SAINGAN peringkat kumpulan Liga Juara-juara AFC (ACL) 2023/24 bakal membuka tirainya pada 18 September ini selepas tamatnya aksi persahabatan antarabangsa.
Kesemua pasukan yang layak pastinya sudah melakukan persiapan dalam harapan mereka untuk menempah slot ke peringkat kalah mati.
Antara kelab yang semestinya menjadi tumpuan ialah wakil-wakil dari Arab Saudi memandangkan mereka sudah berbelanja besar ketika jendela perpindahan lalu.
Salah sebuah pasukan yang bakal bertanding merupakan Al-Hilal selepas kelab berkenaan berjaya menempatkan diri dalam perlawanan akhir, namun tewas kepada Urawa Red Diamonds.
Mereka pastinya dipilih sebagai antara juara pilihan selepas membawa masuk beberapa bintang antarabangsa, termasuk bekas penyerang sayap Paris Saint-Germain, Neymar.
Neymar merupakan antara bintang antarabangsa yang disambar Al-Hilal. — Agensi
Bagi penyokong bola sepak tanah air, mereka pastinya tertarik untuk mengikut dengan rapat mengenai perkembangan Al-Hilal dalam saingan ACL musim ini.
Ia memandangkan salah sebuah lawan kepada pasukan tersebut, Mumbai City FC dibintangi bekas penyerang Johor Darul Takzim (JDT), Jorge Pereyra Diaz.
Pemain kelahiran Argentina berkenaan meluangkan kira-kira empat tahun bersama skuad Harimau Selatan meskipun pernah dipinjamkan sebanyak dua kali.
Melihat kepada undian itu, perasaan teruja pastinya dirasai orang ramai untuk melihat sekiranya penyerang berusia 33 tahun tersebut mampu mencipta kejutan di pentas Asia.
Perasaan tersebut turut dirasai Diaz berdasarkan satu klip pendek yang dikongsikan Mumbai City FC selepas mengetahui lawan yang bakal dihadapi mereka.
“Saya berasa amat teruja untuk berdepan Al-Hilal. Ia merupakan kelab yang diwakili Neymar dan beberapa bintang lain. Dan kini, kami akan lebih bersedia. Ayuh Mumbai!” katanya.
Diaz ketika ini sudah menjadi ayam tambatan buat Mumbai City FC. — Agensi
Penyerang berkenaan menyertai pasukan tersebut pada awal musim lalu dan tidak perlu menunggu lama untuk meninggalkan kesan apabila berjaya menjaringkan 11 gol dalam 20 penampilan.
Sumbangan Diaz itu membolehkan skuad The Islanders merangkul kejuaraan Liga India dengan pemain itu muncul sebagai penjaring terbanyak pasukan.
Tetapi, kecemrlangan berkenaan gagal diteruskan ketika mereka bersaing dalam ACL apabila Mumbai City FC menamatkan peringkat kumpulan di tangga kedua.
Bagi Al-Hilal pula, kehadiran bintang-bintang baharu sudah menampakkan hasil seperti mana diharapkan apabila mereka kini menduduki tangga teratas Liga Pro Arab Saudi selepas lima perlawanan.
Mereka pastinya akan meletakkan cita-cita lebih tinggi untuk kempen ACL kali ini meskipun berdepan cabaran besar daripada Mumbai City FC, Nassaji Mazandaran (Iran) serta Navbahor (Uzbekistan). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram