Cheng Hoe siap sedia dengan permainan minda – Sukan


Bola Pegun kembali menemui pembaca. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka jurulatih, pemain mahupun pasukan mengejar kejayaan dalam saingan bola sepak tempatan.

SEGALA-GALANYA kini berkisar kepada permainan minda, kata Ketua Jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe. Kepadanya, ia mungkin tidak akan sesukar ini jika tiada apa lagi yang menjadi pertaruhan. Tapi, apabila slot ke Piala AFC musim depan menjadi perebutan, segala-galanya menuntut perincian.

Musim lalu, Selangor menamatkan musim di tangga kelima. Andai tewas dua perlawanan terakhir musim ini pun, skuad Merah-Kuning itu masih akan berada serendah-rendahnya di tangga ketiga kerana Sabah FC di tangga keempat tidak lagi mampu memintas.

Tapi bukan itu perkiraan Cheng Hoe ketika ini menjelang pertembungan dengan Kedah Darul Aman (KDA) FC di Stadium Darul Aman, Alor Setar 2 Disember ini yang diumpamakannya sebagai “final”.

Penjaga gol Selangor FC, Samuel Somerville (jersi biru) berjaya mempertahankan gawang Gergasi Merah daripada dibolosi pihak lawan. — Facebook/MFL

Mengikut congakan matematik, skuad Hijau Kuning itu yang boleh terjerumus ke tangga keempat jika ia tewas kedua-dua perlawanan terakhirnya, termasuk kunjungan ke Stadium Likas, Kota Kinabalu, 17 Disember nanti.

“Ini satu-satunya sasaran kelab ini yang tinggal – (selain satu trofi) naib juara Liga Super dan layak ke saingan Piala AFC musim depan. Sudah tentu ia menjadi hasrat kami untuk mencapainya walaupun saya akui ia bukanlah tugas mudah,” katanya kepada Bola Pegun.

Dalam rangka persiapannya, sesiapa saja boleh membuat tekaan berapa kali Cheng Hoe sudah menonton rakaman video perlawanan Kedah FC-JDT di Alor Setar, 28 Ogos lalu apabila pasukan tuan rumah itu mendahului 2-0, kemudian membenarkan pelawat memintas 3-2 dan kesudahannya mengikat kedudukan 3-3 hasil gol Amirbek Dzhuraboev pada saat-saat terakhir.

Ia juga julung-julung kalinya juara Liga Super 10 musim berturut-turut itu keciciran mata musim ini – yang turut menjadi ingatan buat Selangor FC terhadap apa yang boleh dijangkakan mereka.

Ditanya berapa kali dia sudah menonton rakaman perlawanan itu, Cheng Hoe sekadar tertawa kecil.

“Cukuplah saya kata saya sudah menontonnya beberapa kali. Mana-mana jurulatih di tempat saya pun akan berbuat yang sama.

“Saya boleh andaikan Ketua Jurulatih Kedah FC, Nafuzi Zain juga menonton rakaman perlawanan membabitkan Selangor. Ini biasa bagi mana-mana jurulatih sebagai sebahagian persiapan untuk mengenali lebih dekat lawan masing-masing,” katanya.

Dalam pada itu, tambahnya, keadaan boleh berubah dalam perlawanan kerana jurulatih juga akan membuat perubahan daripada segi kesebelasan pemain, formasi dan taktikal agar tidak mudah dibaca lawan.

“Ia kini berkisar kepada permainan minda dan bagaimana pemain-pemain dapat mengeksploitasinya untuk menguntungkan pasukan pada hari perlawanan,” katanya lagi.

Senjata rahsia Nafuzi, Ifedayo Olusegun yang menjaringkan empat gol menentang Kelantan FC. — Facebook/MFL

Enggan terjebak dalam permainan psikologi Nafuzi yang beranggapan skuad Kenari itu memiliki kelebihan selaku tuan rumah, Cheng Hoe sebaliknya lebih minat bercakap mengenai bagaimana pemain-pemainnya mengakhiri kebuntuan hampir dua bulan tanpa perlawanan kompetitif dengan membenam Perak FC 4-0 di Kelana Jaya, Ahad lalu.

Lebih penting buat Selangor FC, katanya, kemenangan selesa itu melonjakkan semangat pasukannya untuk membawa momentum itu ke Alor Setar.

Bukan setakat skor kemenangan, malah aksi pasukan secara keseluruhan yang benar-benar mengujakannya sambil pemain-pemain menyerlahkan kemampuan mereka tidak pun berkarat oleh ketiadaan aksi kompetitif untuk satu tempoh lama.

“Ia bukan satu tempoh yang mudah, tambahan saya terpaksa lepaskan 12 pemain (enam termasuk pemain asing untuk pasukan kebangsaan dan enam lagi bersama skuad B-23 negara). Untuk latihan, saya terpaksa bawa masuk 10 hingga 12 pemain daripada pasukan B-23 negeri untuk mengimbangi pasukan.

“Mujurlah kemenangan ke atas Perak mengembalikan kami ke momentum yang diharap-harapkan. Inilah yang saya harap pemain-pemain dapat teruskan kerana ia akan memerlukan kami berada dalam keadaan terbaik apabila berdepan dengan Kedah,” katanya.

Sharul Nazeem atau Afro (tengah) membuka tirai jaringan seawal minit ketiga membantu skuad Selangor meningkatkan keyakinan. — Facebook/MFL

Tiga mata akan memberi Selangor bekal selesa untuk menutup musim dengan menghadapi PDRM FC–Selangor tewas dua daripada tiga perlawanan dengan The Cops musim ini – di Kelana Jaya pada 17 Disember kelak.

Diberitahu bahawa Kedah FC boleh terus tergelincir andai tunduk kepada Selangor FC dan Sabah FC dalam dua rintangan terakhirnya, Cheng Hoe sekadar berkata beliau ambil maklum.

“Jangkaannya ialah stadium akan penuh apabila kami bertandang ke Alor Setar dan tuan rumah lazimnya akan memuncakkan tentangan mereka dalam suasana sedemikian.

“Seperti mereka, pemain-pemain saya juga bagaikan tidak sabar menantikan pertemuan ini dan saya harap mereka dapat kekalkan tahap keyakinan,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram




Source link

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Konsert Hrithik Roshan di SNBJ sah ditangguhkan – Sukan

Next Post

Ousmane Fane hampir tinggalkan Penang, liga jiran jadi destinasi sasaran – Sukan

Related Posts