Bersinar di SNBJ, 3 kelab Liga Super boleh tagih khidmat Van Dijk India musim depan – Sukan


DALAM aksi separuh akhir Pestabola Merdeka Jumaat lalu, skuad kebangsaan tidak berdepan sebarang masalah untuk meraih kemenangan bermakna ke atas India.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur itu membuktikan Harimau Malaya memiliki jentera serangan cukup baik ketika ini.

Selain cukup pantas dalam melakukan serangan balas, skuad kendalian Kim Pan-gon juga jarang mensia-siakan peluang yang terhidang sepanjang 90 minit permainan.

Ia dapat dibuktikan apabila pasukan negara mudah memastikan kemaraan dengan kemenangan 4-2 hasil jaringan Dion Cools, Arif Aiman Hanapi, Faisal Halim serta Corbin Ong.

Pujian sudah semestinya diberikan kepada kesemua pemain yang tidak pernah kenal erti putus asa dalam usaha membawa pulang trofi Pestabola Merdeka buat kali ke-13.

India berputih mata apabila disingkirkan daripada saingan Pestabola Merdeka pada Jumaat lalu. — Facebook/India Football Team

Bagaimanapun, perhatian masih diraih beberapa tonggak daripada pasukan India yang memberikan persembahan terbaik meskipun beraksi di tempat lawan.

Salah seorang yang mempamerkan gaya permainan cukup baik ialah pemain pertahanan, Sandesh Jhingan yang berada di atas padang sehingga penghujung perlawanan.

Meskipun sudah berusia 30 tahun, pemain bertubuh sasa itu masih mengerah keringat dengan cuba mengekang asakan daripada tuan rumah.

Berdasarkan pemerhatian, bek tengah tersebut hanya pernah beraksi di kelab luar selama semusim, iaitu ketika dia menyertai kelab kecil di Croatia, HNK Sibenik.

Jadi, sekiranya dia masih memasang cita-cita untuk mencuba nasib di liga-liga sekitar Asia, Liga Super merupakan salah sebuah destinasi terbaik tanpa perlu mengambil kira faktor-faktor di luar bola sepak.

Melihat kepada struktur fizikal serta pengalamannya, terdapat tiga kelab yang cukup sesuai untuk menerima khidmat Sandesh untuk musim 2024.

1. Kelantan United

Musim ini, Kelantan United merupakan salah sebuah kelab tempatan yang sering membawa masuk import baharu baik ketika jendela perpindahan pertama mahupun kedua.

Bagaimanapun, melihat kepada senarai pemain yang dibawa masuk, majoriti daripada mereka gagal memberi sumbangan seperti mana diharapkan.

Salah satu posisi yang sememangnya perlu diperbaiki pada musim akan datang adalah pertahanan memandangkan skuad Kijang Hijau sudah dibolosi sebanyak 54 kali dalam Liga Super.

Sebelum ini, peranan terbabit dipikul bek tengah kelahiran Brazil, Yan Victor sebelum kontraknya ditamatkan pada pertengahan musim untuk memberi laluan untuk Dominik Balic.

Skuad Kijang Hijau perlu mendapatkan khidmat bek tengah import berkualiti. — Facebook/Kelantan United

Ia bagaimanapun tidak mengubah nasib skuad kendalian Ailton Silva apabila mereka mengalami beberapa siri kekalahan memalukan dalam Liga Super serta saingan peringkat domestik.

Jadi, sekiranya Kelantan United berhasrat untuk memperbaiki perkara tersebut, kehadiran Sandesh dilihat mampu membawa satu perubahan.

Di samping cukup sesuai dengan kecenderungan kelab dalam mendapatkan pemain bertubuh sasa, pengalamannya sudah tentu akan menyuntik kelainan buat pasukan Pantai Timur itu.

Namun, melihat kepada kariernya, terdapat kemungkinan pemain itu akan meminta gaji yang besar sehingga dikhuatiri akan memberi tekanan terhadap struktur kewangan kelab.

2. Sri Pahang FC

Dalam saingan Liga Super, Sri Pahang FC mempunyai rekod pertahanan ketiga terbaik dari segi jumlah gol dibolosi setakat ini dengan hanya Johor Darul Takzim (JDT) dan Selangor FC memiliki catatan lebih membanggakan.

Ia berjaya diraih melihat kepada pendekatan pertahanan yang diterapkan ketua jurulatih, Fandi Ahmad serta kualiti pemain yang dimiliki mereka, seperti Fadhli Shas serta Michael Glassock.

Jadi, perkara itu sudah tentu akan membuatkan skuad Tok Gajah tidak perlu berfikir panjang untuk mencari seorang bek tengah baharu ketika jendela perpindahan akan datang.

Sri Pahang memiliki rekod pertahanan cukup baik dalam Liga Super musim ini. — Facebook/Sri Pahang FC

Namun, melihat kepada musim-musim terdahulu, pasukan Pantai Timur berkenaan sering membuat penggantian pemain dengan tidak menawarkan kontrak baharu.

Sekiranya pihak pengurusan memilih untuk tidak mengekalkan khidmat Fadhli dan Glassock, seorang pemain pertahanan tengah yang berpengalaman perlu dicari.

Antara calon terbaik untuk mengisi kekosongan berkenaan ialah Sandesh yang sudah mempamerkan kebolehannya sedikit demi sedikit ketika aksi Pestabola Merdeka yang lalu.

Jika dia berjaya bergabung dengan skuad Tok Gajah, ia sudah tentu akan membantu skuad Tok Gajah meneruskan rekod cemerlang di posisi pertahanan seperti mana diraih musim ini.

3. Sabah FC

Musim ini, Sabah FC merupakan salah sebuah kelab yang giat membawa masuk import baharu dalam misi mereka untuk berentap di peringkat Asia.

Bagaimanapun, di sebalik nama-nama yang direkrut mereka, hanya Park Tae-su dan Ko Kwang-min merupakan pemain pertahanan dalam skuad Sang Badak.

Namun, ia masih belum cukup ideal buat pasukan terbabit memandangkan mereka tidak memiliki seorang bek tengah import memandangkan Tae-su hanya diturunkan berikutan ketiadaan pilihan lain.

Ketika ini, posisi pertahanan itu diisi Dominic Tan, Irfan Zakaria dan Rawilson Batuil dengan masing-masing sering digilirkan pengurus pasukan, Datuk Ong Kim Swee.

Sandesh meraih pelbagai kejuaraan sepanjang kariernya di India. — Twitter/Sandesh Jhingan

Sekiranya mereka mahu menyelesaikan isu kekurangan pilihan itu, keputusan untuk mendapatkan khidmat Sandesh dapat memberi satu kelainan.

Di samping mempunyai pengalaman meluas dalam pertandingan peringkat Asia, pemain itu juga memiliki kekuatan fizikal yang cukup penting dalam Liga Super.

Pencapaian Sandesh dari segi pengumpulan trofi juga merupakan satu kelebihan sekiranya Sabah FC mahu menamatkan penantian bertahun-tahun untuk meraih kejayaan.

Persoalannya, dengan bek tengah tersebut terus selesa di negara asalnya, mampukah dia tertarik untuk beraksi bersama skuad Sang Badak yang bergelut untuk melayakkan diri ke pentas Asia musim depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram




Source link

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

[VIDEO] Lepas kena kad kuning, coach Tajikistan tetap ucap ‘terima kasih’ Malaysia – Sukan

Next Post

Tajikistan anggap tewaskan HM aksi pemanas badan sebelum Piala Asia 2023 – Sukan

Related Posts