Dari EPL ke Liga M, FK sanggup turun Korea pakai teluk belanga demi sokong JDT di ACL – Sukan


‘UMPAMA pisang goreng tanpa sambal kicap’, itulah hubungan erat yang boleh digambarkan antara juara bertahan Liga Super, Johor Darul Takzim (JDT) dengan penyokong setia mereka kerana masing-masing memerlukan antara satu sama lain.

Sebut sahaja pisang goreng, pasti semua masyarakat di Johor akan mencari sambal kicap sebagai pelengkap kepada hidangan berkenaan dan disebabkan itu penyokong tegar skuad Harimau Selatan, Farhan Khair Fawazul Khair menggambarkan makanan berkenaan untuk mentafsirkan hubungan erat itu.

Detik Permulaan Jatuh Cinta Dengan JDT

Mengimbau kembali detik permulaan mula meminati JDT secara mendalam, Farhan Khair ataupun lebih mesra dengan sapaan FK itu menceritakan bahawa semuanya bermula apabila dia mendengar seorang putera raja Johor ingin mengambil alih tampuk kepimpinan bola sepak negeri di Selatan tanah air itu pada penghujung 2012.

Stadium Larkin merupakan ‘rumah pertama’ buat pasukan Harimau Selatan.

Apa yang membuatnya tertarik untuk secara perlahan-lahan dari meminati Liga Perdana Inggeris (EPL) ke Liga Malaysia (Liga M) dan seterusnya untuk mengenali pasukan Johor pada ketika itu ialah misi serta visi yang dititah pemilik kelab berkenaan, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Ketika itu, TMJ memasang angan-angan untuk menjadikan JDT sebagai satu kuasa besar dan ia bukan sekadar omong kosong apabila skuad Harimau Selatan mencatat sejarah memenangi Liga Super Malaysia buat kali pertama pada 2014 walaupun baharu setahun jagung dalam landskap bola sepak tanah air.

Farhan Khair bersama rakannya ketika turun padang menyokong JDT di Stadium Larkin.

“Memandangkan latar belakang karier saya adalah bidang pemasaran, segala tindakan DYAM TMJ berkenaan JDT telah menarik sifat ingin tahu saya secara mendalam tentang kelab bola sepak kesayangan ini. Segala kejayaan JDT, di dalam mahupun di luar padang, dan segala bibit-bibit sejarah kelab bola sepak JDT yang telah dipahat, saya tidak akan melepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada sejarah tersebut.

“Lalu saya tanam dalam diri, selain daripada menyokong, objektif utama saya adalah mendidik semua penyokong (terutama penyokong JDT) untuk menjadi penyokong bola sepak yang profesional. Supaya ia selari dengan kejayaan kelab bola sepak JDT yang dicapai sehingga hari ini,” katanya kepada Majoriti.

Hubungan FK Dengan JDT

Walaupun ada berpendapat penyokong hanyalah individu yang hanya meminati dari luar sahaja, namun tidak bagi pemuda berusia 37 tahun itu kerana dia tetap bertegas bahawa penyokong memainkan peranan penting dalam sesebuah kelab bola sepak dan itulah suasana dalam JDT.

Menurut anak jati Johor Baharu itu, terlalu banyak kenangan yang melibatkan penyokong dan kelab Harimau Selatan dan antara kenangan Indah kekal tersimpan dalam memorinya ialah ketika bermain bola sepak bersama beberapa pemain ternama dunia dalam acara ‘JDT All Stars’ sempena hari ulang tahun keputeraan TMJ pada 2019.

FK bersama Claudio Caniggia ketika acara JDT All Stars.

Antara pemain yang dia sempat berkongsi padang ialah pada malam gemilang berkenaan ialah legenda Tottenham Hotspur, Edgar Davids; bekas pemain Barcelona, Rivaldo; bekas tonggak kebangsaan Argentina, Claudio Caniggia dan beberapa pemain bola sepak JDT.

“Jun 2019, kelab bolasepak JDT telah mengadakan satu pertandingan video pendek yang berkisar tentang ‘Pengalaman sebagai seorang penyokong JDT’. Pertandingan ini dibuka untuk semua pemegang pas bermusim. Waktu itu, kelab bola sepak JDT masih beraksi di Stadium Tan Sri Hj Hassan Yunos, iaitu Stadium Larkin.

“Sebagai seorang penyokong, dan juga merupakan pemegang pas bermusim JDT sejak tahun 2014, saya tidak melepaskan peluang untuk turut serta dalam pertandingan tersebut. Menggunakan pengalaman yang sedia ada sebagai seorang penyokong, saya rangkumkan segala pengalaman yang ada di dalam sebuah video pendek. Alhamdulillah, video pendek saya terpilih dan pada 30 Jun 2019 untuk ke acara JDT All Stars.

“Kenangan malam tersebut, telah saya rangkumkan dalam penulisan saya yang bertajuk ‘Mimpi Jadi Kenyataan’. Saya kongsikan pengalaman bertuah saya malam tersebut supaya ia menjadi tauladan kepada semua penyokong. Penyokong perlu teruskan sokongan, dengan izin Tuhan, kelab bola sepak kesayangan ini akan membalas segala kepercayaan,” kongsinya.

Video pendek yang dimenangi FK sehingga mendapat jemputan ke JDT All Stars.

Kenangan Paling Manis

Selain daripada kenangan dalam acara JDT All Stars itu, antara memori yang tidak dapat dilupakan Farhan Khair apabila dia dan beberapa penyokong lain berada di Changwon Football Centre, Korea Selatan bagi perlawanan Liga Juara-Juara AFC yang keenam iaitu Gyeongnam FC menentang JDT.

Lebih menarik, pada aksi yang berkesudahan dengan kemenangan dua gol berpihak kepada kelab dari Korea Selatan tersebut, Farhan Khair hadir menyokong di Stadium Changwon dengan memakai baju melayu teluk belanga sehingga ada penyokong korea yang bertanya tentang persalinan tersebut.

Farhan Khair bersama rakannya ketika ke Stadium Changwon bagi menunjukkan sokongan kepada JDT di saingan Piala ACL.

“Perlawanan ini bermula pukul 6.00 petang waktu Korea Selatan, bermaksud ada baki lebih kurang sejam lebih lagi untuk menunggu waktu berbuka puasa. Bayangkan, 45 minit pertama perlawanan kami menyokong, bersorak untuk pasukan dalam keadaan berpuasa. Tabik hormat saya kepada rakan-rakan Boys of Straits yang tidak berhenti bersorak sehingga tamat separuh masa pertama.

“Dan kami harungi separuh masa kedua selama 15 minit, baru lah masuk waktu berbuka. Mengambil masa beberapa minit untuk membatalkan puasa, dan meneruskan sorakan menyokong pasukan JDT mengharungi perlawanan hingga ke wisel penamat.

“Selepas perlawanan, barulah keluar stadium dan mencari makanan berat untuk berbuka. Itu adalah kenangan saya dan penyokong JDT yang lain, menyokong pasukan JDT beraksi di luar negara dalam keadaan berpuasa. Indah, sangat indah. Kenangan ini saya telah rangkumkan dalam penulisan yang bertajuk, ‘Berteluk belanga ke Stadium Changwon’, ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram




Source link

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Pemain tersisih JDT antara 3 nama sesuai gantikan de Murga di Pantai Timur – Sukan

Next Post

Kedah jangan ‘happy’ dulu, Perak dan TRW juga ada peluang buru legenda Buriram United – Sukan

Related Posts