Fandi Ahmad, 3 nama lain calon layak gantikan Dollah Salleh di Sri Pahang musim depan – Sukan


SEJAK menjulang Piala FA pada 2018, Sri Pahang FC semakin bergelut dengan prestasi, baik dalam saingan Liga Super mahupun kejohanan Piala FA dan Piala Malaysia.

Kehilangan tonggak pasukan dikatakan sebagai antara punca di sebalik kegoyahan itu selain kegagalan pasukan untuk membuat pelaburan cermat pada setiap jendela perpindahan.

Namun, sekiranya diperhatikan dengan lebih mendalam, masalah besar yang dihadapi skuad Tok Gajah adalah berpunca daripada ketiadaan ketua jurulatih berkaliber.

Hal itu dapat dilihat apabila pihak pengurusan terpaksa berkali-kali mendapatkan sentuhan pengendali berpengalaman, Datuk Dollah Salleh untuk menambah baik prestasi pasukan.

Tetapi, musim ini, sejak mengambil alih jawatan tersebut daripada jurulatih kelahiran Perancis, Christopher Gamel, dia dikatakan gagal dalam mencapai sasaran yang diletakkan badan pentadbiran.

Prestasi tidak menentu dalam liga menyaksikan pasukan itu menduduki tangga ketujuh sebelum disingkirkan di peringkat awal Piala Malaysia di tangan Terengganu FC dengan agregat 9-3 yang memalukan.

Adakah Dollah bakal mengendalikan skuad Tok Gajah musim depan? — Facebook/Sri Pahang FC

Jadi, tidak hairanlah apabila terdapat luahan daripada penyokong Sri Pahang FC yang berhasrat untuk melihat wajah baharu mengendalikan pasukan itu musim depan.

Bagaimanapun, persoalan yang timbul adalah mengenai calon sesuai untuk mengemudi skuad Tok Gajah dengan pihak pengurusan pastinya melakukan perancangan rapi.

Melihat kepada situasi terkini bola sepak tempatan, tiada nama-nama yang dilihat mampu memikul tanggungjawab besar itu selepas beberapa jurulatih sudah disambar pasukan lain.

Tetapi, masih terdapat beberapa calon yang difahamkan sesuai dengan struktur Sri Pahang FC untuk menggantikan Dollah dengan kontraknya bakal ditamatkan pada penghujung musim.

1. Fandi Ahmad

Ketika Dollah dilantik Julai lalu, satu lagi individu berpengaruh juga dibawa masuk bagi menambah kualiti Sri Pahang, iaitu Fandi Ahmad yang berkhidmat sebagai penasihat teknikal.

Dia sememangnya tidak asing lagi dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan selepas pernah menjulang Piala FA dan trofi Liga Super ketika bersama pasukan Singapura, Lions XII.

Namun, masa depannya bersama pasukan mula dipersoalkan penyokong selepas pihak pengurusan turut berdiam diri untuk menjawab teka-teki penyokong.

Fandi merupakan pilihan utama untuk menggantikan Dollah Salleh musim depan. — Facebook/Sri Pahang FC

Khabar angin kebelakangan ini mengatakan jurulatih berusia 60 tahun itu bakal dilantik sebagai pengendali pasukan sementara posisinya ketika ini bakal digantikan dengan Dollah Salleh.

Perkara tersebut jelas diterima baik peminat setia Tok Gajah selepas Fandi dikatakan mempunyai pengetahuan mendalam, lebih-lebih lagi dari aspek taktikal.

Selain itu, jurulatih kelahiran Singapura itu juga masih tidak diikat mana-mana pasukan di tanah airnya, sekali gus membuka jalan kepada pihak pengurusan untuk melanjutkan kontraknya.

Pengalamannya sebagai ketua jurulatih dan pengurus juga sukar untuk disangkal apabila pernah membimbing pasukan kebangsaan Singapura serta Johor Darul Takzim (JDT) untuk semusim.

Bagi penyokong pula, keputusan pihak pengurusan untuk melantik Fandi mampu menjadi faktor kepada pembangunan pasukan kerana berkemungkinan dia mampu membawa masuk anaknya, Ikhsan dan Irfan yang merupakan bakat muda di kelab masing-masing.

2. Aidil Sharin Sahak

Seorang lagi jurulatih kelahiran Singapura, Aidil Sharin Sahak merupakan antara pengendali luar yang berjaya membuktikan sentuhan taktikal selepas mengendalikan Kedah Darul Aman (KDA) FC.

Sepanjang empat musim di Utara tanah air, jurulatih berusia 45 tahun itu berjaya menjulang Piala Malaysia selain memastikan skuad Sang Kenari beraksi dengan konsisten.

Namun, musim ini, isu pengurusan dan kewangan menyaksikan Aidil menerima desakan tidak henti daripada penyokong untuk meninggalkan pasukan selepas mengharungi satu tahun yang mengecewakan.

Sebelum ini, khabar angin menyebut bahawa Penang FC sedang berusaha mendapatkan khidmat pengendali muda itu dalam usaha membaiki prestasi kurang memberangsangkan musim ini.

Aidil dilepaskan KDA FC selepas satu musim yang mengecewakan. — Facebook/Kedah Darul Aman FC

Tetapi, hal itu pantas ditepis pihak pengurusan Harimau Kumbang apabila mereka berhasrat untuk menggunakan khidmat Manzoor Azwira Abdul Wahid yang baru sahaja memperolehi lesen kejurulatihan.

Hal tersebut menyebabkan Aidil tidak mempunyai destinasi baharu untuk menyambung kariernya sehingga memaksanya untuk pulang ke tanah air sebelum musim depan bermula.

Bagaimanapun, Sri Pahang FC dilihat sebagai satu kelab yang boleh menggunakan khidmat bekas jurulatih Lion City Sailors itu dengan menilai sentuhan serta kemampuannya.

Di samping mahir untuk menggunakan khidmat pemain sedia ada, Aidil juga dikatakan bijak mengenal pasti wajah baharu yang perlu dibawa masuk ketika jendela perpindahan.

Oleh itu, ia dilihat sebagai satu kelebihan terutama apabila musim ini menyaksikan Sri Pahang memiliki lambakan pemain di posisi masing-masing yang mampu digunakan pihak kejurulatihan.

Namun, Aidil juga terpalit dengan isu tersendiri selepas dia difahamkan kurang meletakkan kepercayaan kepada bakat-bakat muda dalam skuad Sang Kenari beberapa tahun kebelakangan ini.

3. B Sathianathan

Sejak menamatkan kontrak dengan Sarawak United berikutan isu kesihatan Julai lalu, B Sathianathan tidak terikat dengan mana-mana pasukan sehingga Liga Super melabuhkan tirainya.

Meskipun mempunyai pengalaman mendalam, jurulatih berusia 64 tahun itu kerap dipandang rendah pasukan Liga Malaysia yang beranggapan pendekatan taktikalnya sudah tidak lagi relevan.

Namun, bagi Sri Pahang, sentuhannya dilihat mampu mengubah nasib pasukan itu musim depan kerana mereka memerlukan rombakan secara mendalam sebelum musim depan bermula.

Perubahan itu pasti mampu dibawa bekas pengendali Selangor FA itu, lebih-lebih lagi kerana dia mempunyai pemahaman mendalam mengenai landskap bola sepak tempatan.

Pengalaman Sathianathan cukup berharga buat Sri Pahang FC. — Facebook/Sarawak United FC

Tidak cukup dengan itu, Sathianathan juga mampu menyuntik perbezaan dengan menerapkan elemen kesungguhan seperti mana yang pernah dibuktikan sepanjang bertahun-tahun bergelar ketua jurulatih.

Bagi jurulatih kelahiran Perak itu pula, sekiranya dia memilih untuk menyertai Sri Pahang, ia merupakan satu batu loncatan terbaik buatnya untuk kembali ke dunia kejurulatihan.

Selain itu, dengan struktur kewangan pasukan yang kukuh, dia tidak perlu risau hal berkaitan bajet seperti yang dialami Sarawak United musim ini.

Tetapi, adakah kedua-dua pihak akan menemui kata sepakat akan perkara tersebut selepas tiada khabar angin menyatakan mereka akan bekerjasama.

4. Nidzam Jamil

Kehadiran Tan Cheng Hoe dalam skuad Selangor FC berjaya membawa perubahan apabila mereka menamatkan saingan Liga Super di tangga kelima selain berjaya mara ke peringkat akhir Piala Malaysia.

Selepas permulaan musim yang mengecewakan, penyokong Gergasi Merah pasti gembira dengan suntikan perubahan yang dibawa pengendali berpengalaman itu.

Bagaimanapun, di sebalik sentuhan Cheng Hoe itu, terdapat seorang individu yang berjaya bekerjasama dalam barisan kejurulatihan iaitu pembantu jurulatih, Nidzam Jamil.

Walaupun dia sebelum ini pernah bergelar pengendali sementara, prestasi pasukan gagal untuk ditambah baik selepas dia hanya merekodkan satu kemenangan dalam tujuh perlawanan.

Namun, perlu diingatkan bahawa Nidzam bukanlah seorang jurulatih yang boleh dipandang rendah kerana dia pernah mengendalikan beberapa pasukan seperti Felda United.

Nidzam Jamil pernah bergelar ketua jurulatih Felda United. — Stadium Astro

Oleh itu, sekiranya Sri Pahang sedang dalam usaha untuk mendapatkan seorang pengendali baharu, dia dilihat sebagai satu pilihan untuk membimbing pasukan itu.

Jurulatih berusia 42 tahun itu bukan sahaja mempunyai kelebihan dari segi teknikal, malah turut mempunyai pengetahuan mendalam kerana pernah menimba ilmu bersama Cheng Hoe serta bekas pengendali Selangor FC, Michael Feichtenbeiner.

Tetapi, persoalannya, adakah Selangor FC melepaskan Nidzam selepas dia berjaya menubuhkan satu kerjasama mantap bersama Cheng Hoe seperti yang dapat disaksikan penyokong.

Selain itu, adakah Nidzam juga akan terbuka untuk meninggalkan skuad Gergasi Merah, lebih-lebih lagi apabila pasukan itu mula menunjukkan taringnya beberapa minggu kebelakangan ini dan seterusnya bakal berentap dengan JDT di aksi final Piala Malaysia, Sabtu ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram




Source link

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Tak mustahil Selangor cipta ‘upset’ berdepan JDT — Zainal Abidin Rawop – Sukan

Next Post

Pro & Kontra 2 calon isi kekosongan pertahanan Selangor di final Piala Malaysia – Sukan

Related Posts