FAM dengar cakap Pan-gon, final Pestabola Merdeka kekal di SNBJ – Sukan


FINAL Pestabola Merdeka 2023 di antara Malaysia dan Tajikistan pada Selasa ini, dikekalkan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur biarpun keadaan padang menjadi kritikan ramai.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman menerusi kenyataan berkata, pihaknya membuat ketetapan itu, setelah mendapati padang berkenaan sesuai digunakan untuk aksi final, selepas penelitian dan penilaian daripada aspek teknikal pada Ahad.

Beliau berkata, walaupun keadaan padang tidak memuaskan ketika skuad Harimau Malaya menewaskan India 4-2 Jumaat lepas, FAM yakin Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) serta pihak konsultan teknikal dan kontraktornya, mampu membaik pulih keadaan rumput menjelang Selasa depan.

“Semua bersetuju bahawa aksi final terus diadakan di Stadium Nasional, berdasarkan perkembangan positif yang dapat dilihat pada kerja-kerja baik pulih padang tersebut.

“Ketua Jurulatih skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon sendiri daripada segi teknikal melihat bahawa padang tersebut boleh digunakan dan berasakan lebih baik aksi final kekal di Stadium Nasional, supaya tidak mengganggu fokus dan persiapan pasukannya,” kata Noor Azman.

Pada perlawanan pertama Pestabola Merdeka antara Harimau Malaya dengan India Jumaat, rumput jenis Zeon Zoysia di padang Stadium Nasional Bukit Jalil, dilihat tercabut seterusnya menyebabkan tompok di beberapa bahagian dan menyaksikan Ketua Jurulatih India, Igor Stimac tidak gembira.

Noor Azman berkata, keputusan mengekalkan Stadium Nasional Bukit Jalil turut mengambil kira beberapa faktor dan pertimbangan lain, termasuk aspek logistik membabitkan sekretariat, petugas serta pasukan yang terlibat.

Selain itu beliau berkata, tiada venue lain di Lembah Klang yang mampu menampung jangkaan jumlah kehadiran penyokong Harimau Malaya, selepas lebih 10,000 tiket sudah dijual setakat ini.

“Jika pindahkan aksi final ke Stadium Sultan Ibrahim di Johor atau Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Terengganu, ia akan menimbulkan masalah dan kesulitan kepada penyokong setia Harimau Malaya yang telah membeli tiket, kerana majoriti mereka berada di Lembah Klang,” katanya.

Antara yang hadir pemeriksaan padang dan mesyuarat hari ini ialah Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin, Pengerusi PSM, Datuk Hans Isaac, Ahli Lembaga Pengarah PSM yang juga Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor John dan Pan Gon.

Pestabola Merdeka merupakan kejohanan pertama diadakan di Stadium Nasional, yang ditutup sejak Mac untuk penanaman rumput baharu dan proses menaik taraf berkaitan padang, struktur dan tapak semaian. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram




Source link

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

[VIDEO] ‘Anda semua legend bola sepak Malaysia’, 8 tahun lalu TMJ beri penghargaan kepada UltraSel – Sukan

Next Post

‘Thank you Kelantan and fans’, tonggak TRW tunggu masa disambar Sri Pahang – Sukan

Related Posts