Cemerlang dalam e-Sukan dan akademik, ini resipi kejayaan Ahmad Akmal

PERSEPSI bahawa permainan video merupakan aktiviti yang membuang masa dan menjejaskan masa depan seseorang dilihat tidak lagi boleh diguna pakai pada masa kini.

Sukan elektronik atau e-Sukan bukan sekadar aktiviti memenuhi masa lapang malah kini sudah memasuki era profesionalisme iaitu menjadi suatu kerjaya buat para peminatnya.

Satu contoh yang boleh diambil adalah menerusi kejayaan salah seorang peminat e-Sukan yang berjaya mengharumkan nama negara dalam acara e-Sukan bola sepak, EA Sports FIFA Global Series Rantau Asia Timur pada awal tahun ini.

Kemenangan itu telah membuka lembaran baharu buat Ahmad Akmal Abdul Rafil apatah lagi dia menjadi rakyat Malaysia pertama yang berjaya memenangi acara itu dengan menumpaskan Juara Piala Dunia FIFA eClub, Tsakt dari pasukan e-Sport Jepun, Blue United eFC.

AHMAD Akmal menumpaskan Juara Piala Dunia FIFA eClub, Tsakt dari Jepun.

“Penyertaan saya dalam acara ini sekadar ingin mencuba dan menimba pengalaman. Namun, selepas layak ke pusingan akhir, saya rasa lebih yakin dan mahu buat yang terbaik.

“Berdepan dengan Tsakt adalah satu cabaran memandangkan saya hanyalah pemain baharu, manakala dia salah seorang juara antarabangsa.

“Pada perlawanan pertama, saya hanya dapat mengikat perlawanan dengan keputusan seri 3-3 sebelum menumpaskan dia, 6-2 pada pusingan kedua,” katanya kepada mStar.

Pelajar Diploma Kejuruteraan Elektrik, Universiti Tenaga Nasional (Uniten) ini berkata, walaupun e-Sukan cuma permainan video, ia juga merupakan platform buat remaja untuk memajukan diri selain membina karier sebagai atlet e-Sukan.

“Sebenarnya untuk berjaya dalam bidang ini, kita perlu ada fokus dan bijak membahagikan masa.

“Kemenangan saya di EA Sports FIFA Global Series Rantau Asia Timur juga menjadi titik permulaan buat saya untuk menyertai pertandingan yang lebih besar di peringkat dunia,” katanya.

Dia yang mula melibatkan diri dalam arena e-Sukan sejak 2018 bagaimana pun tidak menjadikan kejayaannya dalam bidang itu sebagai alasan untuk mengenepikan soal pelajarannya.

AHMAD Akmal bersyukur kerana keluarga memberikan sokongan terhadap penglibatannya dalam e-Sukan.

“Sebelum memberi tumpuan kepada permainan video saya akan pastikan segala tugasan pelajaran disiapkan terlebih dahulu.

“Bagi saya generasi mudah yang terlibat dalam e-Sukan ini perlu juga mementingkan pelajaran dan mampu mengimbangi kedua-duanya.

“Saya memang berhasrat untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi kerana bagi saya pendidikan adalah antara cabang terpenting buat seseorang,” katanya yang bersyukur kerana penglibatannya dalam e-Sport turut mendapat sokongan penuh dari keluarga.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Sumber dari mStar

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Masih berbisa! Pecutan Ronaldo 32.5 km/j ketika ledak gol untuk Manchester United

Next Post

Harvey Elliott terharu dengan sokongan dan kasih sayang penyokong Liverpool

Related Posts