Cabaran berpuasa dan latihan malam hari – Sukan


‘Laptop Cabuk’ menemui pembaca sekali lagi. Berinspirasikan minda tua yang mungkin sudah berkarat, karya ini dan seterusnya akan cuba menyingkap cerita di sebalik tabir dan sesuatu yang mungkin terlepas daripada pengamatan ramai untuk sama-sama memeriah dan meraikan Liga Malaysia musim 2023.

“DI Eropah, pemain bola sepak boleh saja mengadaptasi kepada keadaan paling ekstrem – panas terik, hujan lebat dan bersalji tebal.”

Kata-kata jurulatih Kuala Lumpur (KL) City FC, Bojan Hodak, itu cukup untuk menyimpulkan betapa ia tidak harus menjadi halangan atau rungutan buat pemain-pemain dalam Liga Super untuk mengerah kudrat dalam latihan lewat malam sepanjang bulan Ramadan ini.

Malah, dibandingkan dengan liga di Eropah yang terus berjalan dengan sepak mula pada awal atau pertengahan petang yang turut membabitkan pemain beragama Islam, pemain tempatan harus jauh lebih beruntung.

Dilaporkan bahawa bintang Real Madrid, Karim Benzema, berbuka puasa dahulu sejurus sebelum mencipta hatrik ketika menundukkan Chelsea 3-1 dalam aksi Liga Juara-Juara di Stamford Bridge pada 7 April tahun lalu sebagai bukti pemain beragama Islam di Eropah tidak mengabaikan kewajipan mereka.

Benzema pernah melakar hatrik ketika berdepan Chelsea meskipun berpuasa sepanjang hari. — Agensi

Sepak mula perlawanan Liga Malaysia kini dilengahkan kepada pukul 9 atau 10 malam dalam keadaan mereka sudah pun berbuka puasa sekurang-kurangnya tiga jam terdahulu.

Latihan pada waktu malam juga diselarikan dengan waktu perlawanan, dengan kebanyakan pasukan memilih di antara pukul 9 atau 10 malam, lazimnya untuk tempoh 90 minit atau maksimum dua jam.

Dengan kalendar bola sepak antarabangsa akan berakhir beberapa hari lagi, kebanyakan pasukan Liga Super sudah menyambung kembali latihan menjelang perlawanan-perlawanan yang akan bersambung semula seawal Jumaat ini.

Pertembungan dua pasukan teratas, Johor Darul Takzim (JDT) dan Sabah FC, dan ‘derby’ Lembah Klang yang menemukan Kuala Lumpur City FC dan Selangor FC, bakal menjadi tumpuan ramai pada hari berkenaan.

Bojan pasti mengharapkan anak buahnya untuk bersedia menjelang aksi ‘Derby Lembah Klang’.

Beberapa jurulatih yang ditemu bual rata-rata bersetuju jadual perlawanan sepanjang bulan puasa yang sudah menjadi kelaziman sejak beberapa musim kebelakangan, tidak harus menimbulkan sebarang keasingan melainkan sengaja mahu mengada-adakan alasan.

Kebimbangan, kalaupun ada, hanya berkisar kepada jumlah kehadiran penonton yang biasanya akan merosot jika diambil kira arah aliran pada musim-musim sebelum ini.

Ada juga gurauan bahawa perlawanan sepanjang Ramadan lazimnya berlangsung tanpa banyak disedari sebagai bayangan terhadap minat ramai yang berkurangan dalam tempoh itu.

“Pemain-pemain bola sepak kita adalah pemain profesional, maknanya bermain bola sepak itu adalah periuk nasi mereka.

“Jika mereka akur bahawa mereka adalah profesional, maka mereka hendaklah menyesuaikan diri dengan sebarang keadaan, termasuk berpuasa pada siang hari dan turun berlatih dan bermain dalam perlawanan pada malam hari,” kata ketua jurulatih Perak FC, Datuk Lim Teong Kim.

Teong Kim (tengah) mahu pemain Perak FC segera menyesuaikan diri. — Facebook/Perak FC

Sebagai perbandingan, Indonesia sebagai sebuah negara berpenduduk 270 juta orang, majoritinya atau 86.7 peratus beragama Islam, turut meneruskan liganya sepanjang Ramadan ini.

“Saya sudah berada di Asia Tenggara ini lebih 20 tahun,” kata Hodak pula. “Saya melihat di mana-mana perlawanan bola sepak dimainkan pada lewat malam, begitu juga jadual latihannya pada bulan puasa.”

“Tidak ada isu langsung dalam latihan. Saya tetap kekalkan intensiti yang sama dan pemain-pemain juga menunjukkan tindak-balas yang baik.

“Rutin latihan juga tetap sama. Tiada pemain saya yang minta dikurangkan atau dikecualikan daripada rutin tertentu,” tambah ketua jurulatih PDRM FC, Azzmi Aziz, yang baru memulakan latihan pasukannya dalam tempoh rehat antarabangsa ini pada Sabtu.

Azzmi tidak melihat Ramadan sebagai penghalang kepada rutin latihan skuad Sang Saka Biru. — Facebook/PDRM FC

Menurut Teong Kim, pemain-pemain juga sudah memanfaatkan tempoh rehat secukupnya untuk kembali bersemangat dalam latihan skuad Perak FC yang sudah berlangsung selama tiga hari.

“Saya memberikan mereka rehat yang tidak sekata. Pemain regular yang sudah banyak beraksi sebelum ini mendapat rehat sehingga seminggu manakala pemain selebihnya kurang sedikit daripada itu.

“Pemain-pemain yang menanggung sedikit kecederaan (Sunday Afolabi, Wan Zack Haikal Wan Noor, Haziq Puad dan Hasnul Zaim Zafri) semuanya beransur pulih kecuali Shukri (Baharun) yang memerlukan rehat lebih panjang.

“Dalam latihan hari pertama, pemain-pemain kelihatan tajam, semuanya bersikap positif dan tindak balas mereka terhadap latihan amat baik,” tambah Teong Kim, yang berharap penyokong Perak menjalani tuntutan Ramadan dengan baik.

Pemain skuad TBG masih tersenyum meskipun mengadakan sesi latihan di waktu malam. — Facebook/Perak FC

Hodak turut memuji pemain-pemainnya yang sangat berdisiplin menjalani ibadah puasa, termasuk mengelakkan makan yang terlalu berat ketika berbuka.

“Pemain-pemain saya tidak timbulkan sebarang masalah. Mereka mendapat rehat secukupnya dengan tidur di siang hari agar mereka dapat mengerah diri dalam latihan pada sebelah malam.

“Lagipun, mereka sudah melalui keadaan ini selama bermusim-musim. Saya boleh mengerah mereka dalam latihan sebagaimana biasa dan tiada sebarang isu daripada mereka,” tambahnya.

Barangkali Azzmi mewakili rakan-rakan sejawatannya terhadap peri pentingnya momentum pasukan dikekalkan dan kedatangan Ramadan tidak harus dilihat sebagai penghalang.

“Selepas lima perlawanan, PDRM FC telah menunjukkan kemajuan yang baik. Saya sentiasa ingatkan pemain dalam latihan, adalah penting untuk momentum sejauh ini dikekalkan,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram




Source link

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Bintang The Rhinos bakal jadi ‘key player’ HM berdepan Hong Kong – Sukan

Next Post

Bellingham lebih minat ‘join’ Man United berbanding Liverpool – Sukan

Related Posts