Bukan sahaja di SSI, tapi ada 5 lagi tifo ikonik pernah warnai stadium Liga Super – Sukan


DALAM usaha memeriahkan suasana di stadium, pelbagai pendekatan menarik diambil penyokong dengan mereka sering berpeluang menunjukkan kreativiti masing-masing.

Penggunaan kain retang bersaiz besar, atau lebih dikenali sebagai tifo dalam kalangan peminat bola sepak tidak lagi asing selepas ia digunakan secara meluas di peringkat global.

Meskipun ia tidak dapat mendatangkan rasa gerun kepada pihak lawan sekiranya hendak dibandingkan dengan pembakaran suar, persembahan itu masih berjaya meletakkan nama peminat setia pasukan di mata dunia.

Stadium-stadium terkenal sekitar Eropah dan Amerika Syarikat merupakan contoh terbaik sekiranya bercerita akan hasil seni itu, lebih-lebih lagi ketika perlawanan penting.

Tifo juga tidak lagi asing di negara kita dengan beberapa stadium pernah menyaksikan kibaran kain bersaiz besar sebelum wisel perlawanan ditiup.

Baru-baru ini, karya seni itu sekali lagi mencuri perhatian ketika perlawanan akhir Piala FA antara Johor Darul Takzim (JDT) dan Kuala Lumpur (KL) City FC pada Sabtu lalu.

Kain rentang yang menampilkan watak terkenal, Tommy Shelby daripada seri televisyen, Peaky Blinders berjaya mencuri perhatian pelbagai pihak.

Bagi sesetengah pihak, saiz serta hasil seni itu cukup menarik dengan tumpuan ribuan penyokong di Stadium Sultan Ibrahim, Johor diajukan kepada tifo berkenaan.

Tidak cukup dengan itu, ada juga yang melabel hasil seni itu adalah yang terbaik sekiranya hendak dibandingkan dengan apa yang pernah disaksikan sebelum ini.

Namun, tanggapan tersebut seperti sedikit serong memandangkan terdapat lima tifo ikonik yang lain pernah disaksikan penyokong bola sepak tanah air.

1. Tifo Nafuzi (Terengganu FC)

Sepanjang tiga musim berada di bawah kendalian Nafuzi Zain, Terengganu FC boleh dianggap sebagai salah sebuah pencabar kepada takhta Liga Super.

Pada 2022 sahaja, skuad Sang Penyu muncul sebagai naib juara liga selain melangkah ke peringkat akhir Piala FA serta separuh akhir Piala Malaysia.

Namun, akibat ketidaksefahaman antaranya dan pihak pengurusan kelab, jurulatih kelahiran Kelantan tersebut memilih untuk tidak menyambung kontraknya.

Keputusan itu jelas membawa satu berita buruk buat penyokong kelab Pantai Timur berkenaan yang tidak mahu berpisah dengan pengendali berkaliber tersebut.

Tifo yang dikibarkan bagi memperingati sumbangan dan jasa Nafuzi bersama Terengganu FC.

Meskipun pujukan demi pujukan sudah dibuat, Nafuzi pada penghujung musim mengumumkan pemergiannya daripada Terengganu FC sebelum menyertai Kedah Darul Aman (KDA) FC.

Jadi, untuk meraikan sumbangannya buat skuad Sang Penyu, penonton memilih untuk mengibarkan tifo memaparkan wajah Nafuzi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu.

Penghargaan itu dibuat selepas tamat perlawanan separuh akhir Piala Malaysia antara pasukan itu dengan Selangor FC yang mana merupakan aksi terakhir kendalian jurulatih berusia 44 tahun itu.

Kini, Terengganu FC berada dalam situasi berbeza di bawah kendalian Tomislav Steinbruckner dengan hubungan antara peminat setia kelab dan jurulatih tersebut tidak begitu baik.

2. Ini Wilayah Gergasi Merah (Selangor FC)

Umum mengetahui bahawa Selangor FA sering melahirkan legenda bola sepak tanah air sejak penubuhan kelab terbabit lebih daripada 100 tahun yang lalu.

Jadi, untuk memperingati sumbangan nama-nama besar itu, penyokong kelab Lembah Klang tersebut mencipta satu tifo khas yang dikibarkan pada 2014.

Penghargaan tersebut dibuat ketika aksi Liga Super antara skuad Gergasi Merah dengan JDT yang diadakan di Stadium Shah Alam, Selangor.

Tifo dengan cogan kata ‘Ini Wilayah Gergasi Merah’ yang dipasang di Stadium Shah Alam, Selangor.

Kain rentang yang cukup megah itu menampilkan slogan ‘Ini Wilayah Gergasi Merah’ sambil disertakan lukisan legenda kelab, seperti Amri Yahyah.

Bagaimanapun, ia masih tidak dapat menyuntik rasa gerun buat pasukan pelawat yang mencuri tiga mata penuh hasil jaringan Luciano Figueroa pada minit ke-71 permainan.

Kekalahan tersebut jelas memberi kesan cukup besar terhadap sejarah Selangor FC apabila mereka gagal membawa pulang takhta Liga Super pada musim tersebut.

Tetapi, semangat yang dipamerkan menerusi tifo berkenaan menunjukkan semangat cinta penyokong terhadap kelab berkenaan di samping hubungan cukup baik dengan legenda mereka.

3. Tifo Harimau Berdiri (Harimau Malaya)

Kehadiran penyokong setiap kali pasukan kebangsaan beraksi memainkan peranan cukup penting dalam menyuntik semangat buat kesemua pemain di atas padang.

Penggunaan sorakan berirama atau lebih dikenali sebagai ‘chant’ sudah cukup sinonim dengan ribuan mereka yang berada di dalam stadium.

Tetapi, terdapat juga beberapa momen yang mana peminat setia Harimau Malaya menggunakan tifo, lebih-lebih lagi ketika pertembungan penting.

Antara contoh terbaik bagi menceritakan penggunaan karya seni itu adalah ketika aksi Kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 menentang Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Tifo yang dipasang di Stadium Nasional Bukit Jalil sebelum aksi menentang Thailand.

Suasana cukup meriah dapat dirasai dengan penyokong sudah berada dalam venue perlawanan lebih awal untuk membakar semangat serta melunturkan moral pihak lawan.

Tifo bercorak seekor harimau sedang berdiri sambil menyarung jersi skuad kebangsaan menjadi pilihan dengan ia dikibarkan ketika lagu Negaraku dimainkan.

Kain rentang itu jelas memainkan peranan penting dalam perlawanan berkenaan apabila pasukan negara meraih kemenangan 2-1 meskipun ketinggalan pada awalnya.

Jaringan Brendan Gan dan Mohamadou Sumareh membatalkan gol awal daripada pemain Thailand, Chanatip Songkrasin yang terpaksa akur dengan kualiti dimiliki skuad Harimau Malaya.

4. Tifo Penalti Kedah vs JDT (KDA FC)

Sekiranya hendak diperkatakan mengenai definisi ‘ikonik’ dalam bidang seni, ia sememangnya tidak hanya menyentuh mengenai kecantikan dan hasil indah sesuatu usaha itu.

Hal tersebut juga boleh dikatakan mengenai tifo apabila terdapat beberapa situasi yang mana kain rentang dihasilkan penyokong tidak dapat memberikan impak seperti mana diharapkan.

Pengalaman tersebut berlaku pada 2019 ketika mana KDA FC menerima kunjungan JDT di Stadium Darul Aman, Kedah untuk aksi Liga Super.

Kelab Utara tanah air itu boleh dianggap sebagai salah sebuah pasukan terbaik tempatan ketika itu dengan jurulatih kelahiran Singapura, Aidil Sharin Sahak diberikan kepercayaan untuk membimbing skuad Sang Kenari.

Karikatur pengadil memberikan penalti menghiasi Stadium Darul Aman, Kedah pada 2019.

Namun, ketika mereka berdepan cabaran skuad Harimau Selatan, penyokong Hijau Kuning memilih untuk mengibarkan tifo yang sedikit sukar untuk diterangkan menggunakan kata-kata.

Kain rentang tersebut dilihat memaparkan karikatur seorang pengadil memberikan sepakan penalti sambil seorang pemain melutut kerana tidak dapat menerima keputusan itu.

Ia boleh dianggap sebagai satu hasil seni yang kurang mengancam memandangkan penyokong KDA FC tidak dapat menceritakan dengan tepat mengenai mesej daripada tifo itu.

Tetapi, bagi sesetengah pihak, karya tersebut dibuat sebagai satu gurauan halus kepada mutu pengadilan bola sepak tanah air yang sering memberikan keputusan meragukan/

5. Tifo Joker (Perak FC)

Setelah beberapa tahun bergelut dari segi kewangan, Perak FC terpaksa akur apabila mereka tersingkir ke kancah Liga Perdana pada 2021.

Mereka yang menamatkan saingan Liga Super di kedudukan ke-11 hanya berpuas hati dengan 16 mata yang dikutip meskipun pernah menjadi salah sebuah pasukan terbaik.

Perkara tersebut menyaksikan skuad The Bos Gaurus (TBG) kehilangan hampir kesemua pemain berkaliber mereka, sekali gus menyukarkan kelangsungan pasukan pada musim berkenaan.

Mesej menarik cuba disampaikan penyokong Perak FC menerusi tifo pada penghujung musim lalu.

Jadi, secara tidak langsung, kemerosotan mendadak itu menyaksikan jumlah kehadiran penyokong ke Stadium Ipoh, Perak semakin berkurangan.

Tetapi, untuk melahirkan rasa sayang mereka terhadap kelab Utara tanah air itu, segelintir pengikut setia kelab membawa tifo dengan corak karakter terkenal di peringkat global, Joker.

Kain rentang gergasi itu dipamerkan ketika aksi terakhir Liga Perdana 2022 menentang Kuching City FC dengan mesej berbunyi ‘Adakah Anda Merindui Kami?’ dan ‘Jumpa Anda Musim Depan’.

Luahan seni itu jelas menyuntik semangat buat anak-anak buah Yusri Che Lah ketika itu apabila mereka masih berjaya membawa pulang satu mata. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram




Source link

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Polygon Cycling Team ketuai cabaran pasukan Asean di LTdL 2023 – Sukan

Next Post

Tindakan di Stadium Sultan Ibrahim wajar untuk elak provokasi — Mohd Hairi – Sukan

Related Posts