi tengah.

Kedua-dua pemain muda itu dijangka bakal menjadi taruhan utama skuad Kedah bagi tempoh tiga hingga lima tahun lagi dengan pelbagai kejayaan yang boleh dikecapi anak-anak buah Nafuzi Zain itu nanti.

Malah berdasarkan senarai pemain Kedah ketika ini, skuad Nafuzi hanya memiliki dua penyerang sahaja.

Penang FC

Persiapan pasukan Penang FC menjelang liga super 2023 yang bakal membuka tirai Februari nanti dilihat sedikit berbeza dengan pasukan-pasukan lain.

Tidak mensasarkan kepada pemain import mahupun tempatan yang ternama, Penang dilihat lebih mengutamakan pilihan pemain muda bagi menghadapi saingan musim depan.

Posisi penyerang skuad Harimau Kumbang setakat ini terdiri daripada tiga pemain yang berusia di bawah 23 tahun manakala di posisi tengah pula sebanyak 14 pemain.

Berdasarkan senarai, penyerang berpengalaman hanya seorang iaitu Giovane Gomes dan pastinya dia memerlukan pasangan untuk menggempur kubu lawan.

Kiraan itu sekali gus membuktikan bahawa Penang FC mensasarkan barisan pemain muda dan Hakimi dijangkakan bakal turut tersenarai dalam pilihan jurulatih.

Berbekalkan pengalaman dimiliki di Piala AFF, kehadiran pemain kelahiran Gombak, Selangor itu diyakini mampu diterjemahkan dan dikongsikan sebaik mungkin bersama penyerang muda lain di pasukan itu sekiranya diberikan peluang.

Tidak dinafikan bahawa nama pemain itu kian meningkat selepas mempamerkan persembahan terpuji di Piala AFF baru-baru ini dengan gol jaringan cantiknya ketika menentang Laos masih hangat diperkatakan sehingga ke hari ini.

Namun, setakat ini masih belum ada sebarang perkhabaran berita berkenaan pemindahan pemain itu dan mana-mana pun destinasi yang bakal dimasukinya diharap tidak mensia-siakan bakat serta masa depan cerah penyerang itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram




Source link

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Bukan calang-calang, bintang import baharu JDT pernah pecah rekod kelab lama – Sukan

Next Post

‘Pengunci’ Safawi Rasid jadi idaman penyokong Sang Kenari – Sukan

Related Posts