Caion bakal dipinjamkan? Berikut 3 sebab kenapa JDT, Sri Pahang destinasi pilihan terbaik – Sukan


PEMBUKAAN jendela perpindahan Liga Malaysia pada awal Disember 2022 menyaksikan beberapa kelab berjaya menambah baik kualiti skuad masing-masing dengan mengumumkan kehadiran nama-nama baharu.

Bagi Selangor FC, walaupun hanya berjaya mendapatkan tiga pemain setakat ini, mereka dilihat mempunyai kualiti yang dikehendaki dalam posisi tersendiri.

Pertahanan kiri, V Ruventhiran merupakan nama pertama yang diumumkan dengan pemain tersebut merupakan aset penting terutama pengalamannya bersama skuad kebangsaan.

Selain itu, pertahanan tengah, Khuzaimi Piee turut memiliki kemampuan untuk melakukan terjahan bersih kepada pihak lawan seperti mana yang dapat disaksikan bersama Negeri Sembilan FC musim lepas.

Namun, apa yang menarik ialah kejayaan skuad Gergasi Merah mendapatkan khidmat bekas penyerang Terengganu FC, Faisal Halim yang tidak perlu lagi diperkenalkan dalam kalangan peminat tegar bola sepak tempatan.

Ketiga-tiga pemain itu dilihat akan menambah kualiti pasukan yang pada awalnya bergelut musim lepas, tetapi berjaya diubah dengan pelantikan Tan Cheng Hoe sebagai ketua jurulatih.

Faisal Halim menjadi antara rekrut baharu skuad Gergasi Merah. — Facebook/Selangor FC

Bagaimanapun, difahamkan Selangor FC akan terus melabur untuk membawa masuk pemain yang diperlukan bagi menambah baik jentera serangan.

Khabar angin yang kuat berlegar di media sosial mengatakan pasukan Lembah Klang itu memilih untuk membenarkan penyerang kelahiran Brazil, Herlison Caion untuk berpindah secara pinjaman.

Meskipun berjaya meledak 14 gol dalam 22 penampilan Liga Super, pemain tinggi lampai itu bukanlah seorang yang berjaya menambat hati penyokong.

Tinjauan di ruangan komen di media sosial mendapati peminat fanatik Gergasi Merah kurang berpuas hati dengan gaya permainan Caion yang jarang terlibat dalam mencipta peluang jaringan.

Selain itu, ada juga segelintir pihak yang mendesak pengurusan pasukan untuk membawa pulang penyerang berasal dari Nigeria, Ifedayo Olusegun selepas kontraknya ditamatkan Melaka United.

Persoalannya, kelab manakah yang sesuai untuk membawa masuk Caion dengan adanya laporan menyebut pemain tersebut mempunyai permintaan gaji yang tinggi.

Berdasarkan pemerhatian, Johor Darul Takzim (JDT) dan Sri Pahang FC memiliki dana yang mencukupi untuk mendapatkan peledak itu jika mereka berhasrat untuk memperkuatkan barisan serangan pasukan.

Bergson merupakan antara import terbaik pernah disaksikan dalam Liga Malaysia. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

Bagi JDT, tanggungjawab yang dipikul rakan senegara Caion, Bergson da Silva cukup memberi pulangan yang diharapkan dengan dia mengumpul 29 gol dalam hanya 19 penampilan Liga Super.

Tetapi, dengan mereka bakal berentap dalam saingan Liga Juara-juara AFC (ACL), skuad Harimau Selatan pasti mahu mendapatkan seseorang yang boleh mengurangkan beban ditanggung Bergson.

Sementara itu, Sri Pahang juga difahamkan sedang berusaha untuk membawa masuk dua penyerang import, Lucas Silva dan Kpah Sherman bagi menggantikan Steven Rodriguez.

Namun, setakat ini, berita tersebut masih tidak disahkan mana-mana pihak dengan skuad Tok Gajah hanya memberi penekanan untuk menambah baik kualiti benteng pertahanan setakat ini.

Jadi, dengan khidmat Caion boleh ditagih kedua-dua pasukan, terdapat tiga kelebihan yang dimiliki penyerang Selangor FC itu dalam membantu meledak bersama pasukan baharunya nanti.

1. Ketinggian

Dalam kesemua 14 jaringan yang diperolehi Caion dalam saingan liga, hanya satu daripadanya merupakan gol yang terhasil daripada tandukan, iaitu ketika berdepan Sri Pahang pada April lalu.

Statistik itu seakan-akan menunjukkan pemain Brazil tersebut tidak berkemahiran untuk menggunakan kelebihannya dari segi ketinggian ketika melakukan serangan.

Namun, perlu diingatkan Selangor FC tidak mempunyai pemain yang mahir dalam mencipta hantaran lintang berkualiti kecuali pemain muda, Mukhairi Ajmal.

Tetapi, sekiranya Caion memiliki rakan sepasukan yang mampu mengambil sepakan penjuru dan percuma dengan lebih baik, berkemungkinan Caion mampu menjadi penyerang prolifik dalam situasi tersebut.

Jika dia memilih untuk menyertai JDT, keberadaan Arif Aiman Hanapi dan Leandro Velazquez dalam pasukan mampu membawa perbezaan dengan masing-masing mahir dalam aspek itu.

Caion (tengah) menjaringkan gol menerusi tandukan ketika berdepan Sri Pahang FC. — Facebook/Selangor FC

Selain itu, pertahanan sayap, Corbin Ong dan Matt Davies juga cukup terkenal dengan kemampuan untuk melakukan hantaran lintang tinggi dan ini boleh dimanfaatkan Caion sebagai seorang yang berketinggian 1.84m.

Kelebihan itu juga akan dirasai pasukan Selatan tanah air terbabit apabila Bergson berketinggian 1.8m sementara Syafiq Ahmad berukuran 1.75m.

Bagi skuad Sri Pahang pula, mereka juga cukup terkenal dengan kemampuan untuk menjadi satu ancaman menerusi hantaran lintang apabila memiliki penyerang sayap muda, Manuel Hidalgo.

Kebolehan pemain kelahiran Argentina itu juga bukanlah sesuatu perkara yang baharu dalam kalangan penyokong Tok Gajah apabila dia berjaya mencipta gandingan serasi bersama bekas penyerang, Steven Rodriguez.

2. Usia & pengalaman

Tidak boleh dinafikan bahawa usia seseorang pemain mempunyai pengaruh besar terhadap gaya permainan dan mentaliti mereka setiap kali beraksi di atas padang.

Di samping mempunyai pengalaman luas dalam melakukan pergerakan, usia tersebut juga mampu membawa perbezaan dengan kehadiran mereka bersama pasukan boleh mencipta keserasian.

Melihat kepada situasi Caion ketika ini, dia yang pernah mewakili pelbagai kelab di Amerika Selatan serta rantau Asia Tenggara, termasuk pasukan gergasi Thailand, Chonburi FC.

Sepanjang kariernya juga, pemain tersebut pernah membawa pulang beberapa kejuaraan dengan kehadirannya sebagai penyerang membantu pasukan menembusi gawang lawan.

Caion pernah beraksi di Liga Thailand bersama Chonburi FC untuk beberapa musim. — Agensi

Jadi, dengan perkhabaran bahawa dia akan dipinjamkan, JDT dan Sri Pahang boleh mendapat kelebihan bagi memastikan pemain lebih muda turun dengan yakin.

Ketika ini, skuad Tok Gajah dilihat tidak mempunyai sosok kepimpinan dengan reputasi tinggi apabila kapten pasukan, Muslim Ahmad gagal menyuntik perkara itu.

Walaupun dia merupakan antara pertahanan terbaik yang pernah menyarung jersi Harimau Malaya, kesilapan mudah dilakukan setiap kali turun beraksi sedikit sebanyak melunturkan tahap kepimpinan itu.

Dalam skuad JDT pula, aspek kepimpinan mungkin bukanlah satu kekurangan dengan kehadiran bekas kapten pasukan kebangsaan, Aidil Zafuan dan Farizal Marlias cukup disegani.

Bagaimanapun, dengan pengalaman Caion yang pernah beraksi di liga antarabangsa, ia boleh dianggap sebagai tonik tambahan untuk membawa mereka ke tahap lebih tinggi.

3. Gandingan Amerika Selatan

Ketika ini, kedua-dua pasukan Liga Super itu memiliki lambakan pemain import dengan khidmat mereka cukup didambakan, baik dari segi serangan mahupun pertahanan.

Namun, apa yang menarik apabila dua kelab itu gemar untuk mendapatkan seseorang dari benua Amerika Selatan dengan kemahiran untuk mencetuskan sesuatu yang unik.

Selain Bergson, JDT turut menjadikan Leandro Velazquez sebagai tonggak pasukan dengan pemain tersebut diimport dengan status perancang dari Argentina.

Hidalgo (kanan) merupakan antara pemain terbaik dimiliki Sri Pahang musim ini. — Facebook/Sri Pahang FC

Bagi skuad Tok Gajah pula, Manuel Hidalgo yang juga merupakan pemain kelahiran Argentina merupakan antara watak penting dalam jentera pasukan dengan kemahirannya untuk melakukan larian deras.

Jadi, ia membuktikan bahawa keserasian boleh dibina dengan membawa masuk pemain dari benua tersebut, sekali gus mencipta satu bentuk serangan yang lebih dinamik.

Caion yang juga merupakan pemain dari Brazil boleh dikategorikan sebagai antara penyerang terbaik musim ini apabila dia bijak menghalang pertahanan lawan dengan struktur fizikalnya.

Oleh itu, sekiranya pemain itu benar-benar diberi keizinan untuk meninggalkan Selangor FC secara pinjaman, JDT dan Sri Pahang perlu memberi perhatian terhadap latar belakangnya.

Hal itu adalah kerana ia memudahkan gandingan penyerang melakukan proses komunikasi dengan lebih baik, lalu membolehkan mereka bergerak dengan lebih tepat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram




Source link

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

‘Jangan sampai kami call Tan Sri’, fans Kedah geram audio tak sepadu skuad 2023 – Sukan

Next Post

‘Dulu kita menang sebab Thailand miss penalti’, Safawi Rasid ingatkan kawan-kawan HM – Sukan

Related Posts