Aksi Kedah-Selangor dijangka panas, dua-dua ‘on form’ buru slot Piala Malaysia – Sukan


PERMULAAN musim yang sukar menyebabkan dua pasukan gergasi Liga Super, Selangor FC dan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) hanya mampu berada di kedudukan pertengahan liga ketika saingan menghampiri penghujungnya.

Bagi skuad Sang Kenari, kehilangan tonggak ketika jendela perpindahan dan isu pengurusan menyebabkan mereka sukar untuk meneruskan rentak seperti tahun-tahun sebelumnya.

Selain itu, penyertaan dalam Piala AFC menyebabkan jadual mereka lebih padat sehingga mengakibatkan pemain yang diturunkan dalam kesebelasan utama tidak dapat beraksi cemerlang sepanjan 90 minit perlawanan.

Oleh itu, tidak hairanlah apabila mereka ketika ini berada di kedudukan keenam liga meskipun mempunyai kelebihan satu perlawanan berbanding 11 pasukan lain.

Aidil Sharin Sahak pasti mahu prestasi yang lebih cemerlang daripada pasukannya. — Facebook/Kedah Darul Aman FC

Namun, kebelakangan ini, mereka mula mendapatkan rentak apabila berjaya mencatatkan kemenangan ke atas pasukan bergelut, Penang FC dan Melaka United FC.

Senario itu pasti memberi dorongan kepada anak-anak buah Aidil Sharin Sahak dalam usaha menambah baik kedudukan pasukan itu dalam satu kempen yang terumbang-ambing.

Bagi The Red Giants pula, dua kemenangan daripada empat perlawanan pembuka tirai Liga Super gagal dimanfaatkan apabila mereka terus hilang dalam bayang-bayang sendiri.

Kegagalan untuk mengecapi sebarang kejayaan sejak menjulang Piala Malaysia 2015 serta prestasi yang tidak menentu dalam liga diharap dapat menemui jalan penyelesaian musim ini dengan kesungguhan dalam jendela perpindahan yang lalu.

Namun, panas yang disangka hingga ke tengahari tidak kesampaian apabila mereka sekali lagi bergelut untuk meneruskan rentak konsisten dalam liga sebelum disingkirkan dari pentas Piala FA di peringkat separuh akhir.

Mereka kini berada di kedudukan kelapan selepas mengharungi 17 perlawanan dengan rekod pertahanan yang longlai apabila gawang mereka dibolosi sebanyak 29 kali musim ini.

Tetapi, dengan keputusan seri ke atas Johor Darul Takzim dan kemenangan ketika bertemu Sabah FC dalam dua aksi terakhir jelas memberi harapan dan semangat kepada penyokong Gergasi Merah untuk melihat rentak mereka di atas padang diteruskan.

Selain keputusan yang cemerlang itu, pasukan kendalian Nizam Jamil itu menampilkan persembahan di atas dengan sepenuh hati dalam misi menambah baik kedudukan mereka di carta liga.

Kapten Selangor FC, Brendan Gan (tengah) selepas menjaringkan gol kedua pasukan ketika bertemu Sabah FC. — Facebook/Selangor FC

Oleh itu, tidak hairanlah apabila pertemuan di antara kedua-dua pasukan itu pada Rabu cukup ditunggu-tunggu untuk menyaksikan satu pertembungan yang hangat daripada para pemain.

Tidak cukup dengan itu, mereka juga pasti mengejar slot kelayakan ke Piala Malaysia 2022 yang memberi peluang kepada kedua-dua pasukan untuk menamatkan penantian bagi menjulang trofi sekaligus mengecap kejayaan yang sudah lama dirindui.

Meskipun kedua-dua pasukan kelihatan sudah layak, kelekaan di hujung perlumbaan mampu memberi kesan kepada nasib masing-masing dalam pertandingan itu.

KDA FC pasti akan turun dengan semangat yang berkobar-kobar apabila The Red Giants mudah menghukum mereka awal musim lalu dalam aksi pusingan pertama Liga Super dengan keputusan 4-1 di Stadium MBPJ.

Oleh itu, menggunakan kelebihan tempat sendiri, para pemain dan staf kejurulatihan pasti tidak akan melepaskan peluang untuk meraih tiga mata penuh dalam perlawanan getir tersebut.

Selangor FC juga pastinya mengharapkan kecemerlangan setiap ahli pasukan dapat diteruskan dengan pendekatan taktikal Nizam Jamil sudah mula membuahkan hasil.

Mimpi ngeri yang dialami awal musim lalu semestinya hendak dilupakan bagi memberikan keceriaan dan kelegaan kepada penyokong yang tidak henti-henti memberi semangat kepada pasukan itu selama ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram




Source link

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Sukma 2022: Terengganu, Sabah sama kuat – Sukan

Next Post

Farizal Marlias dan Aidil Zafuan digugurkan Harimau Malaya, siapa antara 3 nama ini lebih layak pakai lilitan kapten? – Sukan

Related Posts