Ayron: Reputasi besar kepada ancaman besar – Sukan


‘LAPTOP Cabuk’ menemui pembaca sekali lagi. Berinspirasikan minda tua yang mungkin sudah berkarat, karya ini dan seterusnya akan cuba menyingkap cerita di sebalik tabir dan sesuatu yang mungkin terlepas daripada pengamatan ramai untuk sama-sama memeriah dan meraikan Liga Malaysia musim 2023.

SEBELUM musim bermula lagi, namanya sudah dicanangkan dengan reputasi besar.

Selaku bekas penjaring terbanyak Liga Colombia – sebuah negara yang sinonim dengan kelayakan ke Piala Dunia – dia harus bukan calang-calang.

Ia harus merujuk kepada 30 gol yang dijaringkannya untuk kelab Primera A, America de Cali, daripada 41 penampilannya pada 2015.

Namun, penyokong Selangor seakan-akan tidak sabar dengannya di samping ramai yang cepat mempertikaikan kehadirannya.

Diperagakan dalam penampilan sulungnya dalam jersi Selangor FC pada 26 Februari lalu, Ayron tidak mencetak nama sebagai penjaring dalam kemenangan 1-0 ke atas Kelantan United, yang diraih hasil gol Yazan Al-Arab.

Pada 2 Mac pula, dia menyumbat gol kedua skuad Gergasi Merah dalam kemenangan 5-0 ke atas Kuching City di tempat lawan. Itu, bagaimanapun, dilihat sebagai jauh daripada meyakinkan.

Ayron dikecam hebat oleh penyokong ketika bertemu JDT. — Facebook/Selangor FC

Kemudian, sumbangannya dilihat terbatas ketika diikat Sri Pahang 1-1 di Stadium MBPJ, Petaling Jaya, Selangor pada 5 Mac, itupun Selangor FC terselamat daripada kekalahan oleh jaringan Brendan Gan pada minit-minit akhir perlawanan dalam hujan lebat.

Momentum itu diperbaikinya sedikit dengan menjaringkan gol pertama Selangor FC ketika meraih kemenangan 2-1 ke atas Penang FC di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada 12 Mac.

Bagaimanapun, ukuran yang dianggap ramai terhadap nilai yang dibawa Ayron kepada Selangor FC ialah pertemuan dengan kelab pendahulu, Johor Darul Takzim (JDT), di Stadium MBPJ, Petaling Jaya pada 17 Mac.

Malangnya, bukan saja tuan rumah dipalit aib kekalahan 0-4 kepada skuad Harimau Selatan itu, malah Ayron dilabel penyokong tidak lebih sebagai ‘penumpang bas berhawa dingin percuma’ di barisan serangan Selangor FC.

Ya, antara topik perbualan dalam kalangan penyokong Ketika itu ialah pemilihan kuota import sehingga ada yang mengatakan pihak pengurusan Selangor sering ditipu oleh ejen dengan membawa pemain-pemain ‘scammer’.

Salah seorang yang menjadi topik hangat tidak terkecuali adalah Ayron gara-gara prestasinya yang tidak cemerlang ketika bertemu JDT.

Ayron meraikan jaringan gol bersama rakan sepasukan ketika menentang KL City FC pada Jumaat. — Facebook/Selangor FC

Lima perlawanan diharunginya tanpa meninggalkan impak besar dan di sebalik kekangan masalah komunikasi sekalipun, penyerang berusia 34 tahun itu harus sedia faham masih terlalu banyak yang ditagih daripadanya oleh ketua jurulatih, rakan sepasukan dan penyokong.

Barangkali kegeraman itulah yang diserlahkannya ketika membenam sepakan penalti ke penjuru kanan penjaga gol. Azri Ghani, pada minit ke-32 perlawanan ‘Derbi Lembah Klang’ dengan Kuala Lumpur City FC di Stadium Bolasepak Cheras, Kuala Lumpur pada Jumaat lalu.

Kemudian, dihadirkan peluang keemasan daripada hantaran Hein Htet Aung dari bahagian sayap kiri pada minit ke- 53, Ayron sempat mengacah-acah Azri dengan ketenangannya, menguis bola setapak ke kirinya dan membenamkan penyudahan ke pintu gol yang sudah pun ternganga.

Kegembiraannya meraikan jaringan itu bersama rakan sepasukan seolah-olah ingin memaklumkan kepada penyokong bahawa dia “benar-benar sudah tiba”.

Dua jaringan yang hadir daripadanya mendapat pujian ramai dengan rata-ratanya menyifatkan pemain itu sudah mula menemui rentak bersama Selangor FC.

Berani memegang bola lama dan membuat percubaan tepat ke arah pintu gol selain gandingan mantap bersama Faisal Halim juga antara resipi kejayaan dalam perlawanan dengan KL City FC itu.

Ketua jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe, turut tidak lokek menghamburkan pujian terhadap kualiti yang dimiliki Ayron yang menjadi nadi kemenangan pasukan.

Ayron ketika diperkenalkan oleh Selangor FC kepada orang ramai dalam sesi meet and greet bersama peminat. — Awani

“Bukan mudah untuk menentang KL City daripada segi taktikal kerana mereka mempunyai kekuatan tersendiri. Walaupun kita dibolosi gol awal, tetapi disebabkan semangat melawan, kita mampu bangkit untuk dapatkan kemenangan.

“Kita tahu Ayron memiliki kualiti tersendiri dan berbahaya di depan gol. Cuma dia masih perlukan masa kerana dia menyertai pasukan agak lewat dan bukan mudah untuknya.

“Tetapi dia sentiasa berusaha keras bagi memastikan berada dalam keadaan terbaik dan mana-mana penyerang yang menjaringkan gol pasti akan bertambah yakin,” katanya selepas perlawanan itu Faisal atau ‘Mickey’ turut mendedahkan motivasi yang melonjakkan rakan penyerangnya itu.

“Apa yang Mickey dapat tahu masa bersama pasukan kebangsaan (menentang Turkmenistan dan Hong Kong), Ayron dia buat kerja keras. Dia berlatih dengan baik, dia bekerja keras,” ujarnya.

Selangor FC seterusnya akan berdepan Negeri Sembilan FC di Stadium MBPJ, Petaling Jaya, Selangor pada Selasa dan magis Ayron akan terus ditagih untuk mengangkat skuad Gergasi Merah dari tangga keempat ketika ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram




Source link

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Tiada istilah penat dalam kamus hidup saya — Faisal Halim – Sukan

Next Post

FIFA akan putuskan hukuman Sarawak United — AFL – Sukan

Related Posts