Dollah Salleh menari-nari tanda Sri Pahang FC sudah temui rentak akhirnya – Sukan


LAPTOP Cabuk menemui pembaca lagi. Berinspirasikan minda tua yang mungkin sudah berkarat, karya ini dan seterusnya akan cuba menyingkap cerita di sebalik tabir dan sesuatu yang mungkin terlepas daripada pengamatan ramai untuk sama-sama memeriah dan meraikan Liga Malaysia musim 2023.

HASIL pengalaman bertahun-tahunnya bersama Pahang, baik sebagai pemain mahupun jurulatih, Dollah Salleh harus mengetahui skuad Tok Gajah itu dari tahun-tahun berbeza seperti dia mengenali garis-garis halus di kedua-dua telapak tangannya.

Jujur dalam mengatakan barisan serba kuning itu bukanlah yang paling gah musim ini dibandingkan dengan kesebelasan tahun-tahun kegemilangan silam mereka, pengurus Sri Pahang FC itu, bagaimanapun, mengakui skuad kendalian Fandi Ahmad itu memiliki keistimewaan tersendiri.

Anehnya, seperti hasil pengamatannya, tiada formula khusus yang diguna pakai – sama ada dalam pemilihan kesebelasan permulaan, persiapan latihan atau sistem penggiliran pemain – yang menjadi kunci.

Namun, dengan tidak semena-mena, kesebelasan yang diturunkan ketika menundukkan Terengganu FC 2-1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu, Jumaat lalu, menyerlahkan persembahan terbaik mereka sepanjang 90 minit aksi.

Izham Tarmizi cemerlang menjaga gawang gol Sri Pahang FC.

Daripada Izham Tarmizi di pintu gol, Fadhli Shas, Stefano Brundo, Michael Glassock dan Syazwan Andik di pertahanan, Zuhair Aizat Nazri, Nor Azam Azih, Azrif Nasrulhaq dan Sergio Aguero di tengah serta Kpah Sherman dan Baqiuddin Shamsudin yang ditampilkan malam itu mengikut formasi 4-4-2, ia belum lagi kesebelasan yang lengkap.

Jika diperhatikan, ada sekurang-kurangnya dua lagi nama ‘besar’ yang tersisih pada Kevin Ingreso dan Lucas da Silva disebabkan masalah kecergasan dan kecederaan.

“Saya sangat setuju dengan Coach Fandi yang buat kali pertama, kami bermain dengan baik dalam kedua-dua separuh masa. Malah, inilah permainan terbaik kami yang saya saksikan musim ini,” katanya kepada Laptop Cabuk.

“Selepas tamat perlawanan, saya menyertai pemain-pemain untuk mengucapkan tahniah.

“Pemain-pemain berhak dapat pujian selepas beberapa lama mereka berhempas-pulas dari awal musim,” kata pengurus itu yang dirakamkan menari-nari dengan Sherman di dalam bilik persalinan.

Sri Pahang memperoleh gol kemenangannya menerusi Nor Azam pada minit ke-68 setelah Ivan Mamut mengikat kedudukan 1-1 buat tuan rumah daripada gol pendahuluan Sherman selepas 31 minit permainan berlangsung.

Pemain Sri Pahang FC meraikan jaringan jarak jauh Azam Azih.

Ia turut memanjangkan rekod tanpa kalah skuad Tok Gajah itu kepada 10 perlawanan sambil rekod tanpa kalah Terengganu FC di halaman sendiri lebur.

Dollah, 59, jurulatih yang menjulang Piala Malaysia bersama tiga pasukan berbeza — MPPJ selaku kelab pertama yang menjuarainya pada 2003, Selangor (2005) dan Pahang (2013) – berkata persembahan sedemikianlah yang diharapkan dapat ditunjukkan dari awal musim lagi.

“Mungkin kerana ramai pemain yang keluar masuk atas pelbagai sebab, terutama kecederaan, Coach Fandi terpaksa selalu menggilirkan pemain hingga kami tak pernah dapat kesebelasan yang betul-betul serasi.

“Tapi, kalau tengok game lawan Terengganu, kami tak ada Lucas dan Ingreso (Sherzod Fayziev, Nicholas Swirad dan David Rowley pula hanya dalam senarai simpanan) tapi kerjasama sepasukan sangat baik.

“Itulah yang menjadi kuncinya apabila pemain-pemain kami membantu satu sama lain ketika bertahan mahupun menyerang.

“Kalau tanya saya, tidak ada apa-apa yang berbeza dalam latihan (sebelum menentang Terengganu) tapi pasukan betul-betul ‘click’ kali ini,” katanya lagi.

Daripada pertuturan cerianya, Dollah, yang memenangi tiga pingat kejuaraan liga bersama Selangor (1989, 1990) dan Pahang (1995) serta dua pingat kejuaraan Piala Malaysia bersama Johor (1985) dan Pahang (1992), tiba-tiba berubah nada.

Ini apabila diajukan ada dalam kalangan netizen penyokong yang seolah-olah kurang menghargai

kejayaan Sri Pahang FC sejauh ini yang lebih berkisar kepada satu gol kecuali kemenangan ke atas Kelantan FC dan Perak FC, yang masing-masing dengan kelebihan tiga gol.

Sejumlah 17 gol liga setakat ini memberikan skuad Tok Gajah itu purata kurang daripada dua gol setiap perlawanan, dengan Sherman dan Brundo berkongsi pendahuluan dengan masing-masing sudah menyumbat lima gol.

Kpah Sherman meraikan jaringannya pada minit ke-30 ketika menentang Terengganu FC.

Di samping itu, perbezaan jaringan 17:7 di pihak Sri Pahang FC menyaksikan mereka jauh ditinggalkan dua pasukan di atas mereka, Selangor FC 23:11 dan JDT 37:1.

Catatan keputusan dalam liga memaparkan keputusan berikut: Negeri Sembilan 1-1 (A), Kelantan 4-1 (H), Selangor 1-1 (A), Sabah 1-1 (H), Perak 3-0 (A), Kedah 1-1 (H), PDRM 2-1 (A), Kelantan United 1-0 (H), Kuching City 1-0 (A) dan Terengganu 2-1 (A).

“Pertamanya, daripada 100 netizen yang mempertikaikan, mungkin ada 100,000 lagi yang menyokong kami sebenar-benarnya tapi tidak mengambil bahagian di dalam media sosial.

“Keduanya, saya langsung tak terkesan (dengan kritikan) kami hanya menang 1-0 atau 2-1. Pada saya, apa yang penting ialah menang dan dapat tiga mata,” katanya.

Sri Pahang memiliki baki tiga perlawanan dalam pusingan pertama ini menentang Penang FC di Kuantan pada 20 Mei, Johor Darul Takzim (JDT) di Iskandar Puteri empat hari kemudian dan Kuala Lumpur City FC di tempat lawan pada 4 Jun.

Dollah, yang mewakili Pahang sebagai pemain dari 1991–1996 dan jurulatih (2010-2013 dan 2017-2022), mengungkapkan: “Sungguhpun kami tidak ada pasukan seperti ketika zaman Dickson Nwakaeme dan Matias Conti (2013-2015), pasukan musim ini masih mampu mencabar dengan bermain sebagai satu unit.

“Harapan saya ialah kerjasama sepasukan dapat terus dikekalkan untuk menampung kekurangan individu.” — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram




Source link

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Dua tonggak Bos Gaurus dapat pujian Pengerusi Perak FC – Sukan

Next Post

Mampu selamatkan karier Tomi? 3 nama dicanang boleh bantu TFC ’round 2′ Liga Super – Sukan

Related Posts