Dah tak tertahan dengan kekalahan demi kekalahan, Irfan Bakti… – Sukan


LAPTOP Cabuk menemui pembaca lagi. Berinspirasikan minda tua yang mungkin sudah berkarat, karya ini dan seterusnya akan cuba menyingkap cerita di sebalik tabir dan sesuatu yang mungkin terlepas daripada pengamatan ramai untuk sama-sama memeriah dan meraikan Liga Malaysia musim 2023.

CUMA kurang dua hari daripada dua bulan sejak kali terakhir Kuching City FC mengecap kemenangan dalam Liga Super. Dan apa yang harus membuatkan ia lebih didambakan, ia juga satu-satunya kemenangan skuad The Cats itu setakat ini.

Tewas berturut-turut sesudah menewaskan Kelantan FC 2-1 dalam aksi pembuka tirai pada 25 Februari di Stadium Sultan Mohammad IV, Kota Bharu, Kelantan itu, Irfan Bakti Abu Salim suatu ketika menawarkan kepada pihak pengurusan untuk melepaskan jawatannya.

Kini, selepas rentetan kekalahan berlanjutan kepada sembilan perlawanan, termasuk satu aksi Piala FA, ketua jurulatih Kuching City FC itu meluahkan: “Saya dah tak tertahan dengan kekalahan demi kekalahan.”

Kuching City FC tewas kepada Selangor 0-5 (H), Sabah 1-2 (H), Perak 0-2 (A), Kedah 0-3 (A), PDRM 0-1 (H), Terengganu 0-2 (A) dan Sri Pahang 0-1 (H) selain 0-4 kepada Penang FC dalam pusingan kedua Piala FA.

Kemenangan ke atas Kelantan FC merupakan satu-satunya kemenangan buat skuad The Cats musim ini. — Facebook/Kuching City FC

Sebagai jurulatih veteran yang sudah memasuki tahun ke-23 dalam Liga Malaysia – sejak mengemudi Negeri Sembilan buat kali pertama pada musim 1999 – ia sesuatu yang amat terasing baginya.

“Selepas tiga atau empat kekalahan musim ini, saya tawarkan diri kepada pengurusan untuk letak jawatan. Sebagai ketua jurulatih, saya perlu bertanggungjawab penuh di atas prestasi pasukan.

“Permintaan saya ditolak tapi tak elok juga kalau saya quit masa pasukan di bawah.

“Sebelum-sebelum ini, saya berhenti masa pasukan di atas,” katanya merujuk kepada peletakan jawatannya sebanyak dua kali ketika mengemudi Telekom Melaka pada 2007 dan Terengganu pada musim 2019.

Diajukan kepadanya bahawa kecuali kekalahan kepada Selangor dan Kedah, majoriti kekalahan selebihnya hanya dengan perbezaan satu gol, jurulatih berusia 72 tahun itu berkata perkara itulah yang mendorongnya mencadangkan kepada pengurusan untuk membuat rombakan.

Pertukaran beberapa pemain import, dengan mendatangkan yang baru, dicadang untuk dilakukannya ketika jendela perpindahan kedua nanti menjelang pusingan kedua liga yang akan bermula pada 7 Jun.

“Pasukan saya ini OK daripada segi bertahan dan membina serangan, cuma kami kekurangan dalam tindakan penyudah.

“Saya bagi contoh perlawanan kami dengan Sri Pahang (0-1). Mereka hanya ada satu peluang dan menjaringkan gol kemenangan.

“Kami punya build up yang baik (tapi) finishing touches tak ada.

“Daripada pemain-pemain import pula, kami tak boleh nak menumpang sesuatu yang lebih lagi daripada mereka. Itulah yang menjadi perbezaan,” katanya.

Kuching City FC memiliki sembilan pemain import untuk saingan Liga Super 2023. — Facebook/Kuching City FC

Kuching FC memiliki kuota import lengkap dengan sembilan pemain — Michael Ijezie (Nigeria), Sudi Abdallah (Burundi), Aylton Ferreira, Celio Santos (Brazil), Julian Schwarzer (Filipina), Sirojiddin Kuziev (Uzbekistan), Mihailo Jovanovic (Serbia), Yuki Tanigawa (Jepun) dan Abu Kamara (Liberia).

Mengakui kesemua mereka adalah atas pilihannya sendiri sewaktu pramusim, jurulatih itu menjelaskan keputusan berkenaan dibuat berdasarkan pendekatan untuk berjimat-cermat dengan kekangan bajet pasukan ketika itu.

Hanya tiga daripada mereka, Kamara (2), Sudi dan Kuziev (penalti), yang sudah menyumbang jaringan buat pasukan yang turut bolos 18 kali.

Dengan hasratnya untuk melepaskan jawatan sebelum ini tertolak, Irfan Bakti kini hanya mahu memandang ke hadapan bersama pasukan yang dibaharui wajahnya dalam pusingan kedua kelak.

Namun, sebelum itu, dia mengharapkan pertemuan dengan Penang FC di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang Khamis ini, dapat menjadi titik awal perubahan sebelum rombakan pasukan dibuat.

Liga Super akan berhenti rehat seketika selepas itu untuk meluangkan masa kepada skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara menyertai Sukan SEA ke-32 Kemboja dari 5 hingga 17 Mei.

Skuad The Cats itu seterusnya akan menjadi tuan rumah kepada kunjungan Johor Darul Takzim (JDT) 19 Mei depan.

Beberapa aksi tegang dapat disaksikan ketika aksi antara Kuching City FC dan Sri Pahang FC Selasa lalu. — Facebook/Kuching City FC

Menurut Irfan Bakti, keperluan untuk merombak pasukan bagi menghadapi pusingan kedua liga difahami pengurusan pasukan dan sudah mendapat persetujuan Pengerusi Kuching City FC, Fazzrudin Abdul Rahman.

Menepati cadangan untuk menukar empat atau lima pemain import, tiga calon import baharu – seorang dari negara ASEAN sementara dua lagi dari Afrika dan Eropah – sudah bersetuju untuk menyertai pasukan pada minggu pertama bulan depan.

“Kami dah tengok pemain-pemain yang kami inginkan ini beraksi dalam liga negara mereka. Ketiga-tiganya sudah bersetuju, cuma belum tandatangan apa-apa lagi,” ujarnya.

Irfan Bakti juga percaya pasukannya mempunyai cukup masa untuk memanfaatkan 13 perlawanan dalam pusingan kedua liga bagi meningkatkan kedudukan sekurang-kurangnya ke kelompok pertengahan daripada tangga ke-12 hasil satu menang dan satu seri ketika ini.

“Menang lima atau enam game, mengikut congakan saya, cukup untuk kami memperbaiki kedudukan. Ada 13 game dalam pusingan kedua, itu dah cukup masa.

“Saya percaya dengan pembaharuan yang dibuat nanti, kami akan mampu untuk memberi tentangan dengan lebih baik,” katanya lagi.

Menyorot pasukannya masih dikira cemerlang ketika menduduki tangga ketiga di belakang JDT II dan Kelantan dalam Liga Perdana musim lalu, dia menegaskan keadaannya sama-sekali berbeza dan tidak boleh dijadikan perbandingan.

“Liga Super punya standard lebih tinggi,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram




Source link

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Man U pasukan berbeza berdepan Brighton — ten Hag – Sukan

Next Post

Bantu selamatkan musim Persikabo, nama Aidil Sharin semakin mekar di Indonesia – Sukan

Related Posts