Baddrol, Mukhairi atau Afiq, siapa ‘jeneral’ terbaik ABK2022? – Sukan


ANUGERAH Bola Sepak Kebangsaan (ABK) merupakan satu bentuk penghargaan yang diperkenalkan pihak Liga Bolasepak Malaysia (MFL) kepada pemain dan ketua jurulatih dengan menilai kepada sumbangan masing-masing.

Majlis penyampaian yang bakal diadakan pada 15 Disember secara maya itu sering diberi perhatian oleh peminat tegar bola sepak tempatan apabila mereka dapat menyaksikan prestasi baik calon setiap pasukan.

Seperti kebiasaan, pemain terbaik tahunan (MVP) menjadi kategori yang dinanti-nantikan dengan anugerah itu dibawa pulang penyerang sayap muda Johor Darul Takzim (JDT), Arif Aiman Hanapi tahun lalu.

Di samping itu, anugerah ketua jurulatih juga pastinya ditunggu-tunggu selepas beberapa nama dikatakan layak untuk mengungguli kategori itu termasuk pengendali Terengganu FC, Nafuzi Zain dan JDT, Hector Bidoglio.

Bagaimanapun, tahun ini, satu lagi anugerah dilihat dinanti-nantikan penyokong bola sepak tempatan, iaitu pemain tengah terbaik dengan beberapa nama mula merebut gelaran itu.

Sebelum ini, MFL mengumumkan terdapat lapan pemain yang dicalonkan berdasarkan penilaian terhadap sumbangan dan kehadiran mereka buat skuad masing-masing.

MFL mencalonkan Afiq, Baddrol dan Mukhairi dalam senarai pendek pemain tengah terbaik ABK 2022. — Facebook/MFL

Namun, pada Jumaat, badan induk bola sepak negara itu sekali lagi membuat satu hantaran di laman media sosial mereka dengan mengumumkan tiga pemain sudah disenarai pendek untuk menerima anugerah itu tahun ini.

Kapten Sabah FC, Baddrol Bakhtiar dipilih selepas memberi sumbangan penting dengan muncul sebagai antara pemain terbaik dalam membantu skuad The Rhinos mara ke pentas Asia musim depan.

Selain itu, jeneral tengah JDT, Afiq Fazail turut dikatakan sebagai antara yang paling layak untuk dipilih sebagai pemain tengah terbaik dalam Liga Malaysia untuk 2022.

Pemain muda, Mukhairi Ajmal turut tersenarai dalam kelompok tiga teratas selepas membuktikan dia layak untuk dikategorikan sebagai antara permata buat skuad Harimau Malaya beberapa tahun akan datang.

Melihat kepada sumbangan masing-masing, tidak boleh dinafikan bahawa mereka mempunyai peluang tersendiri untuk meningkatkan reputasi mereka selepas mengerah keringat sepanjang musim.

Bagaimanapun, sekiranya dilakukan pemerhatian teliti, penyokong serta penilai dapat mengenal pasti pemain yang layak untuk menerima anugerah itu untuk tahun ini.

1. Baddrol Bakhtiar

Pemergian Baddrol daripada Kedah Darul Aman (KDA) FC awal musim lalu merobek hati penyokong Hijau Kuning, apatah lagi apabila mengimbau jasanya buat bertahun-tahun bersama kelab itu.

Keputusannya untuk menyertai Sabah FC dikatakan berpunca daripada hasratnya untuk mencuba angin baharu di samping peluang untuk beraksi di bawah bimbingan ketua jurulatih berpengalaman, Datuk Ong Kim Swee.

Pada awalnya, penyokong bola sepak tanah air seakan-akan meragui kemampuan pemain kelahiran Sungai Petani, Kedah bersama skuad Sang Badak melihat kepada usianya yang mencecah 34 tahun.

Namun, Baddrol tidak perlu menunggu lama untuk menepis segala persoalan itu dengan dia diberikan kepercayaan untuk memakai lilitan kapten setiap kali diturunkan di atas padang.

Baddrol merupakan antara pemain terbaik Sabah FC musim ini. — Facebook/Sabah FC

Tidak cukup dengan itu, pemain tengah itu berjaya mencuri hati penyokong Sabah FC dengan kemampuannya untuk melakukan hantaran berbahaya di samping menjaringkan gol daripada sepakan percuma.

Enam gol dan empat hantaran yang dicipta dalam 20 penampilan Liga Super menunjukkan bahawa Baddrol masih mempunyai bisa dalam dirinya dengan ia semakin ditagih untuk musim depan.

Persoalannya, adakah sumbangan tersebut cukup untuk membolehkannya membawa pulang anugerah berprestij itu untuk kali ketiga selepas pernah memenanginya pada 2017 dan 2021.

Bagi segelintir pihak, mereka pasti berasakan kehadiran Baddrol bersama Sabah FC tidak cukup untuk melayakkannya dinobat sebagai pemain tengah terbaik dengan berpendapat bahawa dia jarang bermain untuk 90 minit.

Bagaimanapun, sekiranya dilihat situasi pasukan Borneo itu musim ini, ia sudah cukup untuk menaikkan reputasinya, lebih-lebih lagi dengan ketempangan jentera serangan kelab itu.

Bersama skuad Sang Badak, Baddrol merupakan antara penjaring terbanyak pasukan selain dia juga dilihat sering memberikan persembahan terbaik sehingga membantu kelab berkenaan menamatkan saingan Liga Super di tangga ketiga.

Oleh itu, pemain dengan fizikal kecil itu masih mempunyai peluang cerah untuk memenangi anugerah tersebut untuk tahun kedua berturut-turut mengatasi calon lain.

2. Afiq Fazail

Musim ini, JDT merekodkan satu musim yang bersejarah dengan tidak mencatatkan sebarang kekalahan dalam Liga Malaysia termasuk mengungguli kesemua kejohanan dipertandingkan.

Selain Arif Aiman, pujian juga kerap diberikan kepada penyerang kelahiran Brazil, Bergson da Silva yang menjaringkan 46 gol dalam kesemua pertandingan, termasuk Liga Juara-juara AFC (ACL).

Benteng pertahanan yang kental juga diberikan perhatian tidak henti-henti dengan Corbin Ong, Shahrul Saad dan Matt Davies kerap memberi persembahan terbaik untuk membantu pasukan.

Tetapi, di sebalik kemegahan skuad Harimau Selatan, terselit satu permata penting yang beraksi sebagai pemain tengah, iaitu Afiq Fazail dengan kelebihan tersendiri.

Musim ini, pemain kelahiran Pontian, Johor itu memainkan peranan bermakna buat pasukan dengan muncul dalam 16 aksi Liga Super selepas memperolehi kepercayaan barisan kejurulatihan.

Kesungguhan Afiq disanjung penyokong setia Harimau Selatan. — Instagram/4fiq.fazail

Meskipun dia hanya mampu menjaringkan satu gol dan empat assist, Afiq sering menjadi duri dalam daging buat pihak lawan dengan memberi tekanan untuk mendapatkan semula bola.

Selain itu, kesungguhan pemain berusia 28 tahun itu juga dapat diperhatikan dengan kemampuannya untuk melakukan bentesan berkualiti, sekali gus membuka ruang kepada jentera serangan untuk melakukan gerakan balas.

Persoalannya, mampukah pihak penilaian ABK2022 memberi peluang kepada Afiq untuk membawa pulang anugerah itu selepas bertahun-tahun terpaksa melihat pemain lain mengungguli kategori tersebut.

Berdasarkan kejayaan JDT, ia seakan-akan sudah cukup buat pemain bersusuk tubuh kecil itu muncul sebagai pemenang, apatah lagi apabila penyokong Harimau Selatan pastinya berasakan sumbangannya amat penting sepanjang musim.

Tetapi, perlu diingatkan bahawa anugerah tersebut diberikan kepada pemain berdasarkan prestasi individu dan kehadiran dalam pasukan masing-masing.

Oleh itu, Afiq dilihat masih perlu menunggu beberapa tahun lagi untuk dipilih sebagai pemain tengah terbaik Liga Malaysia dengan dia kerap dibayangi rakan sepasukan.

Di samping itu, kekurangan peluang yang diberikan ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon juga pasti memberi kesan terhadap panel penilai untuk menobatkannya sebagai pemenang kategori tumpuan itu.

3. Mukhairi Ajmal

Dalam skuad Gergasi Merah beberapa tahun kebelakangan ini, mereka kerap menemui kebuntuan untuk melakukan hantaran berkualitu daripada situasi sepakan percuma dan sepakan sudut.

Bagaimanapun, sejak kemunculan Mukhairi Ajmal musim lalu, dia diberikan kepercayaan penuh daripada pihak kejurulatihan untuk menggalas tanggungjawab itu.

Sumbangannya musim lalu dilihat kurang menyerlah dengan Selangor FC bergelut sepanjang musim, termasuk dalam kempen Liga Super apabila mereka menamatkan saingan di tangga kelima.

Namun, pada 2022, khidmat Mukhairi semakin ditagih dengan dia kerap diberi peluang untuk diturunkan dalam kesebelasan utama di samping kapten pasukan, Brendan Gan di posisi tengah.

Berdasarkan pemerhatian, pemain kelahiran Sungai Lembing, Selangor terbabit merupakan antara wajah penting dalam kemaraan pasukan Lembah Klang itu mara ke final Piala Malaysia.

Mukhairi berpotensi menjadi lebih baik dalam tahun-tahun akan datang. — Stadium Astro

Hal itu juga dapat disaksikan dalam saingan liga dengan Mukhairi mungumpul 21 penampilan, termasuk berjaya memperolehi tiga jaringan dan tiga bantuan gol.

Tetapi, sumbangan itu dirasakan tidak dapat melayakkan pemain berusia 21 tahun itu untuk membawa pulang anugerah pemain tengah terbaik berikutan beberapa faktor.

Pertama, prestasi terumbang-ambing Selangor FC musim ini berpunca daripada kualiti skuad yang kurang menyerlah, yang mana Mukhairi gagal untuk menyuntik perbezaan.

Selain itu, pemain tersebut juga difahamkan masih terlalu muda dan kurang berpengalaman dalam aspek permainan dengan dia sering mensia-siakan peluang keemasan.

Jadi, seperti beberapa pemain lain, Mukhairi juga perlu menunggu beberapa tahun di samping memperolehi lebih banyak minit permainan untuk dipilih sebagai pemain tengah terbaik tempatan.

Berdasarkan penilaian terhadap kariernya setakat ini, tidak boleh dinafikan bahawa Mukhairi merupakan antara calon terbaik untuk menjadi tulang belakang Selangor FC dan skuad Harimau Malaya dalam tahun-tahun akan datang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram




Source link

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Dikatakan ‘merajuk’, FPF nafi Cristiano Ronaldo ancam tinggalkan Portugal di Piala Dunia – Sukan

Next Post

Jangan bandingkan ‘glory’ yang pernah Baddrol sumbang buat Kedah — Azraai Khor – Sukan

Related Posts